Tuesday 21 August 2018

Chin Peng Setiausaha Agung Komunis

Chin Peng dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di Sitiawan, Perak dengan nama sebenar Ong Boon Hwa. Beliau adalah Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Nama Chin Peng dirakam sebagai sejarah hitam tanah air akibat keganasan dilakukan PKM.

Chin Peng berketurunan Kantonis yang didakwa lahir di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Bagaimanapun, dalam perbicaraan memohon dibenarkan masuk Malaysia, beliau gagal mengemukakan sijil kelahirannya. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China yang kecewa akibat kemelesetan ekonomi di Tanah Besar China.

Semasa kecil, Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan mengikuti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai-shek dan Mao Zedong. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung.

Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Chiang Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Namun, buku kecil On Protacted War yang dikarang oleh Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941.

Penglibatan Chin Peng dalam PKM bermula pada tahun 1940 apabila diterima untuk menyertai parti itu yang menjadi satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Beliau turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun. Chin Peng memimpin Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA), sebuah pasukan gerila bagi menentang tentera Jepun.

Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal Order of the British Empire kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun.

Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Ketika berumur 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya.

Di bawah pimpinan Chin Peng, Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu, ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana ditolak di kalangan orang Melayu.

Namun, terdapat juga orang Melayu menyertai PKM seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D, Samsiah Fakeh dan Suraini Abdullah. Penyertaan di kalangan Melayu disebabkan PKM tidak mengamalkan atiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia.

Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ke tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya.

Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan pertumpahan darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan daripada masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955.

Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.

Chin Peng kembali ke dalam hutan dan melakukan keganasan. PKM terus menyebarkan propaganda agar rakyat membenci usaha untuk mencapai kemerdekaan. Sepanjang keganasan dilakukan oleh PKM, seramai 2,083 anggota keselamatan negara terkorban dan mencacatkan 3,541 anggota lain manakala sebanyak 2,588 orang awam pula dibunuh dengan 1,490 yang lain cedera.

Setelah komunis runtuh di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur pada 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara kerajaan Malaysia, kerajaan Thailand dengan PKM ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.

Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata. Ahli PKM di­terima sebagai warganegara Ma­laysia dan boleh kembali ke Malaysia dengan syarat membuat permohonan. Namun Chin Peng tidak membuat permohonan kembali ke Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan iaitu setahun.

Chin Peng tidak pernah menyatakan kesal memimpin PKM dalam perperangan mereka menentang kerajaan Malaysia, malah bangga dengannya sebagaimana yang ditulis olehnya dalam bukunya, “Setiap generasi membina impiannya. Tetapi anda membayar ke atas impian anda itu. Kami telah membayar harga ke atas impian kami. Saya tidak menyesal berjuang ke atas sesuatu yang saya percaya dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan yang adil.”

Ching Peng pada penghujung hayatnya ingin pulang ke Malaysia sepertimana ditawarkan oleh kerajaan Malaysia sebelum sepertimana semasa Perjanjian Haadyai. Bagaimanapun, permohonan beliau ditolak kerana tawaran ini telah tamat tempoh.

Pada 4 Mac, 2005, Chin Peng mengemukakan saman pemula bagi mendapat pengisytiharan untuk dibenarkan memasuki dan menetap di Malaysia dan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera sebagai defendan.

Chin Peng mendakwa beliau berhak balik ke Malaysia kerana dia berasal dari Malaysia sejak dilahirkan pada 20 Oktober, 1923 di Sitiawan, Dinding, Perak dan dibesarkan di Malaysia. Dia mendakwa kelahirannya didaftarkan dan juga memiliki salinan asal sijil itu.

Namun permohonan itu ditolak antara lain berpunca kegagalan menunjukkan sijil kelahiran untuk membuktikan dia rakyat Malaysia. Dokumen itu penting untuk menentukan status Chin Peng kerana Jabatan Pendaftaran Negara tidak dapat menemui sebarang rekod kelahiran Chin Peng.

