Monday, 16 January 2017

Sejarah dikir barat berasal Selatan Thailand

Sejarah dikir barat. Populariti dikir barat tidak lagi sekadar di Kelantan, bahkan kini telah tersebar di seluruh negara. Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan setiap tahun turut melibatkan pasukan dari luar Kelantan yang mana mutu persembahannya tidak kurang hebat berbanding pasukan asal dari Kelantan. 

Memang tidak dinafikan persembahan dikira barat telah lama terkenal di seluruh Malaysia yang berlaku hasil penghijrahan rakyat Kelantan. Sekarang ini, dikir barat tidak lagi dianggap khas untuk rakyat Kelantan saja.    

Banyak pihak menyangka dikir barat berasal dari Kelantan berdasarkan ia terkenal di negeri itu. Tambahan, dikir barat dipersembahkan dalam dialek Kelantan menguatkan lagi telahan itu.

Sebenarnya dikir barat bukan berasal di Kelantan. Kelantan hanya layak dipanggil negeri mempopularkan dikir barat di Malaysia. Tempat asal dikir barat ialah dari Selatan Thai. 

Dikir barat diperkenalkan di Kelantan sekitar lewat 30-an. Ketika itu banyak rakyat Kelantan berhijrah ke Selatan Thai mencari pekerjaan, terutama di bendang padi dan ladang getah. Mereka yang sering berulang-alik itu kemudiannya menubuhkan kumpulan persembahan seperti mana ditiru di Selatan Thai. 

Persembahan itu dinamakan ‘dikir’ kerana berbentuk nyanyian beramai-ramai dengan suara nyaring. Manakala perkataan ‘barat’ mengambil nama tempat asalnya. Bagi orang Kelantan, Selatan Thai dikenali ‘Barat’. Maka, persembahan dikir yang ditiru dari Barat dipanggil dikir barat.

Rentak lagu Barat mudah diminati penduduk Kelantan kerana ‘harmoni’ dengan dialek Kelantan. Masyarakat Melayu di Selatan Thai menggunakan dialek hampir sama dengan penduduk Kelantan. 

Manakala irama bertepuk tangan dan alatan muzik yang digunakan menimbulkan suasana gembira dan meriah. Alatan terawal digunakan ialah rebana ubi dan cere (sejenis buluh). Pengikut atau awak-awak seramai 30 bertepuk tangan dan menyahut perkataan ‘tok joro’ dan tukang karut.

Kemudian, alat yang digunakan telah diganti dan ditambah. Rabana ubi digantikan dengan rebana ibu dan rebana anak. Rece menggantikan cere dan ditambah ialah sebiji gong dan canang. Bilangan awak-awak pula dikurangkan kepada sekitar 15 orang. 

Sebelum dikir barat dikenali, di Kelantan terdapat dua jenis dikir iaitu dikir rebana dan dikir laba. Bagaimanapun dengan kemunculan dikir barat menyebabkan kedua-dua jenis dikir itu tidak diminati lagi.

Dikir rebana kurang diminti kerana lebih kepada persembahan paluan rebana. Manakala dikir laba (diambil dari perkataan labah-labah) kurang diminati kerana disampaikan dalam bahasa Arab yang dikarang mengikut sesuka hati (berkait-kait) sehingga jauh dari landasan asal berzanji. 

Dikira barat mencapai kemuncak kegemilangan sekitar tahun 60-an dan 70-an mengatasi persembahan wayang kulit, menora dan makyung. Nama tukang dikir seperti Daud Bukit Abal, Pak Lah Tapang, Hassan Ikan Duyung, Seman Wau Bulan dan beberapa nama lain begitu terkenal. 

Setiap kali persembahan dikir barat diadakan, sambutan amat meriah dan menjadi kegilaan ramai. Peminat sanggup berjalan kaki melalui kawasan hutan, sawah dan paya semata-mata untuk menikmati dikir barat. 

Ketika itulah peluang untuk anak gadis berhibur. Ibu bapa boleh bertolak ansur kerana mereka juga ingin menontonnya. Dengan kata lain persembahan itu ditonton seisi keluarga sehinggga anak kecil masih dalam patang juga dibawa bersama kerana ibu baru lepas bersalin juga tidak mahu ketinggalan.

Persembahan dikir barat berlangsung sehingga pukul lima atau enam pagi. Penonton tidak berganjak dan sanggup bersengkang mata sehingga tamat. 

Semakin lama persembahan semakin hebat apabila tukang karut telah ‘turun minyak’. Setiap persembahan melibatkan dua pasukan yang masing-masing mempunyai tukang karut dan tok joro untuk berlawan persembahan.

No comments:

Post a Comment