Thursday 6 September 2018

BERPECAH TANDA INGKAR PERINTAH ALLAH


Perpecahan umat Islam bukan sesuatu yang baru. Sejarah perpecahan mula berlaku sebaik kewafatan Rasulullah SAW apabila ada pihak menolak kepimpinan Khalifah Abu Bakar yang menggantikan Rasulullah SAW.   

Diakui sukar untuk menghapuskan 100 peratus sikap berpecah. Selagi manusia mampu dikuasai oleh syaitan, maka perpecahan tetap akan berlaku. Syaitan telah berjanjikan memporak-perandakan seluruh keturunan Adam agar melakukan kemusnahan dan kerosakan di muka bumi akibat daripada perpecahan.

Rasulullah SAW pernah memperkatakan tentang akan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam. Hadis diriwayatkan oleh Tirmizi bermaksud: “Orang Yahudi berpecah kepada 72 golongan dan orang Nasrani juga berpecah sebanyak itu, tetapi umatku akan berpecah kepada 73 golongan.”

Daripada 73 golongan itu, hanya satu golongan akan memasuki syurga, sedangkan yang lain itu bakal menghuni neraka. Golongan yang dibalaskan neraka sudah tentu disebabkan ingkar perintah Allah dan Rasulullah SAW.

Faktor utama menyebabkan perpecahan umat Islam ialah perebutan kuasa pemerintahan. Lanjutan sebab itu membawa kepada timbulnya perkara-perkara lain seperti perbezaan pendapat, penyeleweng hukum agama dan taksub kepada kumpulan atau kaum.

Islam diturunkan kepada seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa dan lokasi tempat tinggal. Islam agama universal yang mementingkan perpaduan berdasarkan kepada satu matlamat iaitu mencari keredaan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 92 bermaksud: “Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.”

Allah dan Rasul-Nya tidak reda kepada sebarang bentuk perpecahan. Banyak ayat al-Quran dan sunnah yang menyebut mengenai pentingnya menjaga perpaduan ummah dan mengelak sebarang perpecahan.

Berpegang kepada ajaran agama adalah asas memperkuatkan hubungan sesama Islam. Apa sahaja punca yang boleh menyebabkan perpecahan, maka fikirkan bahawa perbuatan itu ditegah oleh agama dan perlu dijauhi. 

Firman Allah bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali (agama) Allah, jangan kamu berpecah belah. Ingatlah akan kurniaan Allah kepadamu ketika kamu sedang bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga kamu menjadi satu saudara dengan kurnia-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 103).

No comments:

Post a Comment