Pemandu kenderaan yang melalui Jalan
raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan akan
mengalami suasana yang selesa. Keadaan
jalan semakin elok dan selamat berbanding sebelum ini.
Perjalanan kira-kira 125 Km itu
merentasi Banjaran Titiwangsa yang ‘membahagikan’ Semenanjung Malaysia kepada
timur dan barat memang menarik. Memandu di puncak-puncak bukit memberi peluang
melihat pemandangan hutan menghijau saujana.
Namun satu lagi keistimewaan dirasakan
oleh pengguna Jalan raya Timur Barat ialah melalui kawasan Pulau Banding atau
Tasik Banding.
Tasik Banding yang wujud hasil
pembinaan Empangan Temenggor itu amat menarik dan menjadi ingatan setiap mereka
yang melalui kawasan itu. Tasik Banding terletak kira-kira 80 kilometer dari
Jeli dan hanya 40 kilometer dari Gerik.
Nama Tasik Banding memang terkenal
sebagai destinasi bagi mereka ingin menikmati suasana damai tasik dan aktiviti
memancing.
Terdapat resort dan rumah tumpangan
disediakan bagi mereka yang ingin bermalam di situ. Kemudahan bot dan rumah bot
bagi tujuan memancing dan menikmati keindahan tasik juga disediakan dengan
kadar bayaran berpatutan.
Bagi mereka yang sekadar melalui
kawasan tersebut pastinya tidak melepaskan peluang berhenti seketika di Pulau
Banding untuk berehat sambil menikmati suasana segar dan melihat pemandangan
indah tasik yang tenang.
Rehat yang cukup dan keadaan badan
yang selesa penting bagi menjamin perjalanan selamat. Sediakan sedikit masa
untuk rehat.
Empangan Temenggor adalah
sebuah empangan hidroelektrik utama
di Gerik, Perak dibina di
hulu Sungai Perak. Ia terletak merentasi Sungai Perak lebih kurang 200 km ke
timur laut Ipoh.
Empangan Temenggor pada awal pembinaanya adalah empangan atau
tasik buatan terbesar di Malaysia. Namun kini, Tasik Kenyir di Terengganu dan
Empangan Baku di Sarawak mengatasi keluasan Empangan Temenggor.
Pembinaan Empangan Temenggor menghasilkan sebuah tasik yang
besar dikenali Tasik Temenggor. Pulau di tengah-tengah tasik ini dikenali
sebagai Pulau Banding. Namun di kalangan masyarakat umum mengenali kawasan
sekitar Pulau Banding dengan nama Tasik Banding, sedangkan nama sebenar ia
menjadi sebahagian kawasan Tasik Temenggor.
Empangan
ini seluas 152 km persegi dan mengandungi 6,050 juta meter padu air meliputi
Hutan Simpan Belum seluas 117,500 hektar. Dipercayai
tasik yang terhasil akibat empangan ini menenggelamkan binaan kerajaan Melayu
purba yang berada di hutan Belum sejak beribu tahun dahulu.
Sebuah kem tentera dibina di kawasan Pulau Banding bagi menjaga keselamatan kerja-kerja pembinaan Empangan Temenggor. Kem tersebut masih berfungsi untuk 'menguasai' kawasan tersebut dari sebarang bentuk ancaman.
Selain digunakan menjana kuasa elektrik, empangan itu berfungsi untuk membekalkan air untuk penduduk Perak. Satu lagi fungsi yang dipacu atau dimanfaatkan hasil terbentuknya Empangan Temenggor ialah eko-pelancongan dan perikanan darat.
Jabatan
Perikanan Perak telah ditugaskan untuk melaksanakan Pelan Pengurusan Tasik
Temenggor. Tasik Temenggor dibahagikan kepada Zon Pemuliharaan, Zon Perikanan
Rekreasi dan Zon Komersial. Zon Pemuliharaan merangkumi bahagian utara Tasik
Temenggor iaitru Sungai Kejar, Sungai Tiang dan Sungai Gadong.
Tasik
Temenggor juga ada sebahagian lokasi sebagai pembiakan dan ternakan ikan air
tawar.
No comments:
Post a Comment