Perang
Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7 Syawal tahun ketiga Hijrah (26 Mac 625 M)
antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraiys. Perang Uhud adalah peluang
untuk orang Quraisy membalas dendam terhadap kekalahan mereka ketika Perang
Badar. Dinamakan Perang Uhud kerana ia berlaku di sebuah tempat yang
dikelilingi Bukit Uhud.
Penduduk Makkah
(Quraisy) malu besar atas kekalahan mereka di medan Perang Badar. Saudagar
saudagarnya tidak ada yang berani lagi pergi berdagang ke Syria, takut akan
ditangkap orang Islam. Kalau keadaan itu berterusan, kota Makkah akan diserang
bahaya kelaparan dan krisis ekonomi.
Oleh kerana itu, maka
berundinglah semua pembesar Quraisy untuk mendapatkan keputusan ini. Diputuskan
bahawa semua keuntungan perdagangan pada tahun itu akan dipergunakan untuk
membentuk satu angkatan perang yang kuat.
Abu Sufian dipilih
menjadi panglima perang, yang akan memimpin tentera tiga ribu orang jumlahnya.
Di antara ketua pasukan mereka yang ternama ialah Safwan bin Umaiyah bin Khalaf
dan Ikrirnah anak Abu Jahal. Turut serta seorang yang gagah berani, iaitu
Khalid Al-Walid.
Demi menjayakan misi
mengalahkan tentera Islam, kaum perempuan dengan diketuai oleh Hindun (isteri
Abu Sufian), dikerahkan untuk menghibur dan menguatkan semangat perang bagi
tentera yang ramai itu. Mereka turut ke medan perang memukul genderang.
Angkatan tentera Islam
bertolak menuju ke Bukit Uhud sebelum matahari terbenam. Sebelum melepasi
kota Madinah, seramai enam ratus orang Yahudi, kawan dari Abdullah bin Ubay,
menyatakan hendak turut bertempur bersama-sama dengan Nabi SAW. Tapi Nabi SAW
sudah tahu akan maksud mereka yang tidak jujur. Maka tawaran itu ditolak
Rasulullah SAW dengan berkata: "Cukup banyak pertolongan dari Tuhan."
Kerana penolakan ini,
Abdullah bin Ubay berasa malu dan marah. Abdullah kemudian berusaha
menakutkan kaum Muslimin, agar mereka jangan turut berperang. Akibat
termakan hasutan, 300 orang kaum Muslimin mengambil keputusan pulang ke Madinah
membatalkan niat untuk turut berperang. Mereka inilah yang dinamakan kaum
munafik.
Maka tinggallah Nabi
SAW dengan 700 orang tentera saja menghadapi musuh yang jumlahnya empat kali
ganda itu. Tentera kafir Quraisy
seramai 3,000 orang yang diketuai oleh Abu Sufian Ibn Harb.
Pada awalnya,
Rasulullah SAW mengambil keputusan bertahan dan menanti musuh di kota Madinah
kerana mengetahui musuh yang bakal menyerang terlalu ramai. Namun, berdasarkan
kepada mesyuarat yang mengambil kira kepada taktik peperangan yang mana elok
musuh diserang di medan perang, Rasulullah SAW bersetuju untuk keluar ke medan
perang, sekalipun dalam hatinya terasa kurang tepat. Ini bertepatan dengan
konsep yang diamalkan Rasulullah SAW iaitu menggunakan keputusan mesyuarat.
Rasulullah SAW lalu
masuk ke dalam rumah memakai pakaian besinya dan mengambil pedangnya. Setelah
Rasulullah SAW keluar, ramai di antara sahabat yang telah mengusulkan untuk
menyerang tadi, membuat keputusan sebaliknya. Mereka merasakan
cadangan Rasulullah SAW itu betul. Namun, Rasulullah berpegang kepada
keputusan mesyuarat.
Malah Nabi berkata:
"Tidak, kalau seorang Nabi telah memakai baju perangnya, dia tidak akan
membukanya kembali sebelum perang selesai."
Tanpa diketahui musuh,
sampailah kaum Muslimin di Bukit Uhud pada waktu subuh. Segera Nabi SAW
mengatur strategi perang. Rasulullah
SAW telah menyusun taktik dengan membahagikan tentera kepada tiga pasukan iaitu
pasukan kanan dan kiri berhadapan melawan musuh.
Bukit itu digunakan
sebagai pelindung dari belakang, sedang dari sebelah kiri, dilindungi oleh
Bukit Ainain. Seramai 50 orang diarahkan menjaga celah bukit dari belakang
diketuai oleh Ibnu Zubair, dengan perintah bahawa mereka tidak boleh
meninggalkan tempat itu, sekalipun apa juga yang akan terjadi.
Tiba tiba kedengaranlah
sorak gemuruh musuh dari bawah lembah. Mereka sudah melihat akan tentera Islam.
Segera mereka bergerak maju, menyerang dengan formasi berbentuk bulan sabit,
dipimpin oleh Khalid Al-Walid sayap kanannya dan Ikrimah bin Abu Jahal sayap
kirinya.
Seorang musuh berunta
maju sampai tiga kali menentang tentera Islam. Pada kali ketiga, maka
melompatlah Zubair sebagai harimau ke punggung unta itu. Musuh tadi dijatuhkan
ke tanah, lalu ditikam dadanya oleh Zubair dengan pisau. Abu Dujanah setelah
meminjam pedang Nabi sendiri, lalu menyerbu ke tengah tengah musuh yang ramai
itu. Pertempuran hebat segera bermula dengan dahsyat.
Arta pemegang panji-panji
musuh, gugur di tangan Hamzah. Sibak yang menggantikan Arta segera berhadapan
dengan Zubair. Setelah Sibak tewas menyusul Jubair bin Mutim menghadapi Hamzah,
untuk membalas dendam kerana Hamzah telah dapat menewaskan bapa saudaranya di
medan Perang Badar.
