Saturday 23 May 2020

AK 24 - PUNGGAH AIR MALAM RAYA


Malam ini malam raya. Tamat sudah ibadat puasa sepanjang Ramadan. Selepas azan Maghrib tadi, bermakna sudah masuk 1 Syawal. Dalam kalendar Islam, permulaan hari baharu atau tarikh baharu adalah apabila masuk waktu Maghirb.

Seperti biasa, malam raya ramai orang bertakbir. Di TV 1 ada program Gema Takbir. Di siaran TV lain pun tidak kurang gema takbir biarpun kini masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Raya tetap raya. Takbir perlu dilafazkan menzahirkan perasaan gembira dan rasa syukur dapat melaksanakan ibadat puasa.

Bagi ambo, malam raya ini masih seperti malam-malam sebelumnya. Salah satu tugas yang wajib dilaksanakan ialah punggah air. Hari ini sudah 30 tong diisi. Selepas ini sebelum tidur, perlu isi 15 tong lagi. Setiap tong mengisi lima liter air.

Suka atau tidak, itulah rutin yang perlu dilakukan sejak akhir Januari 2020. Ini bermakna sudah empat bulan setiap hari perlu punggah air. Jumlah hari telah lebih 120 hari. Ini sudah pecah rekod tahun lepas yang jumlahnya 66 hari secara berterusan.

Tugas punggah air ini bukan normal baharu, tetapi budaya yang perlu diteruskan demi menenuhi keperluan.

Ketika mengisi tong dari tangki statik tadi, ada jiran memberitahu seorang jiran yang baharu tinggal sebulan di rumah sewa bersetentang dengan rumahnya, telah berpindah kerana tidak tahan kena punggah air setiap hari.

Oh... patutlah sudah dua tiga hari tidak bersama-sama memunggah air dengan jiran sekampung yang tidak sempat diketahui namanya itu.  Rupanya dia telah berpindah.

Setakat ini untuk catatan malam ini. Hendak pergi punggah air sekali lagi. Selamat Aidilfitri. "taqaballahu minna wa minkum"

No comments:

Post a Comment