Tuesday, 18 October 2016

Ramadan pesta bazir makanan

Ibadat puasa latih jadi lebih sabar, taat dan penting patuh suruhan agama. Islam suruh kurangkan kadar makan ketika berbuka. Malangnya, rakyat Malaysia menjadikan Ramadan pesta makanan. Bermula dari berbuka puasa hingga bersahur. 

Bazar Ramadan dipenuhi orang ramai seawal pukul tiga petang. Peniaga tidak lepas peluang untuk menyediakan pelbagai juadah yang jarang dijumpai pada masa lain. Selera orang berpuasa agak pelik dan tidak terdidik dengan amalan berpuasa. 

Selepas waktu berbuka yang sepatutnya masing-masing menuju ke masjid untuk bersembahyang sunat tarawih, sebaliknya ramai yang berduyung-duyung ke kedai atau gerai makanan. 

Makanan semasa berbuka belum hadam sepenuhnya, perut hendak diisi lagi. Bahkan, makanan berbuka masih ada lagi dan bakal dibuang begitu saja. Sebab itu, ada orang menjadi lebih gemuk pada bulan Ramadan.

Penyediaan makanan yang melebihi keperluan dan mengikut hawa nafsu menyebabkan banyak makanan tidak habis dimakan dan dibuang begitu saja. Mengikut anggaran, setiap tahun untuk tempoh sebulan Ramadan, rakyat Malaysia membuang 270,000 tan makanan yang 'tidak diusik' dan boleh dimakan semula.

Berdasarkan perkiraan itu, jumlah makanan tersebut boleh dihidangkan kepada 180 juta orang, enam kali ganda melebihi populasi negara ini iaitu 27 juta.

Jika disusun longgokan makanan yang boleh dimakan, ia bersamaan dengan ketinggian 30 buah bangunan KLCC. Ketinggian KLCC ialah 452 meter.   

Secara purata setiap hari pada bulan Ramadan sebanyak 9,000 tan makanan dibuang dan ia menjadi satu kebimbangan terhadap budaya pembaziran masyarakat negara ini. Setiap 9,000 tan makanan itu boleh dihidangkan kepada enam juta orang.

Maka tidak hairan jika sisa makanan adalah komponen tertinggi dalam skala komposisi sisa pepejal iaitu pada skala 45 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal yang dibuang di tapak pelupusan sampah di seluruh negara.   

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, antaranya mewujudkan kerjasama pengusaha kedai makanan, hotel serta industri terlibat untuk menyumbangkan makanan lebihan mereka kepada mana-mana badan kebajikan.

Antara punca utama berlakunya pembaziran makanan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan disebabkan perkhidmatan bufet yang disediakan oleh setiap hotel dalam jumlah yang banyak.

Pembaziran yang berlaku pada bulan Ramadan adalah akibat daripada hidangan secara bufet yang sering mendorong orang ramai mengambil makanan secara berlebihan. 

Kemeriahan bazar Ramadan yang terdapat di mana-mana juga mendorong membeli secara tidak wajar apabila lebih mengikut hawa nafsu.

No comments:

Post a Comment