Thursday 11 May 2023

AK 30 – PEMIMPIN AKUI KELANTAN HADAPI MASALAH AIR

 
"Kita akui Kelantan ada masalah air dan tidak pernah nafikan perkara itu," kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-52 Peringkat Negeri Kelantan 2023 di sini pada 8 Mei.

Kenyataan itu jelas tidak menafikan keluh resah rakyat yang telah berdepan dengan masalah air sejak berpuluh tahun lalu. Masalah air itu bukan hanya berlaku di jajahan tertentu sahaja, tetapi seluruh jajahan di Kelantan. Selain masalah ketiadaan air, masalah lain sering dihadapi ialah air berkarat atau tidak bersih.
 
Tidak dinafikan bukan semua tempat menghadapi masalah bekalan air, tetapi ia sudah menjadi “identiti” Kelantan yang berdepan masalah bekalan air. Keadaan itu bukan sahaja dihadapi penduduk di pedalaman, tetapi juga parah di kalangan penduduk di bandar Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Kelantan dan pusat ekonomi negeri.
 
Entah apa punca sebenar masalah itu. Tetapi cakap-cakap mengatakan ia berpunca masalah paip lama yang sering pecah sehingga banyak air terbazir.
 
Syarikat pengendali bekalan air bersih di Kelantan, Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), dilaporkan kini sedang giat melakukan proses menukar 4,000 kilometer paip air di seluruh negeri.
 
Proses tersebut tentunya mengambil masa yang panjang. Dan tambah lagi ia melibatkan atau memerlukan peruntukan yang besar dianggarkan RM7 bilion untuk menyelesaikan masalah ini.
 
Keadaan ini bermakna lambat lagi isu masalah air di Kelantan akan selesai. Kalau di kampung, mungkin mereka boleh mengharapkan bekalan air telaga dan air sungai.

No comments:

Post a Comment