Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua
peringkat kebangsaan diadakan sebagai pengiktirafan kepada warga emas agar
mereka tidak dilihat golongan membawa beban.
Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda
harus menghargai jasa mereka selama ini. Kita perlu sentiasa beringat bahawa
kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain
menghormati dan menyayangi diri kita.
Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini?
Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan
bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh terus membabitkan diri dalam
kegiatan kemasyarakatan dengan menyumbang idea bernas berdasarkan pengalaman
mereka.
Samuel Ullman memberikan satu pesan bestari "Nobody
grows old merely by living a number of years. We grow old by deserting our
ideals. Years may wrinkle the skin, but to give up enthusiasm wrinkles the
soul".
Apa yang dapat difahami dari kata-kata ini adalah bahawa
jumlah angka pada usia kita tidak penting. Apa yang penting adalah semangat
untuk hidup dan memberikan sumbangan berguna kepada manusia di sekeliling kita.
Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada
golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku
kehidupan yang penuh mencabar ini.
Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda
akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat jahat.
Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.
Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan
muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini
terjamin dan lebih bermakna.
Warga tua sebenarnya boleh menyumbang tenaga dengan
melakukan kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.
Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar di kawasan kejirannannya. Bekas guru agama wajar mengajar bacaan al-Quran kepada golongan muda di sekitar rumahnya.
Seorang bekas profesor boleh menulis artikel ilmiah bersesuaian dengan bidangnya. Tulisan itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.
Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar di kawasan kejirannannya. Bekas guru agama wajar mengajar bacaan al-Quran kepada golongan muda di sekitar rumahnya.
Seorang bekas profesor boleh menulis artikel ilmiah bersesuaian dengan bidangnya. Tulisan itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.
Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya, mahir bertukang,
melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk menambah sumber
rezeki.
Contoh di atas hanya beberapa saranan yang boleh dijadikan
panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa
dan agama. Tentunya golongan ini lebih bijaksana dalam menentukan apa yang
ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua
mereka.
Sumbangan yang diberikan itu, walaupun kelihatan kecil,
namun golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya
sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil.
Begitu pun, mungkin sesetengah warga tua berpendapat bahawa
masa tua adalah waktu untuk berehat setelah sekian lama bekerja atau
membesarkan anak-anak. Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana ia
akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada.
Sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan
diperlukan dalam membantu membangunkan negara. Lagipun, ramai yang berpendapat
bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah
'sakit'.
Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan
warga tua ini perlulah diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan makanan
dan pengambilan makanan tambahan digalakkan.
Pada masa yang sama, warga emas ini perlu sentiasa bersikap
terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda
agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan
lancar dan berkesan.
Proses penuaan adalah perkara semula jadi. Tidak ada
sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Jadi, elakkan diri daripada
sedih atau sensitif jika orang lain mengatakan yang anda kelihatan tua kerana
semua orang akan melalui proses penuaan itu.
Usia walaupun meningkat, namun sebenarnya kita masih mam-pu
memberikan sumbangan berguna kepada bangsa, agama dan negara. Oleh itu,
hadapilah usia emas anda dengan penuh gemilang.
No comments:
Post a Comment