Thursday 4 February 2021

BURUNG MERPATI SETIA KEPADA PASANGAN

Burung merpati merupakan jenis burung yang paling dikenali di seluruh dunia. Bentuk badan merpati berbadan gempal dengan leher pendek dan halus, paruh langsing dengan pangkal paruh berisi. Merpati makan biji benih, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan. 
 
Burung merpati termasuk jenis burung yang bersifat jinak dan akrab dengan manusia. Sebab itu, merpati dipelihara sebagai haiwan permainan atau kesayangan.  
 
Pun begitu, ada yang memelihara merpati untuk tujuan mendapat daging yang kaya dengan khasiat. 
 
Merpati dijadikan lambang kesetiaan dalam hubungan, kerana burung itu cenderung tinggal bersama pasangannya sepanjang musim. Merpati mengamalkan monogami atau tidak bertukar pasangan. 
 
Burung merpati cepat membiak. Kematangan seksual boleh dicapai dalam umur 5 – 6 bulan dan mereka boleh membiak sepanjang tahun. Selepas mengawan merpati jantan akan mula mencari tempat yang sesuai untuk membuat sarang. 
 
Burung jantan akan mengambil tugas mengeram dari pukul 10:00 pagi hingga 6:00 petang, manakala yang betina akan mengambil masa yang selebihnya. 
 
Penetasan telur akan berlaku biasanya 17 hingga 19 hari selepas bermulanya proses pengeraman. Anak-anak burung merpati mempunyai bulu berwarna kuning dan paruh berwarna pink dan masa tumbesaran mereka, dari mula menetas sehingga boleh terbang adalah 30 hari. 
 
Merpati jantan dan betina tidak meninggalkan sarang untuk menangkap serangga untuk disuap kepada anak-anak mereka seperti burung-burung jenis lain, tetapi memberikan anak-anak mereka rembesan hasil kelenjar yang dipanggil susu merpati (pigeon milk). 
 
Ia bukannya susu yang sebenarnya kerana tiada kandungan laktosa di dalamnya, namun begitu pengeluarannya adalah dirangsang oleh prolaktin, hormon yang sama yang merangsang pengeluaran susu dalam mamalia. 
 
Susu’ ini kelihatan seperti keju, berwarna krim dan tinggi dalam kandungan protein nya, dan ia diberi kepada anak-anak mula dari penetasan sehingga berumur 10 hari, ia itu setelah mereka mula boleh makan bijirin. 
 
Dalam masa waktu yang singkat iaitu 35 hari sepasang merpati sudah mampu menghasilkan keturunan seterusnya. Ini bererti dalam satu tahun sepasang merpati mampu menghasilkan keturunan 10 kali dan sekurang-kurangnya seekor boleh menghasilkan anak 2 ekor. 
 
Pembiakan merpati bagi tujuan mengembangkan saiz, bentuk warna atau sifat dikatakan bermula lebih 3,000 tahun yang lalu.  
 
Dalam tempoh masa ini pembiakan dan kacuk biak merpati untuk menghasilkan baka-baka hiasan telah menjadi satu seni. Lebih 300 jenis baka merpati wujud pada hari ini. 
 
Setiap satu jenis baka mempunyai ciri-ciri berbeza sehingga amat jauh ciri-cirinya berbanding yang lain. Ada jenis merpati yang mampu terbang secara terus menerus selama 20 jam.  
 
Kelajuannya boleh mencecah kira-kira 70 hingga 80 kilometer perjam. Ada jenis merpati yang mampu terbang sejauh 1500 kilometer untuk satu-satu penerbangan. 
 
Jangka hayat burung merpati berbeza, ada yang boleh hidup dari 3 – 5 tahun hingga ke 15 tahun. 
 
Burung merpati adalah jenis yang mudah dibela oleh mana-mana peminat burung. Ianya tidak seperti burung jenis lain. Diet burung merpati juga mudah diperolehi di pasaran.  
 
Bagaimanapun burung jenis ini memerlukan tempat yang bersih untuk mengelak dijangkiti penyakit, naik puru di kaki dan mata ataupun kutu mudah membiak di badannya. 
 
Diet atau makanan utama bagi burung-burung merpati adalah bijirin, tetapi ia boleh berbeza mengikut spesis.  
 
Ada juga spesis yang makan buahan dan juga serangga serta cacing, manakala merpati feral yang terdapat di kota mengambil bijirin dan juga bahan buangan manusia sebagai makanan. 
 
Beberapa sumber karbohidrat dan lemak yang terbaik dapat diperoleh dari jagung dan beras. Manakala sumber protein terbaik dapat diperoleh dari kacang hijau dan kacang merah.

No comments:

Post a Comment