Sunday, 15 January 2017

CARA DIDIK PELAJAR JADI PEMIMPIN


Golongan pelajar adalah aset terpenting negara dalam semua aspek yang akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara pada masa hadapan.  Justeru, golongan pelajar sentiasa mendapat perhatian dan diberi keutamaan dalam apa juga perkara bertujuan membina modal insan yang benar-benar berkualiti.

Apa saja yang melibatkan pelajar sewajarnya menjadi perhatian khalayak kerana masing-masing mengharapkan yang terbaik daripada golongan yang digantungkan harapan besar untuk membina kejayaan terbilang pada masa hadapan.

Perkara yang sering diungkapkan menjadi harapan semua pihak, terutama ibu bapa ialah supaya pelajar mencapai kecemerlangan dalam akhlak, moral, pendidikan dan keupayaan jasmani.  Semua faktor itu dapat menjamin kelangsungan cita-cita dan wawasan negara untuk tempoh masa yang lebih jauh ke hadapan.

Hasil kegigihan generasi terdahulu dan sekarang, negara mampu mencapai kejayaan cemerlang mengatasi negara-negara lain yang tempoh kemerdekaannya hampir sama dengan negara kita.  Justeru, satu harapan murni seperti yang disasarkan oleh pemimpin kita sekarang ialah mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.   

Untuk merealisasikan impian itu, negara memerlukan pewaris yang mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan, kepakaran, daya usaha, patriotisme dan jati diri.  Para pelajar perlu sedar tanggungjawab besar yang diharapkan kepada mereka. 

Proses pertukaran kepimpinan berlaku setiap detik melibatkan semua peringkat.  Setiap pelajar sedang melalui sebahagian daripada proses itu secara berperingkat.  Semakin meningkat dewasa, tanggungjawab dan harapan itu semakin hampir dengan mereka. 

Bersedia atau tidak, apabila tiba masanya, golongan pelajar sekarang yang pada ketika itu telah dewasa akan mengambil alih kepimpinan negara secara berperingkat.  Justeru, setiap pelajar bertanggungjawab mempersiapkan diri dan perlu bersedia untuk menjadi pewaris kepimpinan negara. 

Maksud pemimpin tidak terhad untuk jawatan perdana menteri, menteri dan ketua organisasi besar.  Sebaliknya, pemimpin merujuk kepada semua lapisan kepimpinan meliputi rumahtangga, tempat bekerja, pertubuhan dan sebagainya. 

Dengan kata lain, semua orang berpeluang menjadi pemimpin.  Oleh itu, usaha melatih pelajar menjadi pemimpin tidak hanya kepada mereka bercita-cita ingin menjadi pemimpin besar saja.  Menjadi pemimpin bermakna mereka adalah terbaik dalam bidang masing-masing dan pada peringkat tertentu.

Maka, semua pelajar perlu melalui proses pembentukan menjadi pemimpin di pelbagai peringkat kepimpinan.  Latihan menjadi pemimpin mesti dimula sejak awal lagi, sebaik-baiknya ketika masih di bangku sekolah. 

Pelajar sebenarnya telah menjadi pemimpin di peringkat masing-masing. Hal ini perlu diberi perhatian supaya peluang yang ada dipergunakan sebaiknya untuk lahir sebagai pemimpin terbaik.

Usaha melahirkan pemimpin berwibawa mesti diberi perhatian memandangkan pemimpin adalah tonggak kekuatan dalam sesuatu organisasi.  Oleh itu calon pemimpin perlu dipilih daripada kalangan terbaik.

Inilah harapan tinggi yang diletakkan di bahu setiap pelajar.  Namun, harapan ini ada kalanya dicalar dengan ragam golongan pelajar yang banyak terlibat dalam kancah masalah sosial dan jenayah.

Oleh itu, pelajar mesti bersedia diasuh dan dibentuk dalam acuan yang terpimpin dengan akhlak, ilmu dan kemahiran yang diperlukan masyarakat dan negara. 

Dalam setiap organisasi mesti ada pemimpin.  Organisasi di sekolah yang melibatkan pelajar juga ada jawatan pemimpin seperti ketua, pengerusi, yang dipertua, setiausaha, ahli jawatankuasa, pengawas dan sebagainya. 

Proses melahirkan pemimpin yang berwibawa, berketerampilan, berdaya tahan dan berkarisma memerlukan satu perancangan yang teliti.  Tumpuan permulaan melahirkan pemimpin ialah di peringkat pelajar. 

Proses mendidik dan melahirkan pemimpin yang terbaik memerlukan masa yang lama dan berperingkat-peringkat.  Pemimpin bukannya dilahirkan sebagai pemimpin, sebaliknya dibentuk melalui proses pembinaan ciri-ciri kepimpinan yang berterusan.  

