Friday 11 January 2019

MANIPULSI KELEMAHAN UMAT ISLAM


Tamatnya Perang Dunia Pertama merupakan detik cukup signifikan buat dunia Islam. Ia sebagai tanda berakhirnya empayar Islam dan sehingga kini tiada satu kerajaan pun berjaya dibentuk setanding era kegemilangan Islam.

Puncanya bermula apabila majoriti umat Islam mula hilang pegangan dan lebih mencintai keduniaan. Kecintaan kepada kedudukan, kemewahan, wang dan kemegahan telah digunakan sebaik mungkin oleh musuh untuk memusnahkan serta memecahbelahkan umat Islam.

Gerak kerja musuh Islam cukup mudah iaitu dengan memanipulasikan kelemahan umat Islam pada masa itu. Antara strategi manipulasi itu adalah dengan mewujudkan permusuhan antara umat Islam bangsa Turki yang ketika itu mentadbir Empayar Uthmaniah bersama bangsa Arab yang menetap di Tanah Arab ketika itu.

Musuh Islam tidak perlu berperang tetapi hanya dengan satu muslihat iaitu membawa permusuhan sehingga berakhirnya empayar Islam.

Catatan sejarah menceritakan bagaimanakah musuh Islam telah melakukan muslihat untuk melemahkan umat Islam. Antara kaedah yang dilakukan ialah mereka (musuh Islam) telah menemui bangsa Arab di Tanah Arab dan mempersoalkan sikap mereka yang membiarkan bangsa Turki memerintah serta memegang jawatan khalifah.

Musuh itu berkata, Nabi Muhammad SAW berketurunan Arab dan bahasa dalam al-Quran pun adalah bahasa Arab, jadi tidakkah mereka berasa malu dengan situasi berkenaan. Tipu muslihat itu telah berjaya mempengaruhi segelintir bangsa Arab.

Sekumpulan bangsa Arab mula memerangi bangsa Turki yang tinggal di Tanah Arab. Dalam satu kejadian, mereka dikejar hingga ke Kaabah dan dikepung di situ.

Semasa dikepung itu, mereka sempat memegang tali kain Kaabah sambil berdoa memohon perlindungan Allah. Ketika itu juga tangan mereka dipotong oleh bangsa Arab.

Ternyata kejadian tersebut membawa kesan buruk kepada jalinan hubungan ummah yang dibina oleh para khalifah Islam sebelum itu.

Tindakan sekumpulan bangsa Arab itu telah mewujudkan konflik sesama sendiri dalam empayar Islam ketika itu.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila ada dalam kalangan bangsa Arab dan Turki mula meniupkan semangat nasionalisme masing-masing. Tiupan semangat nasionalisme bukan sahaja menjadikan umat berpecah mengikut bangsa walaupun jelas bertentangan dengan al-Quran dan hadis Rasulullah, bahkan lebih daripada itu.

Golongan nasionalis itu telah melakukan perubahan secara total. Mereka berusaha menyerap elemen sekular dan antara yang terlibat ialah Mustafa Kemal Atatürk.

Mereka berusaha meminggirkan terus ajaran Islam. Azan solat tidak lagi dilaungkan. Al-Quran bukan hanya tidak lagi dibacakan, bahkan kitab Allah itu diletakkan dalam muzium sebagai bahan pameran sejarah sahaja.

Ayat-ayat al-Quran hanya layak sebagai bahan hiasan dinding dan bukan lagi untuk difahami serta diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam ketika itu.
Ternyata, mereka berjaya melakukannya.

Kejayaan musuh Islam itu masih ada lagi hari ini. Umat Islam hari ini pandai baca al-Quran tetapi tidak begitu memahami dengan jelas kandungan kitab suci itu.

Malah, ada kalangan kita yang bangga meletakkan al-Quran dalam kereta dengan hiasan yang cantik dan mempesonakan. Tetapi, apakah itu tujuan Allah menurunkan al-Quran?

No comments:

Post a Comment