Thursday 11 October 2018

ISLAM GALAK CEBUR BIDANG PERTANIAN


Sektor pertanian yang sebelum ini menyepi, kini semakin mendapat perhatian kerajaan. Malangnya, penerimaan rakyat terhadap potensi menyertai bidang pertanian masih di tahap tidak membanggakan. Banyak orang masih beranggapan kerja dalam sektor pertanian tidak menjanjikan prospek yang baik. 

Anak muda hari ini lebih berminat menjadi buruh di sektor perkilangan berbanding melibatkan diri dalam bidang pertanian. Malah, banyak anak muda lebih rela memilih menjadi penganggur daripada menjadi petani. Lebih malang lagi hal ini berlaku di kalangan anak daripada keluarga petani sendiri.    

Persoalannya, mengapakah kebanyakan orang masih memandang rendah kepada kerjaya dalam bidang pertanian. Sedangkan, Allah telah menjanjikan peluang kejayaan yang luas kepada sesiapa yang sanggup berusaha gigih mencari kurnia-Nya, termasuk dalam bidang pertanian. 

Sesiapa yang berusaha mengikut aturannya, maka dia akan beroleh kejayaan. Sesungguhnya semua bidang pekerjaan menjanjikan pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. 

Firman Allah bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepadamkamu, tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia ini.”  (Surah al-Qashash, ayat 77).

Manakala firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 15 yang bermaksud: “Dialah menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.”

Dalam al-Quran dijelaskan mengenai kurniaan Allah berupa tanah yang subur, sumber air, bijih benih yang baik dan haiwan ternakan. Kewujudan sumber-sumber tersebut memberi peluang kepada manusia melakukan usaha mendapat sumber makanan keperluan diri sendiri dan keluarga, dan dijadikan bahan jualan untuk mendapat wang. 

Bidang pertanian (termasuk penternakan) merupakan aktiviti paling awal dalam sejarah tamadun kehidupan manusia. Semua tamadun mempunyai kaitan dengan aktiviti pertanian. 

Dalam al-Quran Allah menceritakan mengenai penduduk di negeri Saba mendapat kemewahan hidup hasil pertanian.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya tentang penduduk di negeri Saba ada satu perkampungan menjadi bukti (kemurahan Allah), di situ ada dua kebun yang subur di kanan dan di kirinya. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan ini dan bersyukurlah kepada-Nya, diberi anugerah satu negeri yang subur dan makmur, Tuhan Yang Pengampun.” (Surah Saba, ayat 15).

Pemerintah kerajaan Saba membina Empangan Marib yang mampu mengairi seluruh padang pasir kering kontang menjadi tanah pertanian yang subur. Hasil usaha tersebut memberi kemakmuran dan kekayaan kepada seluruh penduduknya yang berusaha gigih melakukan aktiviti pertanian.

Allah menjelaskan juga tentang keperluan bijih benih untuk tujuan pertanian. Dalam surah al-Anam, ayat 95, Allah berfirman bermaksud: “Allah Maha Pencipta. Dia ciptakan bijih benih sebagai benda yang boleh tumbuh.”

Keperluan lain untuk melengkapkan keperluan menjalankan aktiviti pertanian ialah air. Firman Allah bermaksud: “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu mengalir di dalam bumi menjadi mata air. Keadaan itu, Allah menumbuhkan tanaman yang bermacam-macam warnanya.” (Surah az-Zumar, ayat 21).

Bagaimanapun, anugerah Allah itu tidak mendatangkan faedah kepada manusia jika tidak dimanfaatkan. Sesungguhnya, rezeki tidak akan datang bergolek jika tidak diusahakan mengikut caranya. Seperti juga usaha dalam bidang lain, aktiviti pertanian perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan sistematik untuk mendapat hasil terbaik.

Sepertimana penduduk di negeri Saba, penduduk di negara kita mampu mendapat rezeki lumayan melalui usaha pertanian jika dilakukan secara bersungguh-sungguh. Perkara ini tidak sukar dicapai memandangkan kerajaan telah mengambil langkah membantu petani melalui dasar-dasar pertanian yang komprehenisf. 

Selama ini kerajaan telah banyak menyediakan kemudahan untuk memajukan bidang pertanian. Antara usaha yang telah diperkenalkan ialah pembukaan tanah pertanian baru, pembinaan empangan pengairan, khidmat nasihat, bantuan input, penyelidikan dan badan penyeliaan yang banyak memberi manfaat kepada seluruh petani.  

