Wednesday, 19 October 2016

Kerajaan ditegah menetapkan harga barang

Apabila berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan, rakyat mendesak kerajaan menetapkan harga untuk mengelak pengguna tanggung rugi. Isu kenaikan harga juga berlaku pada zaman Rasulullah SAW. 

Dalam mendepani isu kenaikan harga, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa kerajaan tidak berhak sewenang-wenang menetapkan harga.

Hal ini dapat difahami melalui sebuah hadis bermaksud: Hadis Anas bin Malik, dia berkata: “Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah SAW.  Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. 

Jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Darimi dan lain-lain.  Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani)

Hal berkaitan perniagaan ini telah dibincangkan oleh Akademi Fiqh OIC yang bersidang di Kuwait pada 1-6 Jamadil Awwal 1409H / 10-15 Disember 1988 memutuskan:

1. Prinsip asas al-Quran dan as-Sunnah adalah setiap individu bebas berjual beli berdasarkan prinsip dalam surah an-Nisaa’ ayat 29: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang salah kecuali dengan jual beli suka sama suka”

2. Tidak ada had keuntungan atas seseorang peniaga dalam sesuatu transaksi. Secara umumnya bergantung kepada peniaga, industri, konsep perniagaan dan barang jualan. Peniaga juga perlu menitik berat etika perniagaan Islam yang sewajarnya

3. Dalam perniagaan, Islam melarang perbuatan-perbuat jahat seperti penipuan, pemalsuan, menyorokkan maklumat penting, monopoli yang memberi kesan buruk dalam  masyarakat.

4. Kerajaan juga tidak boleh terlibat dalam menetapkan harga sesuatu barang kecuali dalam keadaan tertentu (seperti untuk memecah monopoli, kartel perniagaan yang berpakat menaikkan harga). Dalam keadaan tersebut, kerajaan perlu masuk campur untuk menghapuskan perbuatan jahat tersebut.

Justerus, tindakan mereka yang marah dan menentang kerajaan apabila berlaku turun naik harga dalam pasaran adalah tidak memahami situasi sebenar.  

Dalam istilah atau teori ekonomi, sebarang pergerakan harga adalah berdasarkan kepada penawaran dan permintaan. Harga akan naik jika permintaan meningkat, sedangkan penawaran tidak bertambah atau berkurangan. 

Cara terbaik untuk mengatasi kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan ialah dengan melakukan langkah berjimat cermat. Islam suka kepada mereka yang berjimat cermat dan sederhana dalam kehidupan. 

Rakyat negara kita dalam kategori tidak berbelanja dengan berhemah. Biarpun harga naik, kuasa membeli masih tinggi. Sebab itu, rakyat masih dilihat dapat berbelanja seperti biasa biarpun wajud peningkatan dalam barang keperluan.  

Sikap ini mungkin didorong oleh peluang mendapat pembiayaan melalui institusi kewangan dengan mudah, selain kestabilan ekonomi negara. Perbelajaan mewah seperti melancong, membeli kereta, memakai pakaian berjenama, menginap di hotel dan sebagainya masih mampu dilakukan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment