Monday 15 October 2018

PETUA POKOK BERBUAH LEBAT

Ada petua orang lama mengenai bagaimana ingin supaya pokok buah mengeluarkan hasil lebat dan berkualiti. Kata orang tua, hasil kebun atau pokok yang mengeluarkan buah itu kena kongsi dengan jiran-jiran. Paling baik ketika buah baru gugur atau boleh dipetik. Itu dipanggil 'kepala dusun' atau 'buang buruk'. 

Jangan fikir sangat soal untuk mendapat untung awal dengan menjual buah baru itu. Memang pada ketika itu harga mahal, tetapi berkongsi dengan jiran tanda bersyukur itu lebih memberi kepuasan berbanding dengan keuntungan wang ringgit.

Berkongsi hasil kebun akan mendapat keberkatan. Pokok akan berbuah lebih lebat pada musim akan datang. Hasilnya bertambah-tambah. Untungnya juga semakin meningkat. Yakinlah dengan janji Allah tentang keuntungan jika berkongsi dan bersedekah.

Dalam pada itu, terdapat kajian saintifik yang membuktikan bahawa alunan muzik lembut dan kata-kata perangsang yang diberikan boleh membuatkan pokok cepat besar.

Idea bercakap dengan pokok telah diperkenalkan pada tahun 1848 oleh seorang profesor botani di Jerman, Dr. Gustav Theodor Fechner apabila beliau menyebut perkara itu dalam bukunya, Soul-life of Plants.

"Saya percaya pokok juga boleh menyerap emosi seperti manusia. Anda boleh menggalakkan pokok membesar dengan sihat dengan memberikannya kata-kata perangsang dan perhatian," kata Fechner dalam buku itu.

Agaknya itulah sebab mengapa petua orang tua 'memaksa' pokok berbuah dengan cara mengugut hendak terbang pokok yang lambat berbuah atau kurang mengeluarkan hasil. Ada yang membawa parang dan mengacah kepada batang pokok hendak menebang kerana lambat berbuah. Ada yang marah-marah kepada pokok.

Cara yang baik ialah berdoa agar pokok itu cepat berbuah. Berkomunikasi dengan pokok bahawa hasilnya nanti akan digunakan untuk bersedekah dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Jika pokok sudah mengeluarkan hasil, berkongsilah buah dengan jiran-jiran. Buah yang berada di pokok itu telah lama dilihat oleh jiran dan tentu sekali mereka juga mengidam dan berkeinginan menikmati buah itu.

Berilah kepada jiran atau menyuruh mereka memunggut sendiri buah itu jika hasilnya sudah mencukupi untuk dimanfaatkan oleh kita sendiri. Jangan dibiarkan buah tidak dipungut sehingga dibiarkan rosak.  

Sikap pemilik pokok yang kedekut tidak mahu berkongsi dengan jiran, sedangkan buah luruh tidak dipungut sehingga rosak begitu sahaja, memang keterlaluan. Dimarah jika jiran mengambil dan dituduh mencuri. Lebih teruk lagi jika dahan dan jular masuk ke bahagian tanah jiran, tetapi tidak mahu memberinya kepada jiran.  

No comments:

Post a Comment