Thursday 9 July 2020

KONSEP PENGASINGAN KUASA PEMERINTAHAN MALAYSIA

Pengasingan kuasa (Doctrine of Power) merupakan konsep asas dalam kerajaan-kerajaan moden terutama bagi negara mengamalkan amalan demokrasi.

Doktrin pengasingan kuasa diperkenalkan oleh Montesquieu, seorang ahli falsafah terkemuka Perancis.

Idea terpenting mengenai pengasingan kuasa ialah orang atau badan yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakannya dan menghukum orang-orang yang melanggarnya.

Dalam erti kata yang ekstrim, doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan perundangan, eksekutif  dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan.

Sebagai contoh, pihak eksekutif tidak harus mempunyai kuasa dalam hal-hal perundangan atau kehakiman.

Malaysia mengamalkan pemerintahan Raja Berperlembagaan yang bermaksud Raja yang memerintah mengikut kuasa yang diberikan kepada Seri Paduka Banginda Yang Di-Pertuan Agong oleh Perlembagaan. Baginda harus bertindak atas nasihat Kabinet atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Kabinet (biasanya Perdana Menteri).

Sebagai Ketua Negara Malaysia, Yang DiPertuan Agong berada di kemuncak ketiga-tiga bidang kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Yang DiPertuan Agong mempunyai keutamaan yang melebihi semua orang di Malaysia dan tidak boleh didakwa dalam perbicaraan mana-mana Mahkamah. Baginda merupakan lambang kedaulatan dan perpaduan negara.

BADAN PERUNDANGAN

Badan perundangan dalam sistem Kerajaan Malaysia dikenali Parlimen yang terdiri Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Parlimen Malaysia berfungsi sebagai platform bagi Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang.

Dari segi prosedur, undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan diangkat untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, sebelum diwartakan dan dikuatkuasakan di seluruh negara.

Selain penggubalan undang-undang, Parlimen Malaysia berfungsi meluluskan pindaan kepada undang-undang persekutuan, memeriksa dasar-dasar serta meluluskan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan hasil-hasil cukai yang baru.

Parlimen Malaysia juga menjadi forum untuk ahli parlimen membahaskan isu-isu berkepentingan nasional serta menyampaikan pandangan dan kritikan berhubung perkara-perkara yang berlaku dalam dan luar negara.

BADAN EKSEKUTIF

Badan Eksekutif merupakan badan pemerintah bagi Kerajaan Malaysia. Ia juga dikenali sebagai Kabinet atau Jemaah Menteri.

Badan ini dibantu oleh jentera Pentadbiran Awam (Perkhidmatan Awam) yang bertanggungjawab melaksana dan menguatkuasakan undang-undang, dasar-dasar awam dan mentadbir negara.

Kuasa Jemaah Menteri dijelaskan dibawah Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan peruntukan tersebut, kuasa memerintah (eksekutif) bagi Persekutuan terletak pada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan kuasa tersebut boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri atau Menteri-menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Kabinet.

BADAN KEHAKIMAN

Badan Kehakiman berperanan menyelesaikan sesuatu bentuk perselisihan  atau pertikaian di kalangan rakyat dan di antara rakyat dengan pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment