Tuesday 9 October 2018

KUBU KEBAL PERANG DUNIA KEDUA

Negeri Kelantan adalah tempat pendaratan pertama tentera Jepun ketika menyerang Tanah Melayu pada pagi 8 Disember 1941. Sejarah Perang Dunia Kedua bermula di Kelantan menyaksikan pertempuran sengit antara tentera British dengan tentera Jepun di Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan, seterusnya meneruskan kemaraan selama 70 hari sebelum dapat menawan sepenuhnya Tanah Melayu. 

Pendaratan dan kemaraan tentera Jepun di Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan dipercayai mengalami kesukaran disebabkan tentera British dari keturunan Punjabi bertahan dalam kubu kebal (pillboxes) yang terletak di sepanjang kawasan pantai dan tempat-tempat strategik di Pengkalan Chepa dan Kota Bharu.

Kubu kebal di Kelantan telah dibina oleh tentera British pada tahun 1940 sebagai persiapan awal menghadapi kemungkinan peperangan apabila menyedari situasi politik antarabangsa semakin tidak menentu. 

British sedar kedudukannya di Tanah Melayu bakal dicabar oleh tentera Jepun yang telah mara ke negara-negara di Asia Tenggara. Pada September 1940, tentera Jepun telah menduduki Utara Indochina (Utara Vietnam). 

Mengimbau kembali sejarah, Jepun telah menandatangi Perjanjian Pakatan Tiga Negara (Tripartite Pact) dengan Jerman dan Itali yang dikenali sebagai Kuasa Paksi (Axis Power). Kuasa Paksi menjadi saingan kepada Pihak Berikat (dianggotai Amerika Syarikat, British, Rusia dan lain-lain) dalam kancah kempen ketenteraan di seluruh dunia.  

Kuasa Paksi bermatlamatkan untuk menghalang Amerika Syarikat daripada membantu British yang sedang bermusuhan dengan Jerman dan Itali di Eropah. Mengambil kesempatan itu, Jepun berharap Jerman dan Itali dapat mengalahkan British, dan dengan itu memudahkan usahanya untuk menguasai Asia Tenggara dan Benua Kecil India, terutama negara yang dijajah oleh British.

Menyedari keadaan itu, tentara British membuat perkiraan bahawa kemungkinan tentera Jepun akan membuat serangan bermula di pantai sebelah timur Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya di Kelantan. Selain itu pihak British menjangkakan serangan akan dimulai di Singapura yang menjadi pusat pertahanan British ketika itu.

Sebab itulah pihak British membina kubu kebal di sepanjang pantai mengadap Laut China Selatan dengan memberi perhatian lebih awal di sepanjang pantai Kelantan. Dua  kawasan utama yang diberi perhatian membina banyak kubu kebal ialah di Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan, dua pantai paling di utara negeri Kelantan.   

Setiap kubu kebal dibina selang jarak kira-kira satu setengah kilometer dan disusun dalam kedudukan berlapis ke daratan. Selain kubu kebal, terdapat juga rentangan kawat berduri yang dipasang selari dengan pantai secara berlapis-lapis. 

Kawasan lain yang turut terdapat kubu kebal itu ialah di Pengkalan Chepa, Padang Luas (Machang) dan Gong Kedak (Pasir Putih). Pertahanan kawasan tersebut penting bagi mengelak mudah terjatuh ke tangan musuh, yang mana terdapat lapangan terbang digunakan oleh pesawat tempur tentera British. 

Sebelum perang meletus, Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang kini dikenali Lapangan Terbang Sultan Ismail telah siap sepenuhnya dan digunakan menempatkan pesawat B29 milik tentera British. 
 
Manakala Lapangan Terbang Gong Kedak yang kini digunakan sebagai pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, baharu saja siap dibina beberapa minggu sebelum tentera Jepun menyerang. 
 
