Nama ‘tua’ digunakan sebagai membezakan Masjid Kampung Laut yang terdapat di Kampung Laut sekarang ini dengan Masjid Tua Kampung Laut yang kini terletak di Nilam Puri.
Menurut catatan sejarah ditulis penduduk tempatan, masjid itu dibina pada zaman pemerintahan Raja Kelantan bernama Long Yunus (memerintah dari tahun 1763 hingga 1798).
Terdapat juga cerita menyebut Masjid Tua Kampung Laut dibina oleh alim ulama dari Jawa yang singgah di Kampung Laut dalam perjalanan ke Campa (Vietnam).
Dakwaan itu berdasarkan terdapatnya masjid yang seni bentuknya hampir sama dengan Masjid Tua Kampung Laut, iaitu Masjik Demak di Jawa, Masjid Kono (Champa), Masjid Nad Tanjung dan Masjid Wadi Hussein di Thailand.
Masjid Tua Kampung Laut asalnya terletak di Kampung Laut, satu pelabuhan persinggahan utama bagi pelayar dari Kepulauan Indonesia menuju ke Thailand, Kemboja dan Vietnam. Banyak alim ulama turut singgah dan menyebarkan ajaran Islam kepada penduduk sekitar Kampung Laut.
Bangunan asalnya hanya empat batang tiang beratapkan daun nipah dengan ukuran keluasan enam meter kali enam meter.
Kemuncak kemasyhuran Masjid Tua Kampung Laut berlaku sekitar pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad 11 (1839 - 1886) hinggalah ke zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV (1900 - 1920).
Sesuai dengan perubahan masa dan bilangan jamaah semakin bertambah, bangunan Masjid Tua Kampung Laut telah melalui pertambahan keluasan dan reka bentuk lebih menarik. Masjid Tua Kampung Laut menjadi pusat pengajian Islam terkemuka di Kelantan pada ketika itu.
Pada asalnya, tapak Masjid Tua Kampung Laut terletak agak jauh dari tebing Sungai Kelantan. Namun, setiap kali musim banjir, tebing sungai mengalami hakisan, terutama pada dua banjir besar yang melanda Kelantan iaitu pada Disember 1926 atau lebih dikenali Bah Air Merah dan banjir Disember 1966.
Akibat hakisan yang berterusan, tapak masjid terhakis sehingga sebahagian bangunan masjid hampir dihanyutkan air sungai.
Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) yang ketika itu diketuai Tun Hamdan Sheikh Tahir (bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang) telah mencadangkan agar bangunan bersejarah itu dipindahkan ke tapak lain. Langkah itu penting bagi menyelamatkan satu warisan negara yang tidak ternilai.
Kerajaan Kelantan telah memilih sebidang tanah milik Yayasan Islam Kelantan di Nilam Puri sebagai tapak baru bagi mendirikan semula Masjid Tua Kampung Laut.
Pada bulan November 1968, bangunan Masjid Tua Kampung Laut telah dirombak untuk dibina semula di Nilam Puri. Kerja tersebut dilakukan oleh kontraktor Hussein Salleh, di bawah seliaan Zain Awang Kechik, melibatkan tukang rumah terkenal di Kelantan.
Kos perpindahan dan pembinaan semula masjid itu berjumlah RM16,825 yang ditanggung sepenuhnya oleh PSM.
Bangunan masjid itu telah dibina semula mengikut bentuk yang asal dan menggunakan semua bahan lama seberapa boleh. Walau bagaimanapun, hanya bahagian ibu masjid saja yang dapat didirikan semula, tanpa balai dan menara.
Ketika di tapak asal, Masjid Tua Kampung Laut mempunyai lantai papan yang kedudukannya hampir dua meter dari aras tanah. Ketinggian itu dikurangkan menjadi hanya kira-kira 1.37m ketika dibina semula di Nilam Puri.
Masjid Tua Kampung Laut kemudiannya diserahkan secara rasmi oleh PSM yang dilakukan pengerusinya kepada kerajaan negeri Kelantan menerusi Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohd Asri Muda, pada 8 Mei 1970.
Kemashyuran reka bentuk Masjid Tua Kampung yang unik telah menjadi satu lambang kemegahan rakyat Kelantan. Penampilan bentuk bumbung bersegi tiga (bertenggek) menirus ke atas, buah gutung dan menora adalah gambaran keunggulan Masjid Tua Kampung Laut.
Banyak bangunan di Kelantan kini menerapkan identiti reka bentuk Masjid Tua Kampung Laut iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Pejabat Menteri Besar Kelantan, Bangunan Majlis Agama Islam Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Pada tahun 1988, sekali lagi Masjid Tua Kampung Laut dibaik pulih. Ia turut melibatkan pembinaan menara, serambi besar, serambi kecil, balai lintang, wakaf orang kaya, tandas, kolah, tangga, bekalan elektrik dan bekalan air.
Masjid Tua Kampung Laut ialah bentuk Melayu - Nusantara yang paling tua dikekalkan dengan struktur asalnya. Masjid tua lain, misalnya Masjid Demak, Masjid Terengkera dan Masjid Peringgit, telah dirombak dan diganti dengan bahan konkrit, kecuali struktur bumbung dan tiang serinya yang masih asal.
Sekarang ini kawasan Masjid Tua Kampung Laut lebih kelihatan menarik apabila persekitarannya kini turut dihiasi dengan landskap dan beberapa kemudahan lain. Ia sering menjadi kunjungan ahli sejarah dan mereka yang meminati seni bina lama.
Pada Jun 2000, pengendalian dan penjagaan fizikal masjid itu diserahkan kepada pentadbir Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS).
Masjid Tua Kampung Laut digunakan sebagai tempat bersembahyang berjamaah lima waktu dan kelas agama. Sembahyang Jumaat tidak diadakan di situ memandangkan itu tidak diiktiraf sebagai masjid mukim.
No comments:
Post a Comment