Saturday 23 May 2020

AK 24 - PUNGGAH AIR MALAM RAYA


Malam ini malam raya. Tamat sudah ibadat puasa sepanjang Ramadan. Selepas azan Maghrib tadi, bermakna sudah masuk 1 Syawal. Dalam kalendar Islam, permulaan hari baharu atau tarikh baharu adalah apabila masuk waktu Maghirb.

Seperti biasa, malam raya ramai orang bertakbir. Di TV 1 ada program Gema Takbir. Di siaran TV lain pun tidak kurang gema takbir biarpun kini masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Raya tetap raya. Takbir perlu dilafazkan menzahirkan perasaan gembira dan rasa syukur dapat melaksanakan ibadat puasa.

Bagi ambo, malam raya ini masih seperti malam-malam sebelumnya. Salah satu tugas yang wajib dilaksanakan ialah punggah air. Hari ini sudah 30 tong diisi. Selepas ini sebelum tidur, perlu isi 15 tong lagi. Setiap tong mengisi lima liter air.

Suka atau tidak, itulah rutin yang perlu dilakukan sejak akhir Januari 2020. Ini bermakna sudah empat bulan setiap hari perlu punggah air. Jumlah hari telah lebih 120 hari. Ini sudah pecah rekod tahun lepas yang jumlahnya 66 hari secara berterusan.

Tugas punggah air ini bukan normal baharu, tetapi budaya yang perlu diteruskan demi menenuhi keperluan.

Ketika mengisi tong dari tangki statik tadi, ada jiran memberitahu seorang jiran yang baharu tinggal sebulan di rumah sewa bersetentang dengan rumahnya, telah berpindah kerana tidak tahan kena punggah air setiap hari.

Oh... patutlah sudah dua tiga hari tidak bersama-sama memunggah air dengan jiran sekampung yang tidak sempat diketahui namanya itu.  Rupanya dia telah berpindah.

Setakat ini untuk catatan malam ini. Hendak pergi punggah air sekali lagi. Selamat Aidilfitri. "taqaballahu minna wa minkum"

Friday 22 May 2020

AK 23 – TIDAK SEMUA GAGAL

Dalam agensi atau organisasi yang besar akan ada jabatan atau bahagian ditubuhkan untuk melaksanakan bidang tugas tertentu. Setiap bahagian akan melaksanakan tugas sama ada saling berkait dengan jabatan lain atau bersendirian.

Dalam kes tugas seling berkait dengan jabatan lain, maka kejayaan atau kelancaran operasi akan saling berkait juga. Tetapi, jika tugas tiada berkaitan (pada hakikatnya tugas itu berkaitan dengan organisasi), maka kelancaran tugas jabatan itu tidak bergantung kepada jabatan lain.

Ambil contoh operasi Syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB). Umum mengetahui AKSB gagal memberi perkhidmatan penyediaan bekalan air bersih kepada pengguna di Kelantan sejak bepuluh-puluh tahun yang lalu.

Selain kualiti air yang tidak memuaskan seperti keruh dan berkarat, masalah lain yang dialami pengguna ialah penyaluran bekalan air sentiasa terganggu secara tidak berjadual.

Masalah bekalan air bukan sekadar berlaku sehari dua, bahkan ada yang berlanjutan sehingga berminggu-minggu. Malah lebih teruk lagi ia melangkaui tempoh tahun.

Akibat masalah itu, banyak pengguna AKSB terpaksa mencari alternatif lain untuk memenuhi keperluan air harian untuk kegunaan keluarga dengan cara menggali telaga atau membuat 'boring'.

Namun, tidak semua bernasib baik kerana air telaga di sesetengah kawasan berbau dan tidak selamat digunakan.  

Tugas operasi di loji rawatan air dan seterusnya mengagihkan bekalan air bersih kepada pengguna melalui saluran paip dilaksanakan oleh jabatan atau bahagian tertentu dalam AKSB. Secara konsepnya, jabatan inilah yang dikategorikan sebagai gagal beroperasi dengan baik (bukan bermaksud pegawai dan staf tidak dedikasi).

Dalam AKSB ada bahagian atau staf membaca dan menyerahkan bil kepada pengguna. Bahagian ini dianggap paling berjaya dalam melaksanakan tugas. Meter air tidak gagal dibaca setiap bulan dan bil akan diserahkan kepada pengguna dengan baik.

Bacaan meter tetap dilakukan biarpun pengguna tidak mendapat atau tidak menggunakan perkhidmatan disediakan AKSB berbulan-bulan, bahkan bertahun lamanya.

Staf pembaca meter tetap hadir ke premis biarpun sering menjadi bahan cacian atau dimarahi pengguna yang kecewa dengan perkhidmatan AKSB. Mereka tetap setia dan melaksanakan tugas dengan sempurna tanpa gagal.

Inilah dikatakan dalam satu organisasi yang dilihat gagal, sebenarnya ada bahagian yang cemerlang melaksanakan tugas mereka. Jadi, jangan kita melabelkan semuanya gagal kerana ia berada dalam kumpulan yang gagal.

Thursday 21 May 2020

AK 22 – RINTIHAN PENGGUNA MENJERIT AIR.. AIR... AIR


Seorang kawan saya yang tinggal di Paya Bemban Kota Bharu setiap hari merintih fasal ketiadaan air. Dalam satu statusnya sampai dia menjerit air..air dan nak terjun ke sungai Kelantan. Saya tahu keadaan lenguh lumpo yang dihadapinya kerana panas ketiadaan air.

Kawan itu juga merunggut masa jadi pembangkang air ada juga. Lepas jadi kerajaan pusat air kering terus.

Paya Bemban dalam parlimen Kota Bharu di mana wakilnya Takiyuddin Hassan yang jadi Menteri di JPM. Bersebelahan Kota Bharu pula kawasan Kubang Kerian diwakili Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air.

Apakah rintihan kawan saya di Paya Bemban itu tidak terkelih oleh mereka. Jangan bila kita sudah mewah, hidup senang penderitaan rakyat terbiar begitu sahaja. Masa belum kuasa kita lambung janji nak bantu rakyat tapi dah kuasa lupa.

Semoga masalah kawan saya di Paya Bemban dan tempat-tempat lain juga dipedulikan oleh orang yang jadi kerajaan seperti Takiyuddin dan Tuan Ibrahim itu.

Salin dan tampal dari FB di ruangan komen (ada ejaan diubah).
Gambar hiasan