Sunday, 15 January 2017

Punca konflik rumahtangga

Kehidupan berumahtangga penuh cabaran. Banyak pasangan berdepan konflik rumahtangga. Mahligai kehidupan yang dibina runtuh akibat gagal selesai konflik dihadapi. Antara punca berlaku konflik rumahtangga ialah:

Bukan pasangan pilihan. Banyak kes perkahwinan diatur sepenuhnya oleh keluarga. Pasangan tidak berpeluang untuk menyatakan pendapat atau persetujuan. Dengan kata lain, mereka berkahwin tanpa perasaan cinta. Namun, demi untuk mengembirakan keluarga, maka pasangan terpaksa berkahwin. Perkahwinan atas dasar bukan pilihan sendiri mendedahkan kepada beberapa kesan.

Pasangan berdepan situasi tidak kenal mengenali hati budi pasangan masing-masing. Keadaan ini mewujudkan satu keadaana tidak serasi dan sukar untuk menerima kelemahan pasangan. Maka, keadaan ini akan mewujudkan konflik yang berterusan biarpun berpunca perkara kecil. 
           
Sudah ada pasangan pilihan sendiri.  Keadaan ini berterusan mengganggu usaha untuk menjalin perasaan kasih sayang di antara suami isteri. Suami atau isteri atau kedua-duanya sudah ada pilihan masing-masing. Justeru, perasaan kasih dan sayang masih menguasai diri. Lebih-lebih lagi jika pasangan yang dijodohkan oleh keluarga itu tidak memiliki ciri-ciri yang boleh menawan perasaan mereka.

Tidak sekufu. Dalam Islam istilah sekufu bermaksud sama taraf dalam soal kekayaan, pendidikan, umur, kecantikan dan kedudukan. Pasangan ingin berkahwin disarankan agar milih pasangan sekufu. Namun, tidak pula menjadi halangan jika pasangan berkahwin biarpun tidak sekufu. Pasangan tidak sekufu berdepan beberapa masalah yang boleh mendatangkan konflik rumah tangga.  

Masa bercinta memang mereka sanggup menerima apa saja kekurangan pasangan dan keluarga. Namun, perkara menjadi berubah apabila hidup bersama. Contohnya, suami yang miskin sukar untuk memenuhi kehendak kewangan isteri dari kalangan keluarga kaya. Si isteri yang biasa hidup mewah tentu sukar untuk menyesuaikan diri terpaksa hidup dalam suasana serba kurang. Maka, keadaan ini boleh mewujudkan konflik berterusan.

Taraf pendidikan yang jauh berbeza. Apabila taraf pemikiran dan kecerdikan berbeza, mereka sukar untuk berkomunikasi. Pandangan dan pendapat sering berbeza yang boleh menimbulkan keadaaan konflik. Dalam keadaan ini, rumahtangga yang komunikasi kurang mesra atau ada jurang pandangan, akan berterusan berdepan masalah.

Campurtangan keluarga.  Semua ibu bapa ingin melihat anak mereka berkahwin dan bahagia. Sebab itu, ada ibu bapa tidak dapat menerima hakikat bahawa anak yang telah berkahwin sebenarnya mempunyai tanggungjawab sendiri dan perlu diberikan kebebasan untuk mengatur sendiri apa yang terbaik untuk mereka. 

Sikap ibu bapa cuba mengawal dan menentukan apa yang perlu dilakukan oleh anak dan menantu menyebabkan suami isteri tidak dapat merancang apa yang sepatutnya mereka lakukan. Sedangkan hakikat sebenar, setiap pasangan suami isteri ada matlamat sendiri ingin dicapai.

Campurtangan keluarga akan mengganggu perancangan asal mereka. Jika kedua-dua suami isteri bersetuju dengan cadangan keluarga, maka tidak timbul masalah. Apa yang menjadi konflik ialah apabila satu pihak tidak bersetuju dan akhirnya menjadi konflik dalam keluarga.

Sikap cerewet keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak dan menantu tidak mampu mengikut kehendak keluarga. Rasa tidak puashati pasangan akan wujud jika terpaksa melayan mertua melebihi apa yang sepatutnya. Perasaan ini membawa kepada konflik antara suami isteri yang menggongcangkan keharmonian rumahtanggan.

Keluarga membesarkan masalah. Tidak dinafikan kehidupan berumahtangga tidak sunyi berdepan dengan masalah atau kekurangan. Ini perkara ini mudah diselesaikan dengan persefahaman dan ikatan kasih sayang serta rasa tanggungjawab.  

Namun, perkara kecil ini boleh menjadi besar jika wujud campurtangan keluarga yang cuba mempengaruhi atau mengambil kesempatan dalam perkara berkenaan. Perkara ini berlaku apabila rasa tidak puashati kepada menantu disebabkan hal tertentu.

Masalah kewangan.  Wang bukan segalanya, tetapi segalanya memerlukan wang untuk mendapatnya. Banyak keperluan hidup perlu disediakan menggunakan wang. Jadi, jika tidak ada wang yang cukup, maka boleh menimbulkan perasaan tidak senang dalam keluarga. Keadan menjadi teruk jika melibatkan beberapa perkara lain.

Masalah kewangan yang meruncing menyebabkan suami isteri akan saling menyalahkan antara satu sama lain. Contohnya, suami mungkin menuduh isteri bersikap boros. Sedangkan isteri pula akan menyalahkan suami tidak mampu mencari rezeki yang banyak mungkin disebabkan kurang berusaha atau tidak tahu berjimat. Keadaan tuduh dan saling menyalahkan ini menimbulkan konflik yang berterusan dalam keluarga.

Tumpuan terpaksa diberikan kepada usaha mencari rezeki.  Apabila berdepan masalah kewangan, satu langkah bijak ialah melipatgandakan usaha mencari rezeki. Usaha itu melibatkan masa dan tumpuan yang lebih daripada biasa. 

Tindakan itu satu langkah bijak, namun pada masa yang sama ia boleh menimbulkan konflik apabila pasangan tidak dapat menerima hakikat bahawa peluang masa untuk bersama dan perhatian akan terjejas. Ini mewujudkan konflik hingga menyebabkan tuduh menuduh dan saling menyalahkan yang membawa keadaan tegang dalam rumahtangga.
           
Tindakan protes.  Kebiasaannya isteri yang tidak berpuashati dengan permintaannya tidak ditunai oleh suami dalam soal berkaitan kewangan, akan menunjukkan tanda protes seperti tidak mahu melayan atau melaksanakan tugas yang sepatutnya. Sikap itu menyebabkan berlaku konflik dalam rumahtanggan. 

No comments:

Post a Comment