Sunday 25 August 2019

CARA HAPUS POKOK SEMALU

Pokok semalu (mimosa pudica L) adalah tumbuhan merayap semusim (annual) yang sering menarik minat. Nama lain semalu ialah kembang gajah, malu-malu, memalu, rumput rimau dan duri keman.

Pokok semalu dianggap sebagai rumpai kerana durinya yang tajam amat mengganggu. Duri semalu boleh meluka bahagian badan jika terkena, terutama apabila terpijak.

Selain itu semalu juga merupakan rumpai yang tegar. Walaupun ia dipotong, umbinya mampu menumbuhkan pucuk baharu.

Selain itu bahagian batang yang telah di potong mampu menumbuhkan akar baru dan tumbuh sebagai pokok baru. Pokok semalu juga mampu membiak melalui biji benih yang mudah tersebar.

Pokok semalu mudah hidup subur di mana-mana sahaja kerana pada akar pokok ini terdapat bakteria yang mampu menukarkan nitrogen di dalam udara kepada sebatian yang boleh digunakan oleh tumbuhan.

Ini membantu pokok semalu tetap subur walaupun pokok di sekitarnya kekurangan baja. Hubungan antara bakteria dan pokok ini bukan hanya terdapat pada pokok semalu sahaja malah terdapat pada tumbuhan kekacang yang lain.

Cara terbaik bagi menghapuskan semalu adalah menarik pangkal pokok dengan menggunakan pengepit dan menarik sehingga ke akar umbi. Pokok yang dicabut perlu dimusnahkan agar tidak tumbuh sebagai pokok baharu.

No comments:

Post a Comment