Wednesday 5 September 2018

HARAM UCAP INSYA-ALLAH JIKA TIDAK IKHLAS


Dalam kehidupan seharian, kita tidak terlepas daripada membuat janji. Membuat janji dan menerima janji adalah perkara lumrah dalam hidup.

Syariat Islam membenarkan penganutnya mengikat janji dengan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu yang diharuskan mengikut syarak. Bagaimanapun, haram mengikat janji ingin melakukan perbuatan yang haram di sisi agama. 

Allah mewajibkan agar setiap orang beriman menyempurnakan janjinya mengikut kemampuan. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakan segala perjanjian (yang kamu buat).” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Islam menganjurkan agar setiap kali mengikat janji haruslah disertai dengan perkataan insya-Allah yang bermaksud ‘jika Allah menghendaki’. Perkataan itu bermaksud bahawa kita sedar setiap perkara yang berlaku hanya jika diizinkan Allah. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan, bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti, melainkan hendaklah disertakan dengan berkata insya-Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang daripada ini.” (Surah al-Kahfi, ayat 23-24).

Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang, sedangkan semuanya dalam kekuasaan Allah yang menentukan. Tidak ada satupun perkara, walaupun pergerakan sebutir debu, melainkan telah ditentukan oleh Allah mengikut kehendak-Nya tanpa perlu mendapat persetujuan atau berkongsi kuasa dengan sesuatu yang lain. 

Setiap orang yang beriman perlu memahami hakikat sebenar perkataan insya-Allah. Ikatan janji yang disertai perkataan insya-Allah, melambangkan seseorang itu meletakkan harapan ingin menunaikan janji itu, tetapi menyerahkan kepada Allah tentang apa yang sebenarnya akan berlaku selepas itu. 

Setiap janji tidak boleh diucapkan sesuka hati tanpa memikirkan kemampuan menunaikannya. Kita hanya harus berjanji jika yakin dapat melaksanakan janji itu. Soal bahawa sesuatu janji itu hanya mampu dilaksanakan jika Allah mengizinkan adalah berdasarkan konsep manusia tidak berupaya melakukan sesuatu pun melainkan dengan izin-Nya.

Sememangnya kita dapat menjangkakan kemampuan melakukan sesuatu perkara berdasarkan kepada kebiasannya atau keinginan yang ditetapkan. Contohnya, kita berjanji bertemu rakan pada satu masa dan tempat yang ditetapkan. 

Ketika berjanji itu kita sedar masa itu boleh dipenuhi kerana tidak bertindih dengan tugas lain dan dapat pergi ke tempat. Tetapi, mungkin kita tidak dapat menepati janji itu disebabkan pada masa ditetapkan kita perlu melakukan sesuatu yang lebih penting yang boleh dianggap darurat berbanding menunaikan janji itu. 

Kegagalan menunaikan janji itu mungkin juga disebabkan kita jatuh sakit, tidak ada kemudahan kenderaan, halangan dalam perjalanan dan sebagainya.

Sesiapa mengucapkan perkataan insya-Allah, bermakna dia sentiasa berserah kepada ketentuan Allah. Perkataan insya-Allah sepertilah satu doa di mana mengharapkan Allah memberi kekuatan dan kejayaan menunaikan janji yang dibuat.

Namun, perkataan insya-Allah tidak boleh dipermain-mainkan. Perkataan itu perlu diucap dengan satu tekad yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk melakukan apa yang dijanjikan. 

Sekiranya jika awal-awal lagi timbul perasaan tidak sesungguh hati ingin melakukan, maka wajarlah tidak diucapkan perkataan itu. Haram berjanji jika telah tersimpan niat tidak ingin menunainya atau diketahui tidak mampu melakukan.

Didapati ramai orang yang menguncapkan janji dengan perkataan insya-Allah tetapi tidak ikhlas. Perkataan insya-Allah digunakan dengan harapan orang yang dijanjikan itu menerimanya dengan yakin. 

Orang yang tidak ikhlas berjanji menjadikan perkataan insya-Allah sebagai satu cara menipu. Dia merasa tidak bersalah jika tidak dapat menunaikan janji kerana kononnya telah awal-awal lagi mengatakan hanya akan dapat ditunaikan jika diizinkan Allah.

Akibatnya, perkataan baik dan mulia itu telah disalah ertikan. Orang yang mengucapkan perkataan insya-Allah dipandang tidak ikhlas untuk menunaikannya.

Orang berjanji itu seperti tidak mempunyai keyakinan untuk melakukannya. Sebab itu, awal-awal lagi dia menggunakan perkataan insya-Allah sebagai alasan kegagalan memunaikan janji itu nanti.

Mengucapkan perkataan insya-Allah dengan niat tidak ikhlas samalah melakukan penipuan. Menipu atau berdusta amat besar dosanya. Setiap janji wajib ditunaikan biarpun diucapkan dengan tidak bersungguh-sungguh.

Sifat dusta dan tidak menunaikan janji adalah antara sifat orang munafik. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiga perkara yang berada di dalam dirinya, maka dia munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim. Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir janjinya dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Tidak menunaikan janji disebabkan terlupa atau tidak mampu menunaikannya tidak dianggap dosa. Sesuatu yang di luar kemampuan untuk dilakukan tidak dikira satu kesalahan.

Sesungguhnya, janji yang tidak ditunaikan disebabkan terlupa atau tidak mampu ditunaikan, baru menepati maksud insya-Allah.

Rasulullah menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: “Apabila seseorang berjanji dengan saudaranya dan dia berniat akan menepati janji itu, tetapi dia tidak memperoleh jalan untuk menepatinya, maka tidaklah dia berdosa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi).

No comments:

Post a Comment