Thursday, 11 August 2016

HUKUM MEMBUAT REPLIKA


Replika dibuat sama ada sama dengan ukuran sebenar objek, atau lebih kecil atau lebih besar.  Maknanya, tidak ditetapkan ukuran raplika berdasarkan ukuran sebenar. Banyak pihak telah membincangkan tentang hukum membuat replika. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, replika bermaksud 1. model sesuatu objek, seperti bangunan, jentera, catan, dan lain-lain, yang hampir atau betul-betul menyerupai objek yang asli: 2. seseorang atau sesuatu yang sifat-sifatnya hampir-hampir menyamai sifat-sifat seseorang atau sesuatu yang lain: 

Apa hukum membuat replika?  Jika ia berupa badan manusia atau binatang, maka itu termasuk dalam perbuatan membina atau membuat patung.  Maka, hukum membuat replika berkenaan hendaklah dirujuk berasaskan kepada hukum membuat patung.

Jika replika itu berdasarkan kepada bangunan atau bentuk lain, ia adalah diharuskan.  Namun, jika ia berkaitan dengan hak cipta terpelihara, maka perlulah dipatuhi hal-hal yang berkaitan dengannya.

Namun, jika raplika itu berbentuk Kaabah dan dibina secara tetap serta dilakukan urusan yang berkaitan tawaf dan mengadapnya sebagai kiblat, maka hukumnya adalah haram.  Itu bagi tujuan mengelak ada umat Islam menyamakan raplika Kaabah itu fungsi dan tarafnya sama dengan Kaabah sebenar di Makkah.

Bagaimanapun, dalam latihan tawaf yang mana dibuat bentuk yang merujuk seperti Kaabah, tidak dianggap sebagai raplika Kaabah.  Tambahan pula ia tidak dikekalkan di situ.  Maka untuk tujuan latihan dan pengajaran, maka raplika Kaabah sedemikian adalah diharuskan.

Pun begitu, ada pendapat mengatakan adalah tidak harus dalam apa keadaan dan tujuan sekalipun untuk membuat raplika Kaabah yang menampakkan ciri-ciri seperti Kaabah asal.  Ia bertujuan untuk mengelak salah faham di kalangan mereka yang jahil agama.  Dicadangkan, untuk tujuan latihan tawaf, sudah memadai ia ditanda dengan satu bentu tiang atau apa-apa tanda yang difahami ia dianggap kedudukan Kaabah.

Satu lagi raplika yang sering dibina sekarang ini ialah raplika al-Quran.  Banyak raplika al-Quran dijadikan mercu tanda sesuatu kawasan yang dijadikan hiasan atau pengenalan tempat. 

Raplika al-Quran juga sering dijadikan bahan sebagai cenderamata tanda kenang-kenangan.

Selain itu, raplika al-Quran lama juga dijadikan bahan pameran di muzium dan sebagainya.

Apa hukum membuat raplika al-Quran.  Hukumnya adalah harus atau dibolehkan.  Namun, perlu dijaga adab-adab berkaitan al-Quran.  Biarpun ia hanya sebagai raplika, dan jika dipandang sebagai lambang kesucian Islam, biarpun tidak ada tulisan ayat al-Quran padanya, maka hendaklah dijaga agar tidak berlaku penghinaan atau perbuatan yang boleh menjatuhkan syiar Islam. 

Jika pada raplika al-Quran itu ada tulisan atau surah al-Quran, maka hendaklah ia dijaga sepertimana menjaga al-Quran yang lengkap.  Hakikatnya, di mana-mana pun tulisan al-Quran ditulis, maka hendaklah dihormati dan dilindungi kemuliannya.  

Pada zaman Rasulullah SAW, ayat-ayat al-Quran sebelum dibukukan (dikumpulkan sepenuhnya) ditulis pada kulit binatang, batu, pelepah tamar dan sebagainya.  Maknanya, dibolehkan menulis ayat al-Quran pada mana-mana tempat atau medium selagimana ia bukan pada najis atau tempat-tempat yang tidak melambangkan kesucian seperti di tandas, di tempat penyembahan penganut agama lain, tempat maksiat dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment