Friday 31 August 2018

KEMBANG BAKAT KEPEMIMPINAN ANAK

Semua ibu bapa ingin anak mereka berjaya dalam pelajaran dan menjadi pemimpin apabila dewasa nanti. Menjadi pemimpin dianggap lambang kejayaan, keupayaan melebihi individu lain dan bijaksana. Justeru, status pemimpin amat dihormati dan menjadi kebanggan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Erti pemimpin bukan saja apabila menjadi jadi ahli politik. Jawatan ketua dalam kerjaya juga dikira pemimpin. Sebenarnya banyak antara kita yang layak dipanggil pemimpin. 

Proses mendidik anak untuk menjadi pemimpin yang berjaya perlu dilakukan sejak kecil lagi. Bakat kepimpinan seseorang biasanya telah dapat dikesan sejak usia kanak-kanak. Justeru, bakat yang dimiliki anak itu perlu dipupuk dan dikembangkan sepenuhnya.  

Pemimpin adalah individu yang berwibawa, berketerampilan, berdaya tahan dan berkarisma. Proses membentuk dan melahirkan pemimpin yang terbaik memerlukan masa yang lama. Ia dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut tahap aktiviti atau kedudukan.

Sebab itu, untuk melahirkan pemimpin yang baik memerlukan satu perancangan awal, sebaik-baiknya sejak usia kanak-kanak. Ibu bapa patut memerhatikan bakat kepimpinan yang dimiliki oleh anak. Mungkin anak anda mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin ternama suatu hari nanti.

Bakat ini perlu diasuh atau dibina secara berterusan bersesuaian mengikut peringkat umur anak. Ibu bapa tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk membentuk bakat kepimpinan anak yang ada dalam diri. Ia satu aset yang amat berharga untuk kejayaan hidup anak pada masa depan.   

Didapati pemimpin yang hebat sekarang ini bukannya dilahirkan sebagai pemimpin secara semulajadi. Sebaliknya seseorang pemimpin dibentuk melalui proses pembinaan ciri-ciri kepimpinan yang berterusan. 

Bakat kepemimpinan itu perlu diasuh sejak kecil, dikembangkan pula di alam persekolahan dan seterusnya di pusat pengajian tinggi. Bakat kepemimpinan juga boleh dikembangkan melalui persatuan, aktiviti berkumpulan dan paling jelas apabila menyertai politik. 

Untuk mengesan bakat kepimpinan anak ialah dengan memerhati tingkah lakunya. Cuba perhatikan, ada kanak-kanak yang berlagak sebagai ketua di kalangan rakan sebaya. Dia menjadi lebih dominan di kalangan rakan sebaya. Itulah namanya anak yang ada bakat kepemimpinan.

Bakat kepimpinan itu lebih terserlah apabila rakan sebaya menerima atau menuruti apa yang dilakukan olehnya. Dia berkemampuan merancang, melaksanakan dan mengambil keputusan berkaitan aktiviti yang dilakukan bersama-sama rakan sebaya.

Bakat seumpama itu tidak dimiliki oleh semua kanak-kanak. Dia lebih berkebolehan berbanding kanak-kanak sebaya. Itu tanda ada bakat terpendam yang perlu dicungkil dan disuburkan.

Biarpun bakat kepemimpinan asalnya kelihatan secara semulajadi, hakikatnya mempunyai banyak kaitan bagaimana ibu bapa mewujudkan persekitaran kepemimpinan untuk anak. Ia berkaitan dengan peluang dan pendedahan secara berterusan.    

Bakat itu perlu dipupuk dan dikembangkan lagi kepada aktiviti mendatangkan kebaikan. Ibu bapa patut menggalakkan anak melakukan aktiviti dengan rakan sebaya yang berpewatakan baik. Dengan cara itu mereka memperoleh pengalaman yang lebih.

Sebenarnya anak perlu diberikan sedikit kebebasan dalam pergaulan. Itu bukan saja baik untuk melatih bakat kepemimpinan, tetapi dalam aspek lain yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk menimba pengalaman hidup. Justeru, ibu bapa jangan terlalu banyak mengungkapkan perkataan ‘jangan’ kepada anak. 

Selain membina bakat kepemimpinan, aktiviti berkumpulan dapat meningkatkan kemampuan berkomunikasi, kerjasama dan membina ketahanan minda dan fizikal. Ini juga dapat membantu anak menjadi lebih cergas dan bijak.   

Namun, perlu diperhatikan agar bakat kepimpinan yang dimiliki anak tidak disalahgunakan kepada aktiviti berbentuk negatif. Ada kanak-kanak yang menunjukkan bakat memimpin rakan sebaya kepada perbuatan tidak senonoh, menipu, malas, keras kepala dan nakal. 

Jadi, elok diperhatikan dengan siapa anak kita berkawan. Kanak-kanak mudah terpengaruh apa yang dilakukan oleh rakan sebaya yang lebih dominan dalam kumpulan mereka. Dengan kata lain, kebebasan yang perlu diberikan adalah bersyarat. 

