Wednesday, 17 August 2016

BUAH KABUNG


Isi buah kabung biasanya menjadi bahan campuran dalam cendol, air batu campur dan hidangan lain. Kelembutan isinya seumpama gula-gula getah dan rasanya manis. Malah ia juga boleh diibarat seperti kurma Malaysia dan permintaan terhadapnya kini begitu tinggi sekali.
Daripada penjaja air batu di tepi jalan hingga ke hotel-hotel bertaraf lima bintang, apatah lagi pada bulan puasa atau Ramadan, ia mendapat tempat.
Pokok Kabung, kantor atau enau (bahasa Inggeris Common Sugar Palm) ialah satu spesies tumbuhan dalam famili Arecaceae yang berasal dari Asia Tenggara dan Australia Utara. Nama botaninya  Arenga pinnata.

Buah Kabung atau Arenga Pinnata adalah tumbuhan palma berasal dari tropika Asia dan tumbuh melebar dalam hutan khatulistiwa , termasuk Malaysia , Indonesia dan Filipina.

Pokok Kabung ialah sejenis pokok palma yang mempunyai daun bagaikan 'Bulu burung'. Ini disebabkan susunan daunnya yang melempai kebawah dari pelepah daun dengan kelihatan menurun seperti bulu burung merak atau burung kawasari.

Buah Pokok Kabung dihasilkan dari pokok matang dengan buahnya akan kelihatan berjuntai-juntai pada tandan sepanjang 1.5 meter (5 kaki). Setiap tandan buah kabong mempunyai purata sebanyak 10 tangkai. Kiraan yang saya buat mendapati setiap tangkai terdapat lebih kurang 50 biji buah kabung.

Buah kabong mempunyai kulit berwarna hijau yang tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat gatal.

Kerja memetik buah kabung agak sukar kerana memerlukan kepakaran tertentu.  Selain perlu pandai memanjat, pemetiknya juga perlu lasak kerana tandan dan tangkai buah mempunyai debu dan mengeluarkan getah yang menyebabkan badan menjadi gatal.
Proses mengeluarkan isi kabung bermula dengan merebus buahnya dalam air yang mendidih. Buah itu kemudian dipotong pada tampuknya bagi membolehkan isinya keluar dengan mudah menggunakan pengepit kayu.
Setiap biji buah kabung mempunyai tiga ulas isi yang berwarna putih jernih tetapi isi buah itu tidak boleh dimakan selagi ia tidak direndam dalam air bersih selama tiga hari.
Selain dengan cara merebus, satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk mengeluarkan isi buah kabung ialah dengan membakar tandan buah itu dalam api yang marak.
Isi buah kabung yang siap diproses amat enak dimakan sebagai kudapan iaitu dengan mencampuri air sirap, puding atau ais kacang.
Selain itu, isi buah kabung segar juga boleh dimakan begitu saja kerana lembut dan manis secara semula jadi.
Isi buah kabong ini yang mempunyai pelbagai warna, rasa manis, kenyal dan seperti agar-agar amat enak dimakan dan dipercayai dapat menurunkan suhu badan.
Kandungan gizi buah Kabung mengandungi kalori 164mg, sodium 19.58 mg, potassium 170.88 mg, karbohidrat 42.61 g, protein 0.64 g, Vit A 3.56 IU, vit C 0.89mg, calcium 78.32 mg, iron 0.52mg.

Selain daripada menikmati buahnya yang enak, buah kabung dikatakan berkesan untuk :
1) Untuk mengubati demam
2) Mengubati sakit perut
3) Mengubati sembelit - buah ini mengandungi serat yang tinggi yang boleh membantu proses penghadaman. ia juga mengndungi karbohidrat yang boleh memberikan rasa kenyang dan memberikan tenaga.
4) Untuk mengurangkan noda-noda hitam di wajah
5) Mencegah osteoporosis - juga mengandungi kalsium yang tinggi yang sangat baik untuk menguatkan tulang terutama bagi mereka yang alahan kepada susu.





No comments:

Post a Comment