Friday 29 March 2024

TOKEK SEJENIS CICAK BERHARGA MAHAL

 
Kenalkah anda dengan binatang ini? Binatang yang pernah mengemparkan atau tular di Malaysia dan negara Asia Tenggara kerana ada yang ingin menawarkan harga hingga puluhan, malah ratusan ribu ringgit seekor. Pun begitu ia bergantung kepada berat tertentu dengan kadar sekurang-kurangnya 350 gram. Ada yang ditawarkan sehingga RM1 juta jika beratnya mencapai 1 kilogram.
 
Inilah dinamakan cicak tokek atau ada juga yang memanggilnya pokkek (tidak sama dengan pokke atau pokko yang terkenal di Kelantan). Tokek nama saintifik: Gekko gecko adalah sejenis cicak dalam keluarga Gekkonidae yang terdapat di timur laut India dan Bangladesh dan seluruh Asia Tenggara. Tokek hidup pada pokok-pokok tinggi dan tebing dalam hutan hujan tropika.
 
Cicak tokek mudah membiasakan diri dengan suasana persekitaran kawasan perkampungan, dinding, siling rumah khususnya rumah papan kampung, serta aktif pada waktu malam untuk menangkap serangga sebagai makanannya.
 
Namun berikutan kebanyakan kawasan hutan sudah diterokai untuk dijadikan kawasan perbandaran, maka cicak tokek semakin terancam dan sukar untuk mendapat habitatnya yang semula jadi menyebabkan populasi cicak ini semakin berkurangan.
 
Nama tokek dipadamkan dengan bunyi “tok ke” yang dihasilkan oleh tokek jantan. Bagi mereka yang tidak pernah mendengarnya pasti akan tertanya-tanya bunyi apakah itu. Bunyinya agak kuat dan nyaring. Tidak sangka ia dihasilkan oleh binatang yang agak kecil berbanding bunyi yang dihasilkan olehnya.
 
Warna kulitnya yang agak pelik dan unik manakala jarinya pula dianggap boleh menyirat kulit manusia yang terkena pada cakarannya. Tokke memakan serangga, termasuk serangga berbahaya seperti jenking dan lipan.
 
Pada sekitar tahun 2010, tokek mendapat perhatian ramai kerana ada kajian yang mendakwa hempedu binatang ini dipercayai mampu mengubati penyakit HIV dan pelbagai penyakit yang belum ada penawarnya. Berita ini telah mula tersebar dan menjadi buah mulut orang ramai sejak awal Ogos 2010.
 
Tokek yang seberat 300 gram ke atas boleh dijual dengan harga yang sangat tinggi. Ini kerana tokek apabila mencapai keberatan 300 gram ke atas akan mengeluarkan enzim yang boleh mengubati penyakit HIV.
 
Akibat harga yang tinggi, banyak orang sanggup memasuki kawasan hutan semata-mata ingin menangkap tokek. Di mana sahaja tempat yang dipercayai ada tokek, pasti ada pemburu tokek yang sanggup pergi ke tempat itu.
 
Pemburu tokek dari Malaysia sanggp ke luar negara, termasuklah di kawasan atau tempat yang diketahui tidak selamat disebabkan masalah peperangan atau tindakan pengganas. Biarpun ada berita warganegara Melaysia diculik atau hilang ketika memburu tokek, ia tidak melemahkan semangat yang lain.
 
Namun, beberapa tahun kemudian, nama tokek semakin hilang daripada menjadi bualan. Khasiat tokek tidak seperti yang diwar-warkan. Ada pemborong atau orang tengah dalam proses jual beli menanggung rugi besar apabila tokek yang dibeli daripada orang ramai tidak dapat dijual.
 
Maka, jadilah tokek satu episod duka bagai sesetengah orang.  


No comments:

Post a Comment