Tiba gelaran Jubair
berhadapan dengan Hamzah. Tetapi dia takut untuk berdepan dengan Hamzah. Lalu
diperintahkan hambanya Wahsyi, bangsa Habsyi, dengan perjanjian apabila budak
ini dapat menewaskan Hamzah dia akan dimerdekakan.
Dengan menyeludup di
balik belukar dari belakang Hamzah, dengan mengunakan tombak, Hamzah dapat
ditikamnya sehingga syahid di saat itu juga.
Pertempuran hebat
berlaku di sekitar panji-panji. Berpuluh puluh musuh tewas di sekitar panji-panji
itu, bersama dengan panji-panjinya. Barisan musuh mulai kucar kacir.
Melihat musuh lari
tunggang langgang, tentera yang lima puluh orang yang ditugaskan menjaga celah
bukit itu, lupa kepada kewajibannya. Mereka turut mengejar musuh yang lari
meninggalkan tempat pertahanan mereka, kerana mengharapkan harta rampasan yang
banyak. Zubair mengarahkan agar mereka kembali, tapi tidak dipedulikan. Hanya 14 orang pemanah kekal di atas
bukit.
Melihat tempat
pertahanan yang strategik itu telah kosong tentera musuh yang lari dengan
dipimpin oleh Khalid Al-Walid itu, segera mengarah ke tempat pertahanan itu.
Dengan melalui celah bukit itu mereka menyerang tentera Islam dari belakang.
Zubair yang tetap bertahan seorang diri di situ, tewas dipijak kuda
Khalid.
Panji-panji Quraisy
yang sudah jatuh itu berkibar kembali dipegang oleh seorang perempuan Makkah
bernama Umarah binti Alkamah.
Tentera Islam menjadi
kacau bilau. Para sahabat bergelimpangan ke bumi menemui ajalnya. Anak panah
dan batu tidak putus putus menghujani tentera Islam yang berkumpul di
sekitar Rasulullah sendiri terkena batu yang dilontar tentera
Quraiys sehingga luka parah dan patah giginya.
Ketika pertempuran
terus berlangsung, Nabi SAW terjatuh ke sebuah lubang yang agak dalam sehingga
hilang dari pandangan orang ramai. Pasukan Quraisy lalu berteriak mengatakan,
bahawa Muhammad sudah terkorban.
Ali dan Talhah segera
menolong dan mengeluarkan Nabi dari dalam lubang itu. Umar, Abu Bakar dan Ali
pun serentak menyerbu ke tengah tengah musuh sebagai singa yang lapar layaknya.
Maka tinggallah Nabi dilindungi oleh Abu Dujanah dan Abu Talhah saja.
Badan Abu Dujanah penuh
luka untuk menangkis segala serangan yang ditujukan kepada Nabi, sehingga
kerana luka dan keletihan, dia pun meninggal. Seorang perempuan Ansar melihat
Nabi SAW tinggal seorang diri, lalu menyerbu ke muka menikam setiap musuh yang
menuju ke arah Nabi, sehingga perempuan itu pun tewas pula. Perempuan itu Ummu
Umarah namanya.
Dalam pada itu, suara
musuh yang mengatakan Nabi SAW sudah terkorban itu, terus tersebar di medan
pertempuran. Mendengar itu, Ali, Umar dan Abu Bakar bukan main terperanjatnya,
sehingga semangat pertempurannya menjadi kendur seketika.
Melihat itu Anas bin
Nadhir berkata kepada mereka: "Kenapa kamu kecewa? Kalau betul Nabi sudah
wafat, apa gunanya hidup ini bagimu? Ayuh! Mari kita bunuh musuh seramai
mungkin sampai kita syahid pula sebagai Nabi sendiri!"
Sebagai teladan, dia
segera melompat menerkam musuh. Dia rebah penuh dengan luka-luka sehingga tidak
dapat dikenal lagi rupanya. Badan, muka dan jari jarinya putus kena pedang
musuh. Hanya saudara perempuannya saja yang dapat mengenal dia dalam keadaan
yang demikian itu. Ali, Umar dan Abu Bakar menyusul berjuang mati matian
menetak musuh dengan pedangnya. Semangat tentera Islam hidup kembali.
Selepas pertempuran
hebat, kebanyakan tentera Muslim berjaya berundur ke Uhud di mana mereka
berkumpul semula. Menaiki kuda, pasukan Quraisy gagal mendaki lereng bukit dan
kehilangan kelebihan serangan mengejut mereka. Perang ini berakhir apabila Abu
Sufyan membuat keputusan tidak mengejar lanjut tentera Muslim, mengisytiharkan
kemenangan.
Bilangan tentera
Islam yang terbunuh dalam peperangan ini kira-kira 70 orang manakala jumlah
tentera Quraisy seramai 23 orang.
Sehabis perang Uhud itu
kekejaman musuh semakin bertambah juga. Jenazah tentera Islam yang
bergelimpangan di medan perang, mereka koyak koyak dan hinakan. Hindun telah membelah dada Saidina Hamzah dan
rentap hatinya lalu mengunyahnya kemudian diludahnya.
Nabi Muhammad berasa
amat sedih dan memerintahkan agar semua yang mati syahid dikebumikan dengan
pakaian yang mereka pakai ketika berperang.
Dengan kekalahan di
pihak Islam, orang Yahudi mula berkira-kira ingin berkerjasama dengan Quraiys
untuk menghancurkan umat Islam. Mereka melanggar janji yang telah dibuat
sebelum ini dengan Rasulullah SAW untuk saling membantu.
No comments:
Post a Comment