Wednesday 22 August 2018

Apajkah hukum daging korban diberikan kepada bukan Islam

Apa hukum agih atau beri makan daging keroban kepada bukan Islam? Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, elok kita melihat pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. 

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat: Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram. Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.

Persoalan ini berlaku kerana adanya perbezaan pendapat ulama (khilaf) disebabkan tiada nas yang jelas. Oleh itu, ulama berijtihad bagi menyelesaikan masalah ini. Hujah qias menjadi asas penghujahan. Ia diqias kepada hukum memindahkan harta zakat ke tempat lain. Maka mereka berpendapat boleh dan menambah lagi hujah dengan menggunakan hujah maqasid syarak.

Dr Yusof Qardhawi berpendapat, jika sesebuah negeri itu susah dan rakyat memerlukan daging, sembelihan itu lebih baik di tempat itu. Jika negeri itu kaya dan ramai rakyatnya melakukan korban, maka bersedekah wang yang dinilaikan dengan nilai binatang korban itu lebih baik, kerana sedekah mesti diutamakan di tempat lebih memerlukannya.

Oleh itu, mengagihkan sembelihan korban di tempat yang memerlukan lebih afdal dalam keadaan ini. Menurut buku fiqh, keutamaan berdasarkan al-Quran dan sunnah mengatakan dalam memberi pertimbangan kepada sesuatu kemaslahatan, umat Islam harus mendahulukan kepentingan yang besar.

Maka berpegang kepada pendapat inilah, banyak badan bukan kerajaan dan persatuan Islam mempromosikan ibadat korban secara talian bertujuan mengumpul wang untuk melaksanakan korban di tempat umat Islam memerlukan seperti Kemboja, Afghanistan, Sudan, Indonesia (daerah yang tertimpa musibah tsunami dan gempa bumi), Filipina (Mindanao), Palestin, Thailand (wilayah selatan) dan Sri Lanka.

Kita juga melihat bagaimana daging korban dari Arab Saudi dihantar ke Afrika sejak sekian lama untuk orang fakir yang jarang menjamah daging. Fatwa bekas muftinya, Almarhum Ben Baz mengatakan daging sembelihan ‘dam’ juga boleh dihantar ke Afrika yang sangat memerlukan.

Mengenai memberi daging korban kepada bukan Islam, ada perbezaan pendapat antara ulama kerana ada yang membenarkan dan sebaliknya. Mazhab Maliki menyatakan binatang korban makruh dijamu kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali berpendapat orang bukan Islam harus dihadiahkan daging korban (yang bertaraf sunat) tetapi daging korban wajib tidak harus dihadiahkan kepada mereka walau sedikit. Pendapat membolehkan orang bukan Islam dihadiahkan juga mestilah untuk berdakwah di mana diharap terbuka pintu hati kepada agama Allah ini.

Namun melihat kepada dalil mengenai pengagihan daging korban, ia menjurus maksud yang umum. Firman Allah yang bermaksud: “Makanlah sebahagiannya, dan beri makanlah orang yang tidak meminta-minta dan orang yang meminta.” (Surah al-Hajj, ayat 36)

No comments:

Post a Comment