Menggalakan
golongan tua terus aktif, termasuk mencari rezeki, bukan satu bentuk
penderaan. Keaktifan banyak membantu
golongan tua terus menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik
banyak dipengaruhi oleh tahap keaktifan dan nilai-nilai positif yang diamalkan.
Organisasi
Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisi warga tua aktif sebagai proses yang mengoptimumkan peluang untuk
kesejahteraan fizikal, sosial dan mental sepanjang hayat, ke arah perlanjutan
jangka hayat, produktiviti dan kualiti hidup pada hari tua.
Golongan ini
tidak cenderung untuk berkahwin semula selepas kematian pasangan mereka
berbanding dengan warga tua lelaki. Mereka lebih cenderung hidup dalam kedaifan dan tinggal berseorangan
biarpun terdapat anak yang sedia menjaga mereka.
Fenomena ini
sedikit sebanyak berkaitan dengan sejarah yang dilalui seseorang individu. Kebanyakan wanita golongan tua yang terdapat
di negara kita rata-rata adalah suri rumah ketika usia muda. Mereka tidak melakukan aktiviti ekonomi,
melainkan mengharapkan sepenuhnya daripada suami.
Kesihatan yang
baik adalah pra syarat kepada kehidupan berkualiti pada masa tua. Selain faktor ‘kekurangan’ berdasarkan usia
tua, masalah yang kerap dialami golongan tua ialah mengidap penyakit berbahaya.
Mungkin kita
boleh berbangga dengan kemudahan kesihatan yang terdapat di Malaysia yang
dianggap di antara yang terbaik di kalangan negara membangun, tetapi sikap dan
peranan individu sendiri menentukan tahap kesihatan masing-masing.
Biarpun sebaik
mana kemudahan kesihatan yang disediakan kerajaan, terdapat penyakit yang sukar
dirawat, sebaliknya memerlukan disiplin penjagaan kesihatan secara individu.
Penyakit kencing manis dan berat badan berlebihan adalah penyakit yang berpunca
sikap individu yang tidak menjaga pemakanan dan kurang bersenam.
Sepatutnya,
setiap individu perlu mengambil langkah awal mengelak diri mengalami penyakit
berbahaya, terutama yang menyerang apabila usia tua. Sebenarnya, amat jarang terdapat penyakit
yang menyerang secara mendadak ketika usia tua, tetapi sebenarnya mempunyai
kaitan cara hidup sewaktu usia mua.
Justeru,
kempen atau promosi kesihatan perlu dipertingkatkan di kalangan golongan muda
supaya apabila memasuki usia tua keadaan kesihatan masih baik. Hidup era tua dapat dinikmati dengan lebih
bererti sekiranya keadaan kesihatan tidak dibebani dengan pelbagai jenis
penyakit bahaya.
Usaha membina
motivasi dan keyakinan diri menghadapi hidup alam tua juga perlu
dipertingkatkan di kalangan rakyat. Ia
satu usaha untuk tidak lagi menggambarkan hari tua sebagai tempoh memilukan dan
serba kepayahan.
Seharusnya,
kita mewujudkan satu tanggapan bahawa hari tua adalah kemuncak kehidupan
apabila sepanjang usia yang lalu kita telah mencapai kejayaan hidup dalam
mengurus keluarga dan kerjaya. Ketika
hari tua kita merasakan kepuasan telah melaksanakan amanah dan tugasan yang
sepatutnya dilakukan ketika usia muda.
Kalau ketika
usia muda kita banyak melakukan perkara kebaikan, mengapa perkara itu tidak
diteruskan ketika usia tua mengikut kadar kemampuan masing-masing. Jika dulu usia 55 tahun dikira sebagai had
memasuki alam persaraan, kini telah ditingkatkan kepada 60.
No comments:
Post a Comment