Friday 30 September 2016

Malaikat sentiasa patuh

Sifat malaikat sentiasa patuh perintah Allah SWT. Malaikat tidak pernah durhaka, bahkan tidak pernah menyimpan hasrat untuk melakukannya. Sifat malaikat digambarkan dalam Al-Quran sepanjang masa bertasbih dan memuji Allah SWT sepanjang masa. Cara bertasbih mereka tidak terbatas pada ucapan, malah merangkumi sikap dan perbuatan. 

Setiap malaikat ada perbuatan tersendiri seperti berdiri, duduk, rukuk, sujud dan tawaf mengelilingi Baitul Makmur ketika melakukan ibadat.

Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka takut kepada Tuhan mereka yang berkuasa atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka." (Surah an-Nahl, ayat 50).

Dalam keadaan itu, malaikat tidak dibebani tugas lain. Mereka hanya taat kepada Allah SWT dan tidak ada 'pilihan'. Hal ini berlainan dengan hakikat kejadian manusia dan jin yang terdedah kepada iman dan kufur. 

Satu persamaan malaikat dengan makhluk lain ialah ia juga akan binasa sebelum hari kiamat, termasuk Israfil yang bertugas meniup sangkakala menanda berlakunya kiamat. Israfil akan meninggal sebaik tugasnya selesai dan seluruh dunia dan isi kandungannya musnah. 

Malaikat dicipta dari cahaya, tidak ada jantina atau keperluan untuk berkelamin, tidak makan dan tidak minum, tidak memiliki nafsu, tidak tidur dan tidak perlukan rehat.

Kehebatan lain malaikat ialah dari segi kecepatan bergerak dan ketepatan melaksanakan tugas. Contohnya bagaimana Izrail melaksanakan tugas mencabut roh, bukan saja manusia, bahkan semua makhluk di seluruh dunia.  

Perlaksanaan tugas itu tepat dan tidak tersilap setelah mendapat perintah Allah SWT. Bayangkan bagaimana Izrail dapat melaksanakan tugas itu untuk mencabut roh manusia dan makhluk lain secara serentak di seluruh dunia yang berlaku setiap detik.

Pada malaikat terdapat sayap sama ada dua, tiga atau lebih sehingga 600 sayap dan tidak terkira jumlahnya. Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat pertama bermaksud: "Segala puji bagi Allah, pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan yang bersayap. Masing-masing memiliki dua, tiga dan empat sayap."

Mengenai malaikat memiliki 600 sayap dijelaskan hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah melihat Jibril pada malam Israk dan Mikraj dengan 600 sayap yang dimilikinya. 

Sayap digambarkan berfungsi untuk pergerakan yang pantas, manakala pada erti lain membawa maksud keupayaan malaikat melaksanakan tugas dengan cepat dan tepat. 

Dalam surah al-Maarij ayat 4 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Malaikat-malaikat dan Jibrail mengadap kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun." Maksud ayat itu keupayaan malaikat bergerak dalam tempoh sehari saja, sedangkan jika dibandingkan dengan keupayaan manusia mengambil masa 50 ribu tahun.

Para ulama dalam menjelaskan sayap malaikat, menafsirkan dalam pelbagai aspek. Namun, cukuplah kita mempercayai ia sebahagian perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui apa dijelaskan dalam al-Quran dan hadis tanpa membahas lebih panjang. Mempercayai malaikat termasuk dalam Rukun Iman. Tidak percaya kepada malaikat, bermakna keimanan seseorang menjadi cacat.

Wednesday 28 September 2016

Daftar sebagai pemilih

Sistem demokrasi Raja Berperlembagaan diamalkan di Malaysia, pemimpin atau pemerintah negara dipilih melalui Pilihanraya Umum (PRU) yang diadakan mengikut tempoh tertentu atau Pilihanraya Kecil (PRK) apabila berlaku kekosongan kerusi akibat kematian, letak jawatan atau hilang kelayakan.

Peluang memilih pemimpin tidak patut dipersia-siakan. Justeru, mereka yang cukup syarat mendaftar sebagai pemilih perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu berbuat demikian.  

Syarat-syarat kelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih adalah seperti yang berikut:
(a) seorang warganegara Malaysia;
(b) telah mencapai umur 21 tahun;
(c) bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan; dan
(d) tidak dihalang / hilang kelayakan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.

SPR menjalankan 2 jenis pendaftaran pemilih iaitu:
(a) Pendaftaran Baru:
SPR menerima permohonan warganegara yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih buat pertama kali.