Masa persekolahan adalah peluang terbaik untuk seseorang memulakan dan memperkembangkan bakat kepimpinan.  Peluang ini terbuka luas ketika di sekolah kerana banyak aktiviti yang melibatkan daya kepimpinan. 

Perkataan kepimpinan ditambah perkataan daya sebagai membuktikan satu daya diperlukan untuk menjayakan tugas kepimpinan.   Daya inilah tidak dimiliki semua individu, melainkan yang telah mendapat suntikan pengalaman dan sifat positif yang terdapat dalam diri.  

Jawatan pengawas, ketua tingkatan, pengerusi dan ahli jawatankuasa persatuan, ketua pasukan sukan dan seumpamanya adalah pemimpin mengikut lingkungan persekitaran masing-masing.  Setiap penjawat jawatan berkenaan perlu menjalankan tugas sebagai pemimpin seperti merancang, menguatkuasa dan menjayakan matlamat organisasi masing-masing.

Jawatan itu adalah sebahagian daripada tugas pemimpin di semua peringkat kepimpinan.  Setiap pemimpin sebenarnya menjalankan tugas kepimpinan yang sama tetapi mengikut skala dan bidang tugas masing-masing.  

Dengan kata lain, pelajar yang dipilih menjadi pemimpin ketika di sekolah perlu mengambil peluang untuk membina keyakinan diri, kemahiran dan keupayaan sebagai pemimpin.  Jangan lepaskan peluang yang tidak ada lagi selepas menamatkan persekolahan.   

Pengalaman ini kemudiannya dapat dikembangkan apabila tamat persekolahan dengan menyertai pertubuhan atau bidang pekerjaan yang memerlukan kemampuan daya kepimpinan. 

Pelajar yang pernah menjadi pemimpin di sekolah tidak sukar untuk menjadi pemimpin dengan tugas lebih mencabar kemudiannya.   Mereka mempunyai pengalaman yang tidak banyak bezanya dengan corak kepimpinan di tempat lain.

Sebenarnya, pelajar yang terpilih memegang jawatan telah pun mempamerkan sifat-sifat sebagai pemimpin.  Mereka terpilih dan diberi peluang untuk menjalankan tugas istimewa itu.  Peluang ini tidak diperoleh semua pelajar. 

Justeru, pelajar yang memperoleh peluang ini perlu memanfaatkan sepenuhnya untuk mengilap dan meningkatkan bakat kepimpinan.  Menjadi pemimpin di sekolah mempunyai banyak kelebihan dari segi menimba pengalaman dan membentuk keyakinan diri.   

Pelajar dipilih menjadi pemimpin adalah yang terbaik.  Dia dipilih mungkin daripada ratusan malah ribuan pelajar lain.  Bakat kepimpinan mereka telah dikesan dan diperhatikan oleh guru dan rakan ketika menyertai atau melakukan aktiviti sebelum itu. 

Jawatan itu mungkin juga peningkatan daripada jawatan yang telah disandang sebelum itu, yang dia telah menunjukkan prestasi yang baik.  Mereka telah berjaya memimpin di peringkat kepimpinan yang lebih rendah sebelum itu, dan berpeluang melakukan di peringkat lebih tinggi.  

Pelajar yang terpilih menjadi pemimpin di sekolah jangan persia-siakan bakat dan peluang itu.  Bukan mudah untuk mendapat peluang yang hanya dianugerahkan kepada segelintir pelajar yang bertuah.  Keupayaan dalam kepimpinan adalah sebahagian daripada proses pendidikan yang ditekankan dalam sistem pendidikan kebangsaan.  

Bagaimanapun, pelajar yang menjadi pemimpin tidak seharusnya mengabaikan pelajaran disebabkan terlalu sibuk memimpin organisasi.  Pelajar yang terpilih menjadi pemimpin perlu bijak membahagi-bahagikan masa dengan baik dan mencapai kecemerlangan dalam kedua-dua tugas. 

Pemimpin pelajar perlu menunjukkan contoh terbaik kepada semua pelajar lain dengan mencapai kejayaan dalam aspek kepimpinan dan sudah tentu juga dalam pelajaran yang menjadi matlamat utama.

Setiap pemimpin perlu memiliki keupayaan yang istimewa.  Mereka mampu melakukan pelbagai tugas dalam satu masa yang sama.  Sebagai pemimpin pelajar, mereka juga ingin menunjukkan contoh kejayaan dalam akademik, juga sudah tentu menjadi anak yang baik dan rakyat yang memahami inspirasi negara.

Pemimpin menjadi lambang baik kepada orang bawahan untuk dituruti dan dicontohi.  Pelajar yang terpilih menjadi pemimpin biasanya terdiri daripada pelajar pintar, berani, bercita-cita tinggi, tegas, amanah dan sifat baik lain.  Kedudukan baik ini mesti dijaga dan dipertingkatkan untuk mencapai satu tahap yang lebih baik lagi.  

No comments:

Post a Comment