Friday, 20 January 2017

KHASIAT BUAH KATAK PURU


Buah katak puru, nam nam atau kopi anjing. Khasiat buah ini mampu merawat penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.  

Kenalkah pokok nam nam ataupun di sesetengah negari dipanggil buah katak puru?  Buah ini dulunya terkenal dan diminati ramai kerana kelainan rasanya yang unik serta menyelerakan untuk dimakan. 

Nama buah itu dikenali katak puru mungkin disebabkan kerana mempunyai kulit luaran yang kurang menarik dan menggerutu macam katak puru.

Walaupun nama dan bentuk luarannya tidak secantik buah-buahan yang lain, namun bagi mereka yang biasa merasai buah ini tentu membuatkan air liur terasa kecur.

Pokok katak puru termasuk dalam kategori tumbuhan liar atau hutan.  Ia mudah ditanam atau dibiarkan melalui biji.  Jadi ia mudah tersebar apabila bijinya dicampak atau dibuang selepas isinya dimakan.  Sebab itu, pokok katak puru banyak terdapat di tepi rumah yang sebenarnya tidak ditanam, tetapi tumbuh setelah bijinya dibuang di situ.

Nama botani pokok katak puru ialah cynometra cauliflora dari keluarga ceasalpinioideae/leguminosae.  Selain nam nam, buah katak puru juga dikenali buah hima, namau-namu, kopi anjing, amphawa dan nang-ai.

Memandangkan pokok ini mudah ditanam dan tidak begitu besar, pokok nam nam sering dijadikan hiasan laman rumah, selain dapat menikmati buahnya. Warna daun muda yang berwarna pink menambahkan kecantikan pokok itu. 

Biarpun pokok ini mudah tumbuh, ia sesuai ditanam di kawasan tanah lembab bersaliran baik dengan sinaran matahari yang cukup untuk tumbuh subur. Buahnya yang berwarna coklat dengan permukaan yang berkerutu boleh dimakan. rasanya masam kelat ketika muda dan akan berubah menjadi masam manis apabila masak.

Buah katak puru bersaiz di antara lima hingga enam sentimeter (cm). Buah yang masak dikenali dengan warnanya berubah seakan kuning dan buahnya 'kembang penuh'. Bijinya pula berbentuk leper boleh dibelah dua.  

Buah katak puru keluar di bahagian batang, termasuk di pangkal pokok.  Ada yang keluar betul-betul di atas tanah.  Buahnya akan keluar di tempat sama dengan yang sebelumnya.  Sebab itu, di bahagian itu akan terbentuk macam bonggol tempat keluar buah.  

Bagi pokok yang subur, buahnya keluar hingga ke dahan bahan atas, tetapi jumlahnya tidak banyak. Jadi, tidak timbul istilah panjat pokok katak puru untuk mengambil buahnya, melainkan pokok itu betul-betul tinggi. 

Buah kopi anjing sedap kalau makan dicicih dengan kicap dicampur dengan gula dan garam.  Elok juga dimasukkan belacan dan lada cili api.  Kicap juga boleh diganti dengan cuka.  Tidak kisahlah cuka tiruan, cuka nipah atau cuka kelapa.  Kalau tidak ada semu itu, boleh dimakan dengan garam atau makan kosong aje.

Buah hima boleh juga dicampur dengan buah-buah lain untuk dijadikan rojak.  Memang terangkat. 

Kajian khasiat buah katak puru belum tersebar, biarpun dikatakan telah ada pakar pemakanan telah membuat kajian mengenainya. Namun, di kalangan masyarakat Melayu, antara khasiat buah katak puru dikatakan mampu untuk merawat kencing manis, darah dan penyakit buah pinggang. 

Selain buahnya, pucuk dan daun nam nam juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan kesihatan.  Pucuk katak puru boleh dijadikan ulam dimakan bersama nasi.  Rasanya agak kelat yang menyebabkan ia sesuai untuk mengubat kencing manis dan darah tinggi.  Daun tua pula boleh dikeringkan dan dijadikan ramuan teh.  Ia dipercayai dapat merawat batu karang.

Elok kita perbanyakkan menanam pokok katak puru sama ada sebagai pokok hiasan atau untuk mendapatkan buahnya.  Pokok ini kini dikategorikan sebagai pokok nadir kerana jumlahnya semakin berkurangan.  

No comments:

Post a Comment