Thursday, 21 December 2017

Sejarah nama nasi tumpang

Satu menu nasi yang cukup sinonim dengan masyarakat negeri Kelanatan ialah nasi tumpang atau dalam dialek Kelantan disebut 'tupe' atau 'tupae'. Dipercayai  nasi tumpang telah dipasarkan di sekitar Kota Bharu terutamanya di Pasar Kubang Pasu sejak berpuluh tahun yang lalu.

Nasi tumpang menarik perhatian kerana rasa unik dan cara dibungkus dengan daun pisang dalam bentuk kon. Daun pisang yang digunakan perlu disalai atau dilayurkan untuk mengelak ia mudah carik dan memudahkan kerja pembungkusan.

Sekarang ini ada pembuat nasi tumpang menggunakan kertas pembungkus makanan untuk menggantikan daun pisang yang sukar diperoleh. Namun, penggunaan kertas pembungkus itu dianggap menghilang identiti nasi tumpang dan mengubah aroma rasa.

Nasi tumpang yang mana nasinya lembek, dibungkus di dalam daun pisang yang mana diisi secara berselang seli (layer) dengan lauknya. Kebiasaannya lauk terdiri daripada udang, ikan, sambal ikan, gulai dan telur dadar.

Setiap proses tersebut perlu dilakukan dengan cermat supaya nasi dan lauk berada dalam keadaan kemas, selain mengelak daun pisang koyak mengakibatkan nasi terkeluar.

Setelah siap, bungkusan nasi tumpang itu dikepilkan dengan lidi dan bahagian luar daun pisang disapu minyak supaya kelihatan segar dan menarik.

Lantaran berikutan banyak jenis lauk yang 'menumpang' dalam nasi itu, maka akhirnya ia dikenali sebagai nasi tumpang dan dikenali sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, asal usul nasi tumpang mula dihasilkan, tiada individu yang dapat menyatakannya secara tepat.

Keadaan nasi itu yang lembek dan dicampur pelbagai jenis lauk, menjadikannya menu cukup istimewa dan amat sesuai untuk kanak-kanak serta orang tua yang tidak boleh memamah makanan keras.

No comments:

Post a Comment