Wednesday 12 September 2018

WANG PANAS TIDAK BERKAT


Isu judi tidak pernah tamat yang sentiasa menjadi lambang masalah sosial dalam mana-mana masyarakat. Usaha membanteras semua bentuk perjudian perlu dilakukan supaya masyarakat terhindar daripada kesan buruknya yang tidak mengenal mangsa.

Sememangnya, sudah menjadi sikap manusia sentiasa tertarik kepada sesuatu yang berbentuk peluang memperoleh keuntungan secara mudah. Tarikan yang begitu kuat ingin mendapat keuntungan mudah membuatkan manusia tidak memikirkan kesan buruk di sebaliknya. 

Pakar sosiobudaya mengkelaskan tabiat bertaruh dan berjudi ini sebagai sebahagian satu amalan yang telah berakar umbi sejak generasi awal manusia. Sikap itu dikaitkan dengan keberanian dan perjuangan untuk memperoleh keuntungan dan pada masa yang sama sanggup menanggung jika berlaku sebaliknya.

Malah, dalam sesetengah masyarakat menganggap sesiapa tidak berani bertaruh sebagai tidak mempunyai daya ketahanan berdepan dengan kegagalan. Individu yang tidak berani bertaruh tidak akan memperoleh sesuatu lebih hebat daripada orang lain.

Sikap berani mempertaruhkan sesuatu yang benar memang digalakkan. Memang kita dikehendaki mempertaruhkan seluruh masa dan tenaga untuk kebahagiaan hidup dengan melakukan usaha yang tidak bertentangan dengan kehendak syariat. 

Islam menganjurkan umatnya melakukan sesuatu usaha mencari kebaikan dengan bersungguh-sungguh mengikut aturannya biarpun pada kebiasannya sukar untuk dicapai. Pertaruhan yang demikian memang satu tindakan yang bijak dan akan membuahkan hasil luar biasa. 

Sebaliknya, perbuatan mempertaruhkan sesuatu secara untung nasib semata-mata amat ditegah yang mana tidak ada usaha yang sepatutnya dilakukan untuk mendapat nilai keuntungan itu. 

Pertaruhan untung nasib berbentuk dengan sedikit usaha atau wang dipertaruhkan memungkin seseorang mendapat pulangan yang berganda-ganda berbanding apa yang dilakukan. Cara itu termasuk dalam kategori judi yang mana mengharapkan keuntungan besar dengan sedikit usaha. 

Konsep judi yang dilarang dalam Islam tidak hanya apabila melibatkan daun terup, cabutan nombor, lumba kuda dan lontar dadu. Banyak orang sedar mengenai perkara itu dan tidak terlibat dalam perjudian sedemikian.  

Sebenarnya, terdapat perjudian dalam bentuk tersembunyi dengan menggunakan berbagai nama yang dianggapkan tidak melambangkan satu perjudian. Nama yang biasa digunakan ialah peraduan, uji minda dan cabutan bertuah yang melibatkan wang sebagai ‘perbelanjaan’ untuk menyertainya.

Keterlibatan dalam perjudian lahir daripada perasaan tamak. Pejudi mempertaruhkan nilaian kecil tetapi mengharapkan keuntungan besar dengan mudah dan mereka tidak kisah kerugian yang terpaksa ditanggung olehnya dan pihak lain. 

No comments:

Post a Comment