Tuesday 9 October 2018

Pantai Bisikan Bayu Semerak

Nama Pantai Bisikan Bayu juga dikenali Pantai Semerak dan Pantai Dalam Rhu sudah lama terkenal di Kelantan. Pantai yang terkenal dengan keindahan pantai dan suasana damai itu menjadi tumpuan pengunjung dari Kelantan dan Terengganu pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

Pantai Bisikan Bayu merupakan satu produk pelancongan yang paling awal dibangunkan di Pasir Puteh. Lokasinya terletak di Cherang Ruku, Semerak, 16 kilometer dari bandar Pasir Puteh dan hanya tiga kilometer dari Pekan Cherang Ruku. 
 
Manakala jarak dengan sempadan Kelantan Terengganu adalah kira-kira dua kilometer dan empat kilometer dari pusat pekan Kuala Besut. Jarak dari Kota Bharu pula kira-kira 50 kilometer.

Di kawasan pantai ini, disediakan surau, tandas, bilik persalinan, taman permainan, dan juga terdapat sebuah chalet penginapan iaitu Taman Rehlah. Antara aktiviti yang boleh dijalankan di sini ialah berkelah, berkhemah dan aktiviti keluarga.

Nama Pantai Bisikan Bayu mendapat namanya dari bunyi angin laut yang lembut seakan berbisik apabila bergesek dengan dedaun pohon ru.

Selain tertarik dengan kecantikan pantainya, Pantai Bisikan Bayu semakin terkenal di Kelantan kerana hasil pembangunan yang dibawa melalui Projek Kemasin Semerak yang telah banyak mengubah landskap di kawasan daerah Pasir Putih dan Bachok. Kemudahan jalan raya, jambatan dan projek pembangunan lain turut menyokong aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.

Kemudahan jalan raya memudahkan pengunjung datang ke sesuatu tempat. Dahulu pengunjung ke Pantai Bisikan Bayu hanya boleh menggunakan jalan raya Pasir Putih - Kuala Besut yang agak sempit dan mengambil jarak jauh. 

Bagaimanapun, setelah jalan baharu Tok Bali - Kuala Besut siap dibina, pengunjung dapat menggunakan untuk ke Pantai Bisikan Bayu dengan lebih selesa.

Jalan raya Tok Bali - Kuala Besut kini telah menjadi laluan utama penduduk Kota Bharu dan Bachok yang hendak ke Besut dan daerah lain di Terengganu. Ini secara langsung juga menjadikan Pantai Bisikan Bayu semakin lekat di hati penduduk Kelantan dan Terengganu.

Tambahan pula, Pantai Bisikan Bayu semakin menarik dan menawarkan lebih banyak pilihan untuk pengunjung berbanding sebelumnya. Pembinaan jalan raya yang merentasi Sungai Semerak telah membentuk lagun yang menarik. Selain itu, tempat menarik lebih luas dan banyak pilihan.

Pengunjung boleh memilih sama ada menikmati pemandangan dan melakukan aktiviti di laut, atau berada di tepi legun yang damai dan suasana hijau mata memandang yang dihiasi pokok ru. 

No comments:

Post a Comment