Mencarut dan mencaci merupakan perbuatan keji yang tidak
melambangkan sikap seorang muslim. Jika seseorang yang mengaku beriman dan
merasakan darjat keimanannya lebih tinggi daripada orang lain, tetapi selalu
mencarut dan mencaci, maka sebenarlah itulah hanya sangkaan kosong semata-mata.
Sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud:
“Sesungguhnya kekejian dan berbuat kekejian, tidak sedikitpun daripada
Islam. Dan sesungguhnya manusia yang terbaik Islamnya ialah mereka yang
baik akhlaknya.”.
Islam tidak sekali-kali membenarkan seseorang Islam
membuka aib muslim lain. Biarpun orang itu telah membuka aib yang benar,
tetap dilarang dilakukan.
Sesiapa yang membuka aib orang lain, sedangkan orang yang dikenakan itu tidak membalasnya kembali, maka kebajikan akan digantikan kepadanya atas kesabaran itu.
Sesiapa yang membuka aib orang lain, sedangkan orang yang dikenakan itu tidak membalasnya kembali, maka kebajikan akan digantikan kepadanya atas kesabaran itu.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Hendaklah kamu bertakwa
kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau kepada
dia tahu dirimu ada sesuatu keaiban, maka janganlah engkau membalasnya dengan
memberi malu kepadanya, kerana jika engkau mengetahui dia juga mempunyai
sesuatu keaiban, maka bencananya kelak tertimpa ke atas orang itu, manakala
pahalanya akan dicatatkan bagimu. Dan janganlah kamu memaki sesuatu.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani).
Sekiranya perkara keaiban yang benar tidak boleh
disebarkan, inikan pula perkara yang sengaja direka-reka. Menyebarkan
cerita yang tidak benar mengenai seseorang untuk mendatangkan keaiban dipanggil
membuat fitnah.
Membuat fitnah amat besar dosanya. Allah meletakkan dosa
membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah
bermaksud: “Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.” (Surah
al-Baqarah, ayat 217).
Sifat
buruk akibat mulut mudah dilakukan kerana ia mudah dilakukan. Bahkan ada pihak yang menggunakan tabiat buruk seperti mencarut, berdusta,
membuat fitnah dan mencela sebagai amalan meraih simpati orang ramai.
Sesungguhnya perkataan-perkataan buruk yang keluar dari
mulut didalangi oleh syaitan. Mereka yang bercakap itu ‘mewakili’ syaitan
mengucapkan perkataan tidak baik kepada pihak lain bagi tujuan memecah belahkan
hubungan baik sesama manusia.
Sememangnya kejayaan syaitan merosakkan hidup anak cucu
Adam banyak bergantung kepada ‘pertolongan’ manusia sendiri yang engkar kepada
perintah dan amaran Allah. Sesiapa yang di dalam dirinya mempunyai
sifat-sifat syaitan, maka bersaksilah bahawa merekalah akan menjadi teman
syaitan di neraka jahanam.
Oleh sebab itu yakinlah bahawa tidak ada alasan atau
hukum yang mengizinkan perkataan-perkataan buruk dan fitnah digunakan dalam
keadaan apa jua keadaan. Maka, boleh dikenali mana-mana pihak yang
menggunakan perkataan buruk dan fitnah perlu dijauhi.
Menjauhkan diri daripada kumpulan sedemikian bertujuan
agar kita juga tidak terpengaruh dengan sikap buruk itu. Sekiranya selalu
mendengar perkataan buruk dan dusta ia akan meresap di dalam diri dan
menganggap perkataan itu perlu diucapkan sama.
Tidak hairalah jika sekarang ini perbuatan mencaci dan
membuat fitnah itu semakin menular di kalangan pihak yang memperjuangkan
fahaman yang lari dari landasan ajaran Islam. Perjuangan yang didakwa demi
mempertahankan agama dilakukan dengan kaedah yang dikehendaki oleh syariat
Islam.
Islam menyuruh agar persaudaraan sesama Islam
diperkukuhkan. Sesiapa yang sengaja memutuskan persaudaraan sesama Islam
dikatakan bukan dari kalangan orang mukmin. Malah tidak mengasihi saudara sesama
Islam telah disebut tidak sempurna imannya.
Sesungguhnya mencaci, mengumpat, membuat fitnah dan
mencarut akan memutuskan hubungan sesama Islam. Maka sesiapa yang waras
dan beriman tidak sesekali akan mudah menerima perjuangan pihak yang menggunakan
amalan mencaci, mengumpat, membuat fitnah dan mencarut untuk meraih kejayaan.
Allah tidak akan memberi kejayaan kepada mereka yang
melakukan perkara keji. Jika ada kejayaan yang diberikan oleh Allah, itu
sekadar satu ujian. Sesungguhnya Allah telah menegaskan tentang kecelakaan
yang akan diterima oleh pencaci.
Firman Allah bermaksud: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap
pencaci.” (Surah al-Humazah, ayat pertama).
No comments:
Post a Comment