(b) Pendaftaran Tukar Alamat dan Pusat Mengundi:
SPR juga menerima permohonan pemilih berdaftar yang memohon untuk mendaftarkan alamat tempat tinggalnya yang baru. Ia dikaitkan dengan pertukaran alamat Pusat Mengundi kerana secara lazimnya, sekiranya seorang pemilih berpindah ke tempat baru, maka, Pusat Mengundinya akan ditetapkan mengikut pendaftaran alamat tempat barunya itu.

SPR menjalankan tugasnya berdasarkan kepada Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat perlu mendaftarkan diri sebagai pemilih dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih apabila tiba masa pilihanraya. Fungsi pemilih penting untuk menentukan jatuh bangun agama dan bangsa.

Perkembangan terkini mendapati kadar peratusan orang Melayu mendaftar sebagai pemilih adalah kurang berbanding kaum lain, terutama Cina.  

Tindakan tidak mendaftar sebagai pemilih amat merugikan, terutama bagi memastikan orang Melayu terus berkuasa. Kejatuhan Melayu di Malaysia juga akan menyebabkan kejatuhan kuasa Islam.

Tuesday 27 September 2016

Kes bunuh diri akibat rasa kecewa

Kes bunuh diri biasa berlaku di kalangan orang kafir, kini turut dilakukan individu beragama Islam.  Bunuh diri ialah perbuatan menamatkan atau menghilangkan nyawa diri sendiri dengan apa cara sekalipun seperti menggantungkan diri, memutuskan urat nadi, melemaskan diri dalam air atau asap, minum racun dan membakarkan diri. 

Perbuatan membunuh diri dikaitkan dengan situasi tidak dapat berdepan dengan apa yang dihadapi atau berlaku pada diri, seperti putus cinta, masalah hutang, gagal dalam perkahwinan, pasangan curang dan melarikan diri daripada masalah hidup. 

Bagi semua agama dan masyarakat membunuh diri dianggap tidak baik. Malah, dalam ajaran Islam, perbuatan itu satu dosa besar.

Menurut statistik rasmi, lebih kurang sejuta orang membunuh diri pada setiap tahun, iaitu lebih daripada bilangan mereka yang dibunuh serta juga bilangan yang dikorbankan dalam peperangan. Pada tahun 2001, kes membunuh diri di Amerika Syarikat melebihi kes dibunuh dan juga melebihi kematian akibat AIDS.

Mereka yang membunuh diri akan dibangkitkan di akhirat dengan pelakuan sepertimana dia membunuh diri. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam selama-lamanya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Di dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam dosa besar dan dilarang keras. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.

Orang yang membunuh diri adalah orang yang lari dari tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah daripada itu perbuatan tersebut menunjukkan kurangnya kepercayaan seseorang itu terhadap takdir Allah S.W.T sedangkan Islam mengajarkan umatnya tentang kepentingan sabar dan tawakkal serta melarang daripada sifat berputus asa dan sebagainya.

Orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan sebarang alasan kerana Allah SWT pernah berfirman yang maksudnya: "Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (Surah an-Nisa, ayat 29)

Dari Abu Hurairah katanya, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang membunuh diri dengan mencekik lehernya, maka dia akan mencekiknya pula nanti di neraka. Dan sesiapa yang menikam dirinya, maka dia akan menikamnya pula nanti di neraka.”

Kematian akan mendatangi sesiapa sahaja apabila sampai saatnya yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Dari itu kita dilarang mendahului takdir dengan melakukan perbuatan yang dikutuk iaitu membunuh diri sendiri. Hal demikian ini menggambarkan bahawa seseorang itu sudah berputus asa daripada rahmat Allah sedangkan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya perbuatan membunuh diri bukanlah jalan penyelesai masalah kerana kematian hanyalah satu kerehatan sementara sedangkan di akhirat kelak kita akan diadili dan bakal menerima hukuman daripada Allah.

Maka amat rugilah sekiranya seseorang itu cepat berputus asa dengan masalah hidupnya serta membunuh dirinya kerana jelas sekali membunuh diri sendiri samalah seperti menzalimi diri sendiri.

Thursday 15 September 2016

AK 15: Perjanjian Penstrukturan Semula Air Kelantan

Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan dimuktamadkan dalam satu majlis pada 4 September 2016.

Menerusi perjanjian penstrukturan tersebut, pengurusan bekalan dan industri air diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri manakala Kerajaan Persekutuan akan bertindak sebagai pengawal.