Mahkamah Tinggi memaksa Chin Peng mengemukakan sijil kelahiran dan kewarganegaraannya bagi membuktikan bahawa dia adalah warganegara Malaysia sebelum membenarkannya meneruskan permohonan bagi mendapat pengisytiharan bahawa dia boleh menetap di negara ini. Usaha pertama Chin Peng untuk mendapat pengisytiharan itu ditolak apabila Mahkamah Tinggi menolak saman pemula selepas dia gagal mematuhi peraturan mahkamah untuk mengemukakan sijil kelahiran dan kertas kewarganegaraan.

Chin Peng kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.  Bagaimanapun, Makhamah Rayuan pada 20 Jun 2008 menolak permohonan tersebut dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Malik Ishak mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa dia perlu mengemukakan sijil kelahiran atau kewarganegaraan bagi membuktikan dia adalah rakyat Malaysia sebelum meneruskan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia. Abdul Malik Ishak, dalam keputusannya berkata dokumen itu penting untuk menentukan status Chin Peng kerana Jabatan Pendaftaran Negara tidak dapat menemui sebarang rekod kelahiran Chin Peng.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan, Chin Peng meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Mahkamah Persekutuan yang bersidang kemudiannya mengekalkan keputusan dua mahkamah rendah yang memaksanya menunjukkan dokumen pengenalan sebelum dibenarkan memasuki negara ini. Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk S Augustine Paul, yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusof dan Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas menolak usul Chin Peng memohon kebenaran untuk rayuan.

Dalam prosiding rayuan itu, peguam Chin Peng, Raja Aziz Addruse, menegaskan bahawa bukti kewarganegaraan tidak diperlukan bagi pemohon untuk menunaikan haknya memasuki Malaysia kerana ia juga boleh dibuktikan dengan memanggil adik atau gurunya untuk memberi keterangan. Katanya, mengikut klausa 3(1) perjanjian damai antara kerajaan dan PKM bertarikh 2 Disember, 1989, anggota PKM yang berasal dari Malaysia dan ingin menetap di Malaysia perlu dibenarkan berbuat demikian mengikut undang-undang.

Menurut Raja Aziz, "Mahkamah perlu meneliti apa makna "asal Malaysia". Adalah menjadi tugas mahkamah ini untuk menterjemah perjanjian antarabangsa. 

Pihak kerajaan pula memutuskan bahawa Chin Peng tidak termasuk dalam golongan ditawarkan untuk kembali ke Malaysia kerana tidak pernah melepaskan perjuangan parti dan ideologi komunisnya sebagaimana yang disyaratkan dalam Rundingan Damai Haadyai tersebut.

Tawaran pengampunan yang diberikan semasa perjanjian damai di Hadyai, Thailand pada 1 Disember 2009 yang lalu, adalah dengan syarat pihak PKM membubarkan parti serta ideologi komunis mereka.

Bagaimanapun terdapat pihak yang mempersoalkan kenapa Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh yang juga bekas pemimpin PKM dapat diterima kembali ke Malaysia, tetapi tidak bagi Chin Peng. Persoalan ini dicetuskan tanpa memikirkan bahawa Chin Peng tidak pernah menyatakan kekesalannya membunuh rakyat Malaysia malah berbangga dan menulis buku bagi membenarkan tindakannya.

Chin Peng telah dilaporkan meninggal dunia pada usia 90 tahun, di Bangkok, Thailand pada jam 6.20 pagi 15 September 2013. Selepas kematiannya, timbul polimik apabila ada pihak ingin membawa pulang abu mayatnya dan ingin disemadikan di Sitiawan, Perak, tempat yang didakwa tanah tumpah darahnya. Sedangkan pihak kerajaan melarang usaha tersebut.   

Mengapa masih ada usaha pihak-pihak tertentu untuk menobatkan mendiang Chin Peng sebagai hero? Chin Peng adalah pengganas. Itu hakikatnya.  Keputusan kerajaan melarang mayat mahupun abu mayat mendiang dibawa ke Malaysia adalah tepat. Mediang bukan warganegara Malaysia. Perkara ini telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sikap mengagungkan Chin Peng sudah keterlaluan. Sehingga ada laporan laporan menyatakan tarikh kematian Chin Peng dikatakan mungkin diubah daripada 15 September kepada 16 September agar sinonim dengan sambutan Hari Malaysia. Mengapa Chin Peng hendak dikaitkan dengan Hari Malaysia, sedangkan tidak ada jasa walau sekecil zarah dalam usaha penubuhan Malaysia. 

