Monday 10 September 2018

BERHIJRAH CARI BEKAL LEBIH BAIK


Dunia ini diumpamakan seperti pelabuhan yang mana kita salah seorang penumpang sebuah kapal yang berhenti sebentar untuk mendapat sebanyak mungkin bekalan sebelum belayar di lautan luas. Apabila tiba masa kapal belayar hendaklah ikut serta walau banyak mana bekalan yang ada.   

Dalam menentukan bekalan yang dibawa lebih banyak hendaklah sentiasa memperbaiki kehidupan atau berhijrah lebih baik. Kita sentiasa diseru agar berhijrah mencari sesuatu yang lebih menguntungkan kehidupan di dunia dan akhirat. 

Tugas berhijrah dalam konteks ini tidak pernah padam dan terhenti sehinggalah kita berhijrah kekal ke alam akhirat. Berhijrah daripada buruk kepada baik adalah satu perintah agama.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah habis kewajipan untuk hijrah sebagaimana tidak pernah tertutup ruang untuk bertaubat. Sebab itu taubat itu baru ditolak selepas terbit matahari dari sebelah barat.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Bertaubat juga sebahagian daripada hijrah. Sesiapa yang bertaubat bermakna berubah dari keadaan berdosa kepada diampunkan dosanya. Seseorang yang sentiasa bertaubat mendapati akaun untung ruginya sentiasa mempamerkan jumlah untung yang banyak. 

Orang bertaubat juga berhijrah meninggalkan perbuatan buruk. Ia menepati maksud hadis Rasulullah: “Orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan perbuatan dosa.” (Hadis riwayat Ahmad).

Salah satu sebab orang tidak mahu berhijrah ialah kerana terpesona dengan kehidupan di dunia. Mereka lupa matlamat sebenar hidup di dunia yang sementara. Perhiasaan di dunia sentiasa menarik perhatian orang yang di dalam hatinya dikuasai oleh bisikan syaitan. Syaitan mempengaruhi nafsu agar inginkan kesenangan hidup di dunia dan melupai kehidupan di akhirat.

Firman Allah bermaksud: “Dihiasi kepada manusia nafsu yang inginkan perempuan, anak keturunan, harta benda emas perak, kuda, binatang ternakan serta kebun tanaman, semua itu kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (yakni syurga).” (Surah Ali Imran, ayat 14).

Sesiapa yang tidak mahu berhijrah berubah mencari kebaikan menanggung kerugian besar apabila tiba masa berhijrah hakiki ke alam akhirat. Dunia ini sekadar seperti tempat rehat sementara yang bagi pengembara mengumpul semula kekuatan sebelum meneruskan perjalanan.

Maksud sabda Rasulullah: “Apakah erti dunia bagiku. Hubunganku dengan dunia ini laksana seorang pengembara yang sedang berjalan di bawah terik matahari. Apabila melihat sepohon pokok yang dapat dia berteduh, maka dia berada sejanak di situ. Tetapi seketika kemudian dia meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Segala unsur yang dikehendaki oleh nafsu hanya bersifat sebagai perhiasan hidup di dunia semata-mata. Ia tidak memberi apa-apa makna lagi apabila manusia meninggal dunia.  Kesan nafsu yang berjaya dipengaruhi oleh syaitan amat buruk. 

Sememangnnya syaitan telah bersumpah ingin mendatangkan keburukan kepada kehidupan manusia sepanjang masa. Syaitan adalah musuh yang nyata kepada manusia yang mesti dijauhi pengaruhnya jika ingin selamat hidup di dunia dan akhirat.

Seseorang itu hanya dapat menjauhkan penguasaan syaitan terhadap dirinya jika dia  sentiasa berhijrah mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang. 

Hijrah hendaklah dilakukan sedari awal dan tidak hanya menanti usia memasuki usia senja. Ramai memberi alasan ingin bebas berseronok ketika usia muda dan hanya ingin bertaubat serta memberi perhatian kepada urusan ibadat sebagai bekalan hidup akhirat setelah usia tua.   