Sesungguhnya, kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah untuk kebaikan seluruh rakyat. Maka, terpulanglah pula kepada masyarakat petani untuk merebut peluang tersebut. 

Kerajaan memberi penuh perhatian terhadap membangunkan bidang pertanian kerana yakin potensinya yang menguntungkan rakyat dan negara. Tidak dinafikan, kemakmuran  negara banyak bergantung kepada aktiviti pertanian sebagai sumber makanan, komoditi eksport dan aktiviti ekonomi yang lebih meluas hingga hampir semua kawasan.

Anugerah Allah meliputi tanah subur, sumber air mencukup dan kesesuaian iklim membolehkan usaha pertanian dilakukan dengan jayanya di negara kita. Malaysia menjadi pengeluar utama beberapa komoditi pertanian dan menjadi penyumbang pendapatan eksport utama negara.  

Usaha mengajak lebih ramai rakyat, khususnya golongan muda menyertai bidang pertanian perlu dipertingkatkan agar mencapai matlamat menjadikan sektor pertanian antara penyumbang utama kekuatan ekonomi negara.  Seharusnya, potensi cerah dalam bidang pertanian perlu direbut sepenuhnya. 

Didapati di kalangan anak muda tidak berminat meneroka bidang pertanian disebabkan kurang yakin bidang tersebut mendatangkan keuntungan lumayan. 

Hal ini berpunca kerjaya sebagai petani dipandang rendah. Sebab itu kerjaya sebagai petani tidak wujud dalam senarai cita-cita pelajar. Kerja sebagai petani hanya diceburi anak petani yang tidak mempunyai pilihan lain untuk mencari rezeki. Mereka meneruskan usaha keluarga dalam keadaan terpaksa.

Sikap memandang rendah kerjaya bidang pertanian itu perlu dikikis. Allah tidak menilai pekerjaan seseorang berdasarkan jenis pekerjaan. Perkara penting ialah dilakukan secara halal dan memberi kebaikan. 

Rasulullah melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk mendapat rezeki bagi dirinya dan ahli keluarga. Banyak rasul dan nabi menjadi petani dan penternak untuk mencari rezeki. Jelas sekali, dari perspektif Islam tidak memandang tinggi dan rendah sesuatu bidang pekerjaan, asalkan dilakukan dengan cara yang halal.     

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seseorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sesungguhnya, pekerjaan sebagai petani amat mulia. Mereka membanting tulang bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri, bahkan hasil usaha dilakukan itu dapat memberi makanan kepada orang lain. Membantu sesama manusia adalah hubungan yang amat dituntut. Setiap orang saling memerlukan bantuan orang lain untuk mengecapi kebahagiaan hidup  

Menjadi petani adalah usaha murni untuk mencari rezeki halal. Sesiapa berusaha mencari rezeki halal, tidak kira apakah bentuk pekerjaan itu, maka balasanya kemuliaan di sisi Allah. Apa yang penting dalam menentukan kemuliaan sesuatu pekerjaan ialah keikhlasan dan manfaat yang diperoleh melaluinya.  

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagikan bulan purnama.” (Hadis riwayat Tabrani).

Sebenarnya menjadi petani bukan punca menjadi miskin. Sebaliknya sikap kurang berusaha dan tidak berubah mengikut perubahan semasa menjadi punca kemiskinan di kalangan petani. Petani perlu berani menceburi bidang pertanian dalam skala yang besar, menggunakan teknologi tinggi dan meluaskan skop pemasaran.

Petani perlu berubah daripada corak pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang lebih menguntungkan. Misi pertanian berasaskan keuntungan dan saingan global perlu diterapkan dalam diri petani kita.   

Usaha kerajaan membantu golongan petani telah banyak memberi kejayaan terutama dari segi mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan petani. Ini membuktikan bidang pertanian boleh mendatangkan pendapatan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.  

Sesungguhnya, sektor pertanian memberikan pendapatan lumayan kalau dilaksanakan secara sistematik. Keyakinan itu selaras dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN 3) yang dirancang dari tahun 1998 hingga 2010 untuk memaksimunkan pendapatan melalui penggunaan sumber secara optimum.

Kerajaan menuju untuk menjadikan bidang pertanian sebagai sumber pendapatan utama negara. Negara menetapkan sasaran menjadi pembekal makanan halal utama dunia. Sekarang ini umat Islam terpaksa bergantung kepada negara bukan Islam untuk mendapat makanan halal. 

