Thursday 15 September 2016

AK 15: Perjanjian Penstrukturan Semula Air Kelantan

Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan dimuktamadkan dalam satu majlis pada 4 September 2016.

Menerusi perjanjian penstrukturan tersebut, pengurusan bekalan dan industri air diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri manakala Kerajaan Persekutuan akan bertindak sebagai pengawal.

Selain itu, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan mengambil alih pinjaman-pinjaman kerajaan negeri berkaitan bekalan air serta memberi pembiayaan modal kepada Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) bagi menaik taraf dan memperbaharui aset serta membina infrastruktur-infrastruktur baharu.

Bagi memastikan operator-operator industri air mendapat manfaat dan kemudahan kewangan untuk membiayai infrastrukturan dan pembangunan bekalan air, PAAB telah ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah-masalah di negeri-negeri tersebut.

Proses untuk migrasi air ini bermula sejak tahun 2008. Biarpun mengambil masa yang lama disebabkan hal tertentu, amat diharapkan program migrasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk meningkatkan kualiti bekalan air kepada rakyat Kelantan. 

Inilah tujuan besar daripada migrasi air selain ia dapat memastikan bekalan air tidak terputus dan bersih sepanjang masa termasuklah dapat meningkatkan liputan air terawat di Kelantan.

Pada tahun 2001, Kerajaan Negeri Kelantan mendapat pinjaman RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tempoh 13 tahun, namun keperluan sebenar untuk jangka masa tersebut adalah sebanyak RM2 bilion. 

Sebelum itu, segala pembiayaan pembangunan air di Kelantan oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dibantu sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Pada masa ini, Kelantan sebenarnya memerlukan lebih RM5 bilion bagi membangunkan bekalan air “Lost Development Years” bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 3 peratus setiap tahun.

Maka, di bawah rancangan migrasi air ini, semua pinjaman Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan pembangunan dan pembelian aset bagi pengurusan air akan diambil alih dan dipindahkan kepada PAAB. 

PAAB kemudiannya akan memajakkan aset tersebut kepada AKSB selama 45 tahun dengan sewa pajakan tertentu. Pengurusan air masih dibawah bidangkuasa AKSB bersama-sama PAAB.

Berdasar kepada penstrukturan baru ini, insya-Allah infrastruktur bekalan air berdasarkan pelan perniagaan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan dibiayai melalui PAAB dengan kos pembiayaan yang lebih rendah. Manakala Kerajaan Persekutuan akan membiayai Projek Sumber Air secara geran tanpa apa-apa bayaran balik.

Peruntukan kewangan ini diperlukan demi untuk merealisasikan Rancangan Pembangunan Hiliran Bekalan Air Negeri Kelantan yang sekian lama dipohon daripada Kerajaan Persekutuan oleh AKSB melalui Kerajaan Kelantan. 

Walaupun peruntukan disalurkan dalam tiga Rancangan Malaysia lalu, namun masih banyak lagi peruntukan kewangan yang diperlukan bagi melestarikan perkhidmatan bekalan air Negeri Kelantan.

Dengan termeterai Perjanjian-Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air ini, maka peruntukan kewangan bagi Program Pembangunan Bekalan Air di masa hadapan akan lebih terjamin dan komitmen kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan lebih kukuh dalam menjamin perkhidmatan bekalan air ditingkatkan dalam masa terdekat.

Amat nyata sekali, Kerajaan Kelantan tidak mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, melainkan adanya bantuan Kerajaan Pusat.  Justeru, amat penting, mesti wujud hubungan baik antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat bukan saja dalam urusan air, bahkan perkara-perkara lain.

Sementara itu, Gabungan Bertindak Restorasi Air Kelantan (RESTORASI) ingin memastikan perjanjian tersebut dapat memulihkan masalah air bersih di negeri ini. Untuk tujuan itu, RESTORASI berharap agar AKSB dirombak bagi memastikan permasalahan yang selama ini gagal ditangani oleh AKSB dapat diatasi atau ditambah baik.  

Keupayaan AKSB sebelum ini mengecewakan.
1. Indeks kekeruhan bagi air terawat di Malaysia adalah 2, tetapi indeks kekeruhan air AKSB adalah pada skala 9.
2. Rizab air minimum di Malaysia adalah 30% tetapi rizab air di Kelantan hanya 6%.
3. Tekanan minimum air ialah 80% tetapi tekanan air AKSB hanya 42%.
4. Purata peratus kehilangan air tidak berhasil (NRW) di bawah AKSB ialah 50% sedangkan purata di Malaysia hanya 35%.
5. Purata liputan bekalan air terawat di Malaysia ialah 75% tetapi liputan AKSB hanya 55%.
Apapun, diharapkan dengan perjanjian ini keadaan itu dapat diatasi demi kepentingan rakyat Kelantan yang telah lama berdepan dengan masalah yang berlarutan ini. 

No comments:

Post a Comment