Bakat kepimpinan anak akan lebih menyerlah apabila berada di alam persekolahan. Alam persekolahan bukan sekadar mengajar pelajar mengenai pelajaran akademik semata-mata. Aktiviti di sekolah banyak membantu membentuk daya kepimpinan pelajar.  

Di sekolah pelajar berpeluang menyertai secara berkumpulan, kegiatan sukan dan kokurikulum. Di sinilah bakat kepimpinan semakin berkembang dan memerlukan pembinaan yang lebih teratur. 

Dalam aktiviti di sekolah itu pastinya ada pelajar yang dilantik menjadi ketua, pengerusi, setiausaha, ahli jawatankuasa, pengawas, ketua darjah dan sebagainya. Semua jawatan itu adalah sebagai pemimpin. Jadi, ia adalah medan terbaik untuk pelajar membina dan memperkukuhkan bakat kepimpinan.   

Jika disoroti kejayaan pemimpin di pelbagai peringkat kerjaya, didapati bermula ketika alam persekolahan lagi. Pengalaman memimpin ketika di sekolah digunakan untuk meletakkan mereka terbaik antara yang terbaik dalam bidang masing-masing. 

Ketika orang lain baru hendak mengilap bakat kepimpinan, bekas pemimpin pelajar telah memacu jauh di hadapan dalam kelasnya tersendiri. Mereka dapat menggunakan pengalaman menjadi pemimpin ketika alam persekolahan untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi. 

Justeru, penyertaan dalam kokurikulum dan memegang jawatan semasa di sekolah bukan satu usaha sia-sia. Belajar menjadi pemimpin adalah sebahagian daripada matlamat pendidikan negara. Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya cemerlang dalam akademik, tetapi tidak mampu menjadi pemimpin yang baik. 

Sikap ibu bapa yang melarang anak mereka akif dalam persatuan dengan alasan tidak mahu prestasi pelajaran anak terganggu sebenarnya mengambil langkah tidak bijak. Tidak ada bukti yang menunjukkan pelajar yang aktif berpersatuan akan menurun prestasi akademiknya.

Sebenarnya kejayaan akademik semata-mata tidak bermakna tanpa keupayaan memimpin. Banyak pelajar yang cemerlang di alam persekolahan, tetapi ketinggalan dalam kerjaya. Mereka gagal menjadi pemimpin yang baik.

Sesiapa menjadi pegawai di sektor awam maupun swasta tidak terlepas daripada tanggungjawab memimpin. Inilah hakikat yang terpaksa dilalui setiap pegawai. Tugas memimpin bukan satu tanggungjawab yang mudah.

Walaupun banyak pegawai cuba mempelajari teknik kepimpinan, tetapi tidak dapat dicapai dengan mudah. Daya kepimpinan turut menggabungkan sikap, pekerti, minda, emosi, minat, keikhlasan dan fizikal. Hal ini tidak lahir dengan mudah dalam diri, melainkan telah diamalkan dalam diri sejak awal lagi.

Semangat kepimpinan pelajar juga adalah sebahagian daripada menyemai semangat patriotisme. Pelajar yang menjadi pemimpin memperlihatkan semangat positif terhadap isu-isu yang dibincangkan di peringkat negara dan global. Kematangan fikiran menghadapi isu-isu semasa begitu kuat dalam diri. 

Justeru, pemimpin pelajar lebih memahami dan sedaya upaya untuk menjayakan inspirasi kerajaan. Kehendak dan impian mereka selari dengan apa yang dicanangkan oleh kerajaan kerana mereka sudah menjiwai semangat pemimpin sepertimana pemimpin negara.

Kerajaan sentiasa menerima cadangan dan cetusan minda yang dilahirkan oleh kepimpinan pelajar. Mereka bakal mengambil alih kepimpinan negara pada masa akan hadapan. Misi dan visi pelajar adalah untuk kehidupan mereka pada masa akan datang.

Pemimpin pelajar sentiasa menumpukan perhatian kepada perkara yang berfaedah. Ini secara langsung mengelak mereka terjebak dengan masalah disiplin dan moral. Bahkan, pemimpin pelajar sering terlibat membantu rakan sebaya agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat.

Bilangan pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, salah laku seks, samseng, mencuri, ponteng sekolah dan merosak harta benda awam semakin meningkat. Antara punca yang dikenal pasti ialah pelajar itu tidak mengikuti aktiviti persatuan dan kokurikulum di sekolah, sebaliknya menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti tidak berfaedah. 

Di sinilah kita memerlukan lebih banyak pelajar yang mempunyai semangat kepimpinan dan bersedia untuk berada selari dengan arus perdana negara. Pemimpin pelajar menjadi contoh kepada pelajar lain dan memimpin rakan sebaya ke arah menjadi pelajar berdisiplin, bermotivasi, berwawasan dan berjaya.

Justeru, ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka menyertai aktiviti berkumpulan untuk membentuk daya kepimpinan dan menimba sebanyak pengalaman dan pengetahuan melaluinya. Negara memerlukan generasi pemimpin pelapis yang lebih berkebolehan dan mampu melaksanakan misi negara dengan jayanya.  

No comments:

Post a Comment