Selain itu, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan mengambil alih pinjaman-pinjaman kerajaan negeri berkaitan bekalan air serta memberi pembiayaan modal kepada Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) bagi menaik taraf dan memperbaharui aset serta membina infrastruktur-infrastruktur baharu.

Bagi memastikan operator-operator industri air mendapat manfaat dan kemudahan kewangan untuk membiayai infrastrukturan dan pembangunan bekalan air, PAAB telah ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah-masalah di negeri-negeri tersebut.

Proses untuk migrasi air ini bermula sejak tahun 2008. Biarpun mengambil masa yang lama disebabkan hal tertentu, amat diharapkan program migrasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk meningkatkan kualiti bekalan air kepada rakyat Kelantan. 

Inilah tujuan besar daripada migrasi air selain ia dapat memastikan bekalan air tidak terputus dan bersih sepanjang masa termasuklah dapat meningkatkan liputan air terawat di Kelantan.

Pada tahun 2001, Kerajaan Negeri Kelantan mendapat pinjaman RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tempoh 13 tahun, namun keperluan sebenar untuk jangka masa tersebut adalah sebanyak RM2 bilion. 

Sebelum itu, segala pembiayaan pembangunan air di Kelantan oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dibantu sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Pada masa ini, Kelantan sebenarnya memerlukan lebih RM5 bilion bagi membangunkan bekalan air “Lost Development Years” bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 3 peratus setiap tahun.

Maka, di bawah rancangan migrasi air ini, semua pinjaman Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan pembangunan dan pembelian aset bagi pengurusan air akan diambil alih dan dipindahkan kepada PAAB. 

PAAB kemudiannya akan memajakkan aset tersebut kepada AKSB selama 45 tahun dengan sewa pajakan tertentu. Pengurusan air masih dibawah bidangkuasa AKSB bersama-sama PAAB.

Berdasar kepada penstrukturan baru ini, insya-Allah infrastruktur bekalan air berdasarkan pelan perniagaan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan dibiayai melalui PAAB dengan kos pembiayaan yang lebih rendah. Manakala Kerajaan Persekutuan akan membiayai Projek Sumber Air secara geran tanpa apa-apa bayaran balik.

Peruntukan kewangan ini diperlukan demi untuk merealisasikan Rancangan Pembangunan Hiliran Bekalan Air Negeri Kelantan yang sekian lama dipohon daripada Kerajaan Persekutuan oleh AKSB melalui Kerajaan Kelantan. 

Walaupun peruntukan disalurkan dalam tiga Rancangan Malaysia lalu, namun masih banyak lagi peruntukan kewangan yang diperlukan bagi melestarikan perkhidmatan bekalan air Negeri Kelantan.

Dengan termeterai Perjanjian-Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air ini, maka peruntukan kewangan bagi Program Pembangunan Bekalan Air di masa hadapan akan lebih terjamin dan komitmen kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan lebih kukuh dalam menjamin perkhidmatan bekalan air ditingkatkan dalam masa terdekat.

Amat nyata sekali, Kerajaan Kelantan tidak mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, melainkan adanya bantuan Kerajaan Pusat.  Justeru, amat penting, mesti wujud hubungan baik antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat bukan saja dalam urusan air, bahkan perkara-perkara lain.

Sementara itu, Gabungan Bertindak Restorasi Air Kelantan (RESTORASI) ingin memastikan perjanjian tersebut dapat memulihkan masalah air bersih di negeri ini. Untuk tujuan itu, RESTORASI berharap agar AKSB dirombak bagi memastikan permasalahan yang selama ini gagal ditangani oleh AKSB dapat diatasi atau ditambah baik.  

Keupayaan AKSB sebelum ini mengecewakan.
1. Indeks kekeruhan bagi air terawat di Malaysia adalah 2, tetapi indeks kekeruhan air AKSB adalah pada skala 9.
2. Rizab air minimum di Malaysia adalah 30% tetapi rizab air di Kelantan hanya 6%.
3. Tekanan minimum air ialah 80% tetapi tekanan air AKSB hanya 42%.
4. Purata peratus kehilangan air tidak berhasil (NRW) di bawah AKSB ialah 50% sedangkan purata di Malaysia hanya 35%.
5. Purata liputan bekalan air terawat di Malaysia ialah 75% tetapi liputan AKSB hanya 55%.
Apapun, diharapkan dengan perjanjian ini keadaan itu dapat diatasi demi kepentingan rakyat Kelantan yang telah lama berdepan dengan masalah yang berlarutan ini.