Tindakan sesetengan pihak mendakwa kerajaan pilih kasih dengan membenarkan jenazah teroris, Allahyarham Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dikebumikan di negara ini tetapi melarang Chin Peng tidak betul. Kita perlu kembali kepada fakta, Azahari dan Nordin kedua-duanya rakyat Malaysi, sedangkan Chin Peng bukan. 

Pihak yang mendakwa kerajaan melangggar perjanjian damai dengan PKM di Hatyai pada 1989 berkaitan dengan peluang kepada bekas ahli PKM untuk menjadi rakyat Malaysia juga tidak betul. Dalam perjanjian itu memang tertulis mengenai peluang untuk bekas ahli PKM memohom menjadi rakyat Malaysia dan pulang tinggal di Malaysia. 

Peluang itu diberikan kepada semua bekas ahli PKM, termasuk Chin Peng. Namun, peluang atau tawaran itu hanya untuk tempoh setahun iaitu tamat pada tahun 1990. Malangnya, mendiang tidak pernah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia sepanjang setahun perjanjian itu dimeterai, menjadikan haknya telah luput.

Tindakan sesetengah pihak yang menggunakan 'Allahyarham' terhadap Chin Peng amat keterlaluan. Perbuatan itu dilakukan bagi menggambarkan mungkin di saat akhir hayatnya Chin Peng telah memeluk Islam. 

Semua itu dilakukan semata-mata untuk mendapat simpati rakyat agar mayat Chin Peng diterima untuk dikebumikan di Malaysia. Tindakan itu juga bertujuan untuk menjulang bahawa Chin Peng adalah pejuang kemerdekaan yang perlu dihormati dan disanjung jasanya.

Walaupun sudah meninggal dunia, mendiang tetap ketua pengganas komunis yang bertanggungjawab membunuh ribuan anggota keselamatan negara.

Kematian Chin Peng itu juga tidak mungkin dapat memadam rasa kebencian terhadap mendiang terutama dalam kalangan balu-balu anggota polis dan tentera yang dibunuh kejam pengganas komunis.

Tidak mungkin veteran polis dan tentera akan menerima mayat atau abu mendiang sekalipun untuk dikebumikan di Malaysia. Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan sebagaimana dakwaan pihak-pihak tertentu.

Pihak yang menjadikan Chin Peng sebagai idola perlu menyorot sejarah keganasan komunis membunuh ramai anggota keselamatan termasuk bekas Ketua Polis Perak dan ribuan lagi yang cacat anggota.

Selain itu, nyawa orang awam juga menjadi korban angkara keganasan PKM selain banyak wang negara dibazirkan untuk menghalang keganasan mereka.

Bayangkan berita kematian Chin Peng disebarkan sebagai “Chin Peng sudah wafat”.  Mulianya Chin Peng pada padangan mereka.  Inilah dikatakan apabila mata hati telah buta. Tindakan itu seperti memberi erti seperti Nabi. Dalam masyarakat Melayu, perkataan wafat digunakan untuk merujuk kematian Nabi Muhammad SAW dan para nabi.

Inilah gelagat anak muda yang lupa sejarah. Mereka tidak membaca sejarah keganasan yang dilakukan oleh komunis yang diketuai oleh Chin Peng. Mereka tidak mengalami penderitaan seperti mana dialaimi oleh anggota tentera, polis, orang awam dan mereka yang hidup pada zaman darurat. 

Seorang pemuda Melayu semasa 'bertwit' menulis: Mayat Chin Peng akan dibawa pulang? Kami anak muda sedia sahut dan urus jenazah pejuang itu!

Tidak pasti apakah budak itu sedar apa yang dia cakap? Atau hanya mahukan perhatian murahan.

PKM berjuang bukan menuntut kemerdekaan sebaliknya menjadikan Malaysia negara komunis yang hanya akan menjadi boneka kepada Republik China.

Dari segi latihan ketenteraan, persenjataan serta bantuan logistik semuanya diperoleh dari China, selain Chin Peng dan beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh pernah tinggal untuk tempoh yang lama di Beijing.

No comments:

Post a Comment