Adalah menjadi satu tuntutan fardu kifayah di kalangan negara atau individu Islam menghasilkan makanan halal untuk umat Islam. Umat Islam tidak boleh mengharapkan atau menyerahkan urusan yang penting ini kepada orang bukan Islam.

Kerjaya dalam bidang pertanian memang menjanjikan pendapatan yang lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Buktinya, banyak petani yang berjaya mendapat keuntungan lumayan, dan mendapat status ‘profesional’ apabila memperoleh pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan. 

Melakukan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh adalah tuntutan agama. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang yang apabila melakukan setiap kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.”  (Hadis riwayat Baihaqi). 

Di negara maju, golongan petani amat dihormati dan dikagumi kemampuan mereka menjalankan kerja-kerja pertanian sehingga menjadi golongan kaya raya dan berpengaruh. Hal sama dapat dicapai di negara kita jika petani lebih gigih dan menimba ilmu untuk menjadi petani moden. 

Tradisi keilmuan tidak terhad kepada bidang teknologi dan sains semata-mata. Untuk menjadi petani berjaya juga perlu kepada ilmu berkaitannya. Sebab itu, Islam amat menekan kepada aspek ilmu. Petani perlu belajar teknologi baru untuk menghasilkan yang terbaik. Petani yang tidak mahu berubah cara kerjanya sebenarnya menolak peluang untuk berjaya.

Penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian memudahkan lagi usaha memajukan bidang pertanian di negara kita. Golongan muda yang mempunyai pengetahuan lebih luas boleh dipergunakan untuk kemajuan bidang pertanian yang semakin mencabar melalui teknik pertanian moden.

Bidang pertanian bukan kolot dan untuk orang bodoh. Sebaliknya bidang pertanian juga memerlukan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan tinggi berkaitannya, sepertimana bidang-bidang lain. 

Kejayaan negara maju mengeluarkan hasil pertanian yang lebih baik disebabkan mereka menggunakan teknologi moden. Di mana sekarang ini sains pertanian berasaskan perkembangan bioteknologi semakin berkembang yang digunakan secara meluas oleh petani di negara maju. Bidang yang hebat diperkatakan tentang bidang pertanian sekarang ialah ubahsuai berasaskan genetik. 

Di negara kita secara umumnya tidak ketinggalan dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran aktiviti pertanian, terutamanya komoditi yang banyak dihasilkan di negara kita seperti kelapa sawit, getah dan buah-buahan tempatan. 

Kajian pertanian dijalankan oleh pihak universiti dan agensi penyelidik banyak membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara untuk manfaat petani menghasilkan pengeluaran pada tahap optima, seterusnya dapat bersaing dengan petani di luar negara.  

Selain itu kerajaan juga menghantar semakin ramai petani muda yang berpotensi mengikuti kursus di luar negara. Mereka didedahkan dengan pengetahuan dan semangat petani moden di negara maju. Pendekatan itu didapati lebih berkesan berbanding latihan diadakan di dalam negara. Mereka dapat mempelajari dan melihat sendiri kejayaan petani di luar negara. 

Menjalankan aktiviti pertanian secara moden dan bersistematik satu amalan amat penting bagi memastikan peningkatan hasil dan kualiti hasil yang baik.  Setiap pekerjaan yang dilakukan memerlukan kaedah yang sesuai untuk berjaya, tidak terkecuali dalam bidang pertanian.   

Teknik dalam bidang pertanian telah dijelaskan secara ringkas tetapi penuh pengajaran dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: “Berkata Yusof: “Kamu bercucuk tanam tujuh tahun sebagaimana biasa. Seberapa yang kamu tuai hendaklah kamu simpan bersama tangkainya, kecuali sedikit untuk kamu makan.” (Surah Yusof, ayat 47).

Arahan simpan bersama tangkainya mempunyai hikmah, yakni hasil tanaman menjadi lebih tahan lama. Pengajaran boleh diambil ialah kajian dan pembangunan berkaitan pertanian perlu dilakukan untuk mendapat hasil terbaik. 

Petani moden sentiasa mengadakan ujian sendiri mengenai kaedah-kaedah pertanian terbaik. Petani di negara maju sentiasa memperolah kaedah baru dalam kerja-kerja pertanian kerana mereka sentiasa mencuba dan mengamalkan eksplotasi ilmu.   

No comments:

Post a Comment