Hijrah sebenar memerlukan pengorbanan dan bukan sekadar angan-angan. Sekiranya ingin berhijrah tidak perlu menanti masa tua. Sesungguhnya nafsu tidak mengenal usia. Kekuatan nafsu tidak berkurang dengan bertambahnya usia seperti berkurangnya tenaga, daya penglihatan dan daya pendengaran.

Justeru masih ramai orang sudah di ambang maut, tetapi masih tidak insaf untuk memperbaiki kehidupan. Hidup masih bergelumbang dosa dan perasaan seperti masih muda dan ingin hidup seribu tahun lagi. Mereka lupa maut sebenarnya semakin hampir dan tidak pernah lupa kepadanya.

Lihatlah bukti semakin ramai orang yang sudah berusia datuk dan bercititpun, tetapi nafsunya mengalahkan orang muda dengan melakukan perbuatan rogol terhadap kanak-kanak dan gadis bawah usia. Mereka sanggup melakukan perbuatan terkutuk terhadap zuriat sendiri. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Untuk mendidik nafsu perlu dilakukan secara berterusan. Nafsu adalah sesuatu yang keras yang memerlukan dilentur sejak awal lagi. Sebab itu didikan terhadap anak hendaklah dilakukan ketika usia kanak-kanak. Nafsu biasanya selari dengan tingkah laku dan pekerti seseorang.   

Rasulullah menjelaskan dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penderhakaan. Penyakit nafsu tidak dapat disembuhkan melainkan melalui peningkat keimanan dan ketakwaan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat dahulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau bilau.” (Hadis riwayat Hakim).

Bagi memastikan kehidupan sentiasa dalam keredaan Allah, diri perlulah sentiasa dikuasai oleh akal dan bukannya nafsu. Akal akan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menolak daripada melakukan kejahatan.

Dengan kekuatan akal yang dikuasai perasaan keimanan akan sentiasa menetapkan tujuan hidupnya untuk menemui Allah dengan keadaan yang sempurna amalan kehidupan di dunia ini. Atas matlamat itu kehidupan yang dilalui penuh bermakna dan tidak tergelincir daripada landasan keimanan.

Kaum tidak beriman hanya menjadikan dunia ini untuk menikmati kesenangan dunia. Mereka sebenarnya tidak ubah seperti binatang yang tidak pernah berfikir untuk memperbaiki kehidupan. 

Alam haiwan tidak pernah lebih baik berbanding dahulu kerana haiwan tidak dikurniakan akal fikiran. Tetapi haiwan sebenarnya bernasib baik berbanding manusia bersifat haiwan. Haiwan bebas melakukan apa menurut kehendak nafsu kerana itu sudah fitrah kejadian haiwan dan ia tidak akan dibangkitkan untuk menerima pembalasan di akhirat. 

Sedangkan manusia yang bersifat haiwan menerima pembalasan atas apa dilakukan di ini di akhirat nanti. Firman Allah bermaksud: “Dan (sebaliknya) orang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang ternak makan minum, sedangkan nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Surah Muhammad, ayat 12).

Biarpun kenikmatan hidup di dunia ini amat mempersonakan, ia tidak dapat menandingi apa yang disediakan di akhirat. Manusia yang mengimpikan kehidupan baik di akhirat hendaklah sentiasa berhijrah mencari kebaikan di dunia ini dahulu. 

Berhijrah meninggalkan kepalsuan dan dosa adalah sebenar-benar tanda keimanan. Hakikatnya tiada untungnya bagi sesiapa yang merebut dunia dan meninggalkan akhirat kerana akhirnya tetap akan merasakan kerugian yang tidak dapat ditebus lagi apabila diri sudah berada pada hari pembalasan.

Renungkan Firman-Nya yang bermaksud: “Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit.” (Surah at-Taubah, ayat 38).

Sesiapa juga hidup di dunia ini tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sebab itu Allah membenarkan taubat sebagai pembersih diri. Jika diri tersalah memilih jalan dosa, bersegerlah berhijrah memilih jalan yang sebenarnya. 

No comments:

Post a Comment