Lapangan Terbang Padang Luas pula pada ketika itu baharu dalam proses pembinaan, terhenti begitu sahaja apabila tentera Jepun menyerang, dan kini menjadi kawasan terbiar.

Kubu kebal juga dibina di sepanjang pantai di daerah Bachok dan daerah Tumpat untuk tujuan yang sama.   

Sebenarnya pihak British bercadang membina kubu seumpama itu sepanjang pantai sehingga ke Johor Bharu. Bagaimanapun, pembinaannya terhenti apabila perang meletus lebih awal daripada apa yang dijangkakan. Bagaimanapun terdapat beberapa buah kubu kebal sempat disiapkan di beberapa tempat seperti di Kuantan, Pahang dan Kota Tinggi, Johor.

Bentuk kubu kebal dibina seakan-akan bulatan tapak kuda, tetapi bersegi sembilan. Seluruh dindingnya dibuat daripada konkrit simen setebal kira-kira 30 cm. Bahagian atas atau bumbung berkedudukan rata juga diperbuat daripada konkrit simen dengan ketebalan juga kira-kira 30 cm. Ketebalan itu mampu menahan tembakan senjata ringan dan mortar.

Ketinggian kubu kira-kira 2.1 meter, melepasi ketinggian anggota tentera (rata-rata ketinggian anggota melebihi 1.8 meter, tidak termasuk ketinggian kasut dan topi) dan memudahkan penggunaan senjata. Manakala keluasannya kira-kira 8 meter persegi dengan bahagian tengahnya terdapat tiang penyokong berukuran 60 cm kali 60 cm. 

Di setiap penjuru kubu kebal dibina lubang yang muat untuk penggunaan senjata persendirian dan senjata bantuan. Lubang itu juga bertujuan untuk memerhati pergerakan musuh.

Setiap kubu kebal yang dibina tidak mengikut ukuran yang sama, tetapi jika dilihat dari luaran kelihatan seperti sama. Perbezaan ini mungkin disebabkan kerana dibuat mengikut anggaran pekerja yang membinanya, asalkan menampakkan ciri-ciri sebuah kubu kebal.

Setiap kubu kebal diawasi oleh kira-kira 5 hingga 10 orang tentera. Pada malam pertempuran, anggota tentera keturunan Punjabi yang ditempatkan di kubu kebal berhampiran Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan dikatakan telah dirantai oleh pegawai tentera berbangsa Inggeris untuk mengelak mereka melarikan diri.   

Bagaimanapun, tidak kesemua kubu kebal diawasi tentera memandangkan kekurangan anggota. Banyak kubu tidak digunakan, bahkan tidak berlaku pertempuran di kawasan itu. Tentera Jepun melalui kawasan yang mempunyai kubu kebal itu tanpa sebarang tentangan.

Kubu kebal masih kukuh sampai sekarang. Bagaimanapun, dianggarkan berpuluh-puluh kubu kebal yang dibina berhampiran dengan pantai kini telah banyak yang berkubur di dasar laut apabila tapaknya mengalami hakisan. Kubu kebal yang tenggelam itu masih dalam bentuk asal atau tidak berlaku kemusnahan struktur asalnya. 

Sekarang ini terdapat kira-kira 20 buah kubu kebal yang masih berada di daratan. Pihak berkuasa, terutama muzium perlu memelihara kubu kebal itu sebagai warisan sejarah Perang Dunia Kedua.

Pihak Muzium Kelantan pernah ‘memulihara’ sebuah kubu kebal yang terletak di Pantai Sabak pada awal tahun 80-an yang dijadikan sebagai salah satu daya tarikan ke pantai peranginan itu. Bagaimanapun, sejak awal tahun 90-an, pantai itu telah mengalami hakisan teruk yang turut menenggelamkan kubu kebal di situ.

Pihak Muzium Kelantan kini telah membuat raplika kubu kebal yang diletakkan di kawasan Memorial Perang Dunia Kedua sebagai tatapan umum.

No comments:

Post a Comment