Friday 31 August 2018

USIA TUNGGU SAAT MATI KETIKA UMUR BERAPA?


Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang. Firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34 bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” Dalam ayat lain pula Allah menjelaskan bahawa apabila tiba masa ajalnya, maka ia tidak dapat dipercepatkan atau diperlambatkan walaupun sesaat. 

Setiap hari di sekeliling kita terdapat saudara, kawan, jiran dan lain-lain diketahui meninggal dunia. Akan tiba masanya kita pula meninggal dunia. Justeru, manusia tidak selama-lamanya akan hidup di dunia ini.

Buktinya, perhatikan sekeliling kita. Sekarang ini kita tidak dapat lagi menemui orang yang berumur lebih 150 tahun. Semuanya sudah meninggal dunia sebelum mencapai umur tersebut. 

Secara puratanya, umur 60 tahun sudah dikira memasuki ‘usia menunggu kematian’. Rasulullah telah mengingatkan usia umatnya tidak panjang seperti usia umat nabi-nabi terdahulu yang mencecah usia ratusan tahun. Rasulullah sendiri wafat ketika usia 63 tahun. 

Namun perlu juga diingatkan, saat kematian sebenarnya tidak mengira usia. Bukan hanya apabila telah melepasi usia tua sahaja baru kematian akan berlaku. Kematian boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tidak kira bayi dalam kandungan, kanak-kanak, remaja dan tambah-tambah lagi orang yang sudah tua. Sebab itu setiap orang perlu sentiasa mengingati kematian yang akan dihadapi. 

Pesanan agar mengingati saat kematian bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan atau menyebabkan kesan negatif. Sebaliknya ia bertujuan mengingatkan kita tujuan hidup ini dan di mana akan berakhir. Setiap orang perlu mengetahui tujuan sebenar hidup ini. Allah menjadikan manusia bukan sekadar untuk menikmati kehidupan dengan di dunia ini dan kemudian dimatikan seperti mana makhluk-makhluk lain. 

Manusia diciptakan dan diturunkan ke muka bumi sebagai khalifah dan hamba yang ditetapkan tugas atau peraturan hidup yang perlu dilakukan. Firman Allah dalam surah al-Dzariyat ayat 56 bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia telah menyatakan persetujuan untuk taat kepada Allah. 

Maksud menyembah dan beribadat kepada Allah adalah dalam maksud yang luas meliputi segala detik kehidupan manusia. Ia meliputi ibadat khusus seperti sembahyang, menunaikan haji dan ibadat yang dinyatakan secara jelas sebagai perlu dilakukan. Manakala yang lainnya dalam bentuk ibadah tidak khusus.

Manusia yang melakukan segala apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang dikira telah melakukan ibadah. Panduan atau peraturan kehidupan manusia di dunia ini terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis. Sesiapa yang mengikut kedua-duanya pasti akan bahagia hidup di dunia dan akhirat.

Setiap perbuatan manusia akan dicatatkan di dalam rekod yang dijaga oleh dua melaikat; catatan perbuatan baik dan perbuatan buruk. Kedua-duanya tidak akan sedikitpun tertinggal atau berlaku kesilapan. Rekod itu kemudian akan dibentangkan di hadapan Allah di akhirat nanti selepas berlaku kiamat. 

Setiap amalan akan dihisab dan ditimbang pahalanya biarpun sekecil mana perbuatan yang telah dilakukan sepanjang hidupnya di dunia. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi pembalasan. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga tetap akan diberi pembalasan.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8). 

Sesiapa yang mendapat himpunan pahala yang lebih banyak daripada dosa, maka dimasukkan ke dalam syurga dan berbahagialah dia hidup di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya syurga itu tempat yang tiada tandingan nikmatnya yang disediakan kepada orang yang bertakwa. 

Firman Allah dalam surah ar-Raad ayat 35 bermaksud: “Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takut kepada Allah, di dalamnya mengalir sungai-sungai, buah-buahnya tetap dan (juga) naungannya. Itulah kesudahan orang-orang yang bertakwa kepada Allah, manakala kesudahan orang-orang kafir (engkar) pula ialah nereaka.”

Dengan selalu mengingati kematian, manusia akan sedar ke mana akhirnya hidupnya nanti. Dia akan mengingati hari pembalasan terhadap setiap apa yang dilakukan. Dengan itu, setiap amalannya adalah untuk kebaikan seperti yang dikehendaki oleh ajaran agama dengan mengira-gira sudah berapa banyak kebaikan yang telah dilakukan.

Insan yang mengharapkan balasan baik tidak akan merasa cukup dengan apa yang telah dilakukan. Sebaliknya dirasakan sentiasa masih terlalu kurang dan ingin dilipat-gandakan lagi amalan baik yang telah dilakukan sebelum tiba saat kematian yang tidak diketahui bila masanya. Sesungguhnya semakin banyak amakan kebaikan dilakukan, maka semakin dekat dirinya dengan Allah dan semakin takut dia kepada Allah.

Perasaan takut orang beriman menyebabkan mereka sentisa mengingati hari kematian. Dua kemungkinan mereka fikirkan tentang kematian. Pertamanya adalah kesediaan mereka untuk menemui Allah pada bila-bila masa. Segala-galanya dirasakan begitu mengembirakan. 

Bagi orang beriman saat kematian amat manis ketika mana perjalanan untuk menghadap Allah semakin hampir. Mana kala kemungkinan keduanya yang sering bermain di benak fikiran orang beriman ialah adakah amalan mereka sudah cukup untuk mendapat balasan baik daripada Allah. Justeru, mereka terus menerus tanpa jemu melakukan amal ibadat kepada Allah sambil terus menghitung saat kematian.

Jika disedari mereka telah melakukan kesalahan atau dosa, maka terus diperbetulkan kesalahan itu. Lalu ia diikuti dengan taubat atau memohon keampunan daripada Allah. Taubat bagi orang yang beriman dilakukan tanpa ditangguh-tangguh. Sesungguhnya taubat itu memberi erti atau diterima sebelum tiba saat kematian. 

Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa bertaubat kerana Allah maha menerima taubat. Namun taubat itu ada batasan waktunya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya selagi nyawanya belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut).” – (Hadis riwayat Tirmizi).

No comments:

Post a Comment