Monday, 17 October 2016

Dasar warga tua negara hargai golongan usia emas

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjurkan Malaysia menjadi sebuah negara tua pada 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas mencakupi 15 peratus daripada jumlah populasi.

Jangka hayat penduduk juga diunjur menokok daripada 72.6 tahun pada 2010 kepada 74.2 tahun pada 2020 bagi lelaki, manakala jangka hayat wanita meningkat kepada 79.1 daripada 77.5 tahun bagi tempoh yang sama. Ini dijangka meningkat sejajar dengan peningkatan taraf kesihatan penduduk. 

Menyedari hakikat ini, kerajaan mengambil beberapa langkah persediaan awal menangani isu penuaan penduduk dengan pengubalan Dasar Warga Tua Negara (DWTN) pada 1995.

Antara strategi itu ialah meningkatkan keberkesanan penjagaan dan perlindungan warga emas supaya mereka dapat meneruskan kehidupan lebih bermakna dan sihat sejahtera dengan mengoptimumkan potensi diri melalui proses penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong meningkatkan kesejahteraan kesihatan warga emas seiring dengan arus pembangunan negara.

DWTN bertujuan mewujudkan masyarakat warga tua yang sejahtera, bermaruah, mempunyai martabat diri yang tinggi, dengan mengoptimumkan potensi diri mereka dan menentukan mereka menikmati semua peluang disamping mendapatkan penjagaan dan perlindungan sebagai ahli keluarga, masyarakat dan negara.

Antara objektif DWTN ialah meningkatkan kehormatan dan martabat diri warga tua dalam keluarga, masyarakat dan negara. Ia juga bertujuan memajukan potensi Warga Tua agar mereka terus aktif dan produktif dalam pembangunan negara, serta mewujudkan peluang untuk membantu mereka terus hidup berdikari.

Dasar berkenaan juga diharapkan menggalakkan pengwujudan dan penyediaan kemudahan-kemudahan yang tertentu demi untuk menjamin penjagaan dan perlindungan Warga Tua ke arah kesejahteraan hidup mereka.

Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) yang diperkenalkan dan memberi kesan positif kepada golongan yang bekerja sendiri. Pada masa sama, dasar itu turut meningkatkan peluang pekerjaan kepada warga emas dan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, sebanyak 10 peratus potongan cukai diberikan kepada majikan yang mengambil warga emas sebagai pekerja.

Kerajaan turut memperluas kemudahan awam seperti kaunter khas, lif serta beberapa kemudahan lain. Program perkongsian bijak berteraskan pendekatan ‘multi sectoral’, peralihan pendekatan kebajikan kepada pendekatan pembangunan memberi penekanan kepada komuniti asas. 

Penjelasan di atas menyebabkan penulis tertanya-tanya 'adakah menjadi tua itu begitu buruk sekali?' Atau adakah ia hanya ilusi semata-mata? Jika benar menjadi tua itu begitu menyusahkan dan menyedihkan, kenapakah pula sebahagian besar daripada pemimpin negara, malahan pemimpin dunia sekalipun adalah golongan tua belaka.

Mereka walaupun tua, masih gagah malah berjaya membawa negara ke mercu kejayaan. Jadi, adakah benar menjadi tua itu begitu membebankan dan tidak akan membawa apa-apa kebaikan atau faedah kepada diri sendiri atau masyarakat di sekeliling kita?

Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran lain seperti warga emas, golongan veteran atau 'senior'. Takrifan warga emas adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat saja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.

Ini adalah anggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

No comments:

Post a Comment