Wednesday 5 September 2018

PENGGUNA AMBIL TINDAKAN ELAK DITINDAS


Pengguna diingatkan agar menjadi pengguna yang bijak bagi mengelak diri tertipu atau mudah terpengaruh. Pengguna yang bijak sepatutnya mampu berfikir dengan tenang selain dapat membuat keputusan segera ketika hendak membeli-belah bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.   

Kes pengguna ditindas oleh peniaga berlaku bukan kerana rakyat Malaysia buta undang-undang atau tidak mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Sebaiknya kes itu berlaku disebabkan mereka mudah tertipu dan terpengaruh dengan tawaran, pujukan dan manipulasi yang dilakukan oleh peniaga.

Pengguna biasanya menyalahkan peniaga yang mengambil kesempatan atau kurangnya penguatkuasaan daripada kementerian. Hakikat sebenarnya, perkara itu tidak berlaku jika pengguna sendiri bijak menilai apa yang ditawarkan.

Peniaga sememangnya boleh membuat pelbagai tawaran tetapi sebagai pengguna perlu menyedari mempunyai kuasa yang paling besar. Setiap tawaran yang dibuat oleh peniaga tidak semestinya diterima oleh pengguna. 

Kalau menyedari dalam proses jual beli wujud unsur penipun, gunakan hak pengguna dengan berlalu pergi dan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.  

Berita atau laporan media mengenai taktik kotor yang dilakukan oleh peniaga diharap dijadikan panduan kepada pengguna agar tidak menjadi mangsa. Pengguna mempunyai pilihan untuk membeli barang keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan pada harga berpatutan.   

Kempen yang diadakan bertujuan bagi membolehkan orang ramai mengetahui hak dan pilihan serta memperkasakan diri mereka sebagai pengguna bijak. Sebaliknya, pengguna masih tidak serik disebabkan tertarik dengan cara licik dilakukan peniaga menarik pelanggan. 

Rakyat Malaysia sebenarnya tidak ambil peduli tentang kenaikan harga, melainkan jika perkara itu dihebohkan di media. Mungkin ketika itu ada sedikit bantahan dibuat. Namun, itu sekadar bantahan suara, tetapi tidak diikuti dengan tindakan.

Pengguna masih memilih untuk membeli biarpun mengetahui harga telah dinaikkan sesuka hati oleh peniaga. Sedangkan, mereka mempunyai kuasa atau pilihan untuk tidak membeli. Keadaan ini menyebabkan peniaga tidak takut dengan rungutan pengguna kerana apa yang mereka jual tetap laku dan mendapat keuntungan berlipat ganda.

Fenomena ini biasanya dapat dilihat ketika musim perayaan, tidak kiralah harga barangan atau perkhidmatan. Peniaga tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan kerana sedar masa itulah untuk mengaut keuntungan. 

Pengguna yang bijak tidak sanggup ditindas dan memilih membatalkan hasrat membeli jika disedari harga barang dinaikkan atau mutu tidak memuaskan. Sekiranya semua atau majoriti pembeli membuat tindakan yang sama, peniaga pasti akan menurunkan harga. 

Peniaga sedar bahawa pembeli adalah raja. Tetapi, raja yang tidak bijak mudah diperdaya dan meletakkan kedudukan menjadi sebaliknya, iaitu peniaga adalah raja. Tanpa kesedaran untuk mempersoalkan tindakan para peniaga yang tidak bertanggungjawab, pengguna di negara ini akan terus tertindas.

Para peniaga sentiasa mencari peluang untuk menaikkan harga barang seperti kalau ada kenaikan minyak, tol dan sebagainya, selain ketika musim perayaan. Mereka akan berlumba-lumba untuk menaikkan harga dengan menyatakan pelbagai kos meningkat sedangkan pada hakikatnya peratus kenaikan kos adalah rendah. Tetapi, ketika kos turun, harga tidak pula turun.  

Sebab itulah amat penting para penguna menjadi pengguna bijak bukan saja untuk melindungi diri sendiri daripada para peniaga yang tidak bertanggungjawab tetapi untuk memberi tekanan kepada peniaga bahawa pengguna mempunyai kuasa yang besar. 

Aktiviti membeli-belah memang menyeronokkan. Apatah lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang membolehkan kita  membeli apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai. Malah ada orang yang menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib yang mesti dilakukan sebaik sahaja menerima upah atau gaji pada setiap bulan.

Pengeluar barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk dan barangan  dengan tawaran yang cukup mengasyikkan pengguna. Tambah mengujakan pengguna, tentulah lambakan tawaran daripada pelbagai barangan berjenama di pasaran. Siapa yang tidak tergoda apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang menjunam sehingga 70 peratus? 

Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan kad kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja. Namun, yang membimbangkan ialah apabila keseronokan membeli-belah menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus ke dalam beban hutang yang tidak disangka-sangka.

Walaupun aspek ekonomi merupakan komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang kepada setiap individu meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa,  pengguna perlu mengawal diri ketika berbelanja.

Pengguna perlu bijak mengawal kewangan supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang dicipta sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting supaya  pengguna dapat menjalani kehidupan yang benar-benar berkualiti. Pengguna yang terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh bangkrap atau muflis sebenarnya dikatakan telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.

Kenaikan harga barang keperluan menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna semakin meningkat. Hal ini menyebabkan nilai ringgit yang diterima daripada pendapatan bulanan semakin mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung semakin banyak dan terus meningkat.

Bagi mengatasi masalah ini dan seterusnya mengurangkan beban yang harus ditanggung, pengguna perlu menjadi pengguna yang bijak dalam mengurus  kewangan. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka.

Untuk itu, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang dapat membantu pengguna menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan.

Antara yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan harian pengguna dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu pengguna berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan.

Sehubungan dengan hal itu, pengguna perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Pengguna perlu sentiasa menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna membeli barangan yang tidak diperlukan. Untuk itu, pengguna perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan. 

Pengguna juga boleh  merangka sistem pendapatan dengan mencampurkan pendapatan suami dan  isteri, dan pendapatan lain yang diterima dan kemudiannya  memasukkan pendapatan tersebut dalam satu akaun khas setelah ditolak perbelanjaan lain yang perlu diselesaikan.

Misalnya bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan elektrik, yuran persekolahan anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak kenderaan supaya dapat mengawal perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan supaya pengguna dapat mengetahui ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan. Pengguna juga perlu menetapkan sasaran kewangan, seperti penetapan sasaran jangka pendek dan sasaran jangka panjang.

Penetapan sasaran kewangan ini penting kerana dapat membantu pengguna menentukan belanjawan diri atau keluarga dengan lebih baik dan berkesan. Belilah barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Misalnya ketika musim perayaan yang menawarkan pelbagai potongan harga yang menarik bagi mendapatkan lebih penjimatan.

Selain itu, pengguna juga perlu sentiasa membuat pemantauan harga dan membandingkan harga barangan dan perkhidmatan  yang ditawarkan oleh pengeluar atau penjual yang berbeza. Dengan cara ini pengguna dapat membeli barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.

Selain itu, elakkan  membeli-belah dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika pengguna berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Hal ini dikatakan demikian kerana berbelanja dalam suasana begini akan mendorong pengguna untuk membeli barangan yang tidak diperlukan dan seterusnya akan merugikan pengguna.

Pemantauan terhadap setiap perbelanjaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal pengguna daripada berbelanja barangan yang tidak perlu. Oleh itu, pengguna  perlulah menjadi pengguna yang bijak bagi mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesan.

No comments:

Post a Comment