Thursday, 20 September 2018

CARA TANAM UBI KAYU HASILKAN BANYAK ISI

Banyak orang berminat menanam pokok ubi kayu. Pertamanya kerana harga ubi kayu kini semakin mahal dan keduanya untuk mendapatkan pucuk untuk dibuat sayur atau ulam.

Menanam ubi kayu dikatakan senang dan mudah kepada mereka yang selalu melakukannya. Tanaman ini mudah tumbuh di kawasan tanah subur dan dijaga dengan baik. Bahkan, terdapat pokok ubi kayu yang tumbuh di dalam semak secara meliar tanpa ditanam atau tapak bekas penamanan.

Ubi kayu adalah tumbuhan berbatang, pohon lembut atau mudah patah. Ubi kayu berbatang bulat dan bergerigi yang terjadi dari bekas pangkal tangkai daun, bahagian tengahnya bergabus dan termasuk tumbuhan yang tinggi.

Ubi kayu biasanya ditanam dengan keratan batang yang dicucuk ke dalam tanah. Ubi kayu senang ditanam dan akan menghasilkan akar pada bahagian batang yang dikambus dalam masa beberapa hari sahaja selepas ditanam.

Hujung keratan yang terbenam dalam tanah akan mula menghasilkan banyak akar antara dua hingga empat bulan selepas ditanam dan akar ini pula akan menghasilkan ubi. Ubi kayu biasanya dituai antara 8 hingga 12 bulan.

Seperti dijelaskan, tidak sukar menanam pokok ubi. Perkara paling penting ialah ada benih yang berupa batang ubi kayu. Batang itu hendaklah telah 'matang' atau keras. Batang dikerat lebih kurang 20cm hingga 30 cm setiap satu.

Jika ini dipacak terus ke atas tanah, bahagian bawah hendaklah diruncingkan atau ditajamkan. Perkara ini tidak perlu dilakukan jika menggunakan cangkul untuk membuat lubang. Jarak tanaman untuk tujuan mendapat isi yang maksimun ialah sekitar 1 meter antara satu sama lain.

Kepada yang belum pernah menanam pokok ubi kayu atau kali pertama melihat batangnya, pastikan tidak salah letak bahagian bawah di atas. Bahagian atas dapat dikenali dengan melihat seakan-akan ada mata ke atas pada bahagian bekas daunnya. Jika tersilap, biarpun pokok tetap akan tubuh, tetapi kedudukan pokok yang tubuh akan sukar membesar.  

Pokok ubi mudah tumbuh dan tidak perlu kepada penyiraman yang kerap. Ia boleh terus ditanam di tapak kekal. Namun, jika ditanam pada musim panas, elok terlebih dahulu ditanam di dalam polibag sebelum dipindahkan. Ini bagi memudahkan penyiraman dan pertumbuhan akar.  

Jika ditanam ditanam di tapak subur dan tanah lembut atau gembur, tidak perlu pembajaan. Tunggu tujuh atau lapan bulan sudah boleh dituai. Namun, bagi petani yang mengusahakan dalam skala besar dan sebagai sumber pendapatan, maka proses pembajaan dan menggembur tanah perlu dilakukan untuk meningkatkan hasil.

Untuk hasil ubi yang tinggi, pokok ubi tidak boleh dipangkas atau dicantas. Lain halnya jika tujuan menanamnya untuk mendapatkan pucuk. Bahagian pucuk akan selalu dipatahkan atau diambil. Pokok akan menumbuhkan tunas baru dan membentuk cabang. 

Pokok ubi kayu untuk tujuan mendapatkan pucuk yang paling sesuai ditanam ialah jenis ubi kayu pulut. Pokoknya mudah tubuh dan banyak cabang jika selalu dipatahkan pucuknya. 

No comments:

Post a Comment