Monday, 16 January 2017

Perlukah amin doa khatib baca khutbah Jumaat?

Apa perlu dilakukan semasa khatib membaca doa ketika khutbah Jumaat? Perlukah angkat tangan berdoa dan mengaminkan doa itu? Umumnya, mengangkat tangan ketika berdoa ini sunah. Inilah yang kita sering lakukan. 

Hadis bermaksud: "Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia, apabila hambanya mengangkat tangan kapadanya, ia tidak akan menolak dengan tangan kosong" (Riwayat Al-Tirmizi no: 3556, dikelaskan sebagai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi).

Akan tetapi, beza keadaan ketika doa disampaikan khatib semasa membaca khutbah Jumaat. Mengikut riwayat, mengangkat tangan semasa berdoa di dalam khutbah Jumaat bagi khatib bukanlah sunah. Sebaliknya, sudah memadai bagi khatib sekadar menunjuk dengan menggunakan jari telunjuk.

Malah para sahabat mengutuk khatib mengangkat tangan ketika berdoa semasa membaca khutbah.

Imam Muslim telah meriwayatkan: "Dari Umaarah ibn Ru'aibah melihat Bishr ibn Marwaan ketika di atas mimbar mengangkat tangan dan berkata: 'Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya' dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya." (Hadis riwayat Muslim)

Manakala dalam Abu Daud pula: "Dari Umaarah ibn Ru'aibah melihat Bishr ibn Marwaan ketika di atas mimbar mengangkat tangan apabila melakukan doa pada hari Jumaat, dan berkata: 'Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya' dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya." 

Berkata Imam al-Nawawi di dalam mensyarah hadis ini: “Ini menunjukkan adalah sunnah tidak mengangkat tangan ketika khutbah. Ini pandangan Malik dan sahabatnya dan lain-lain. Di dalam kitab Tuhfat al-Ahwadhi menyebut bahawa hadis ini menunjukkan bahawa makruh mengangkat tangan dan begitulah kepada jemaah yang berimamkan dia.”

Jemaah juga tidak digalakkan mengangkat tangan semasa khatib membaca doa, kerana makmun (yang mendengar khutbah) adalah mengikut imam (khatib).

Akan tetapi jika Imam berdoa agar diturunkan hujan pada hari Jumaat semasa beliau di atas mimbar, maka adalah menjadi sunnah mengangkat tangan dan begitu juga keadaan makmunnya, disunatkan mengangkat tangan.

Syiekh Ibn Utsaimin rh mengatakan bahawa dibolehkan mengangkat tangan jika khatib sedang mendo'akan agar diturunkan hujan (istisqaa') di mana Rasulullah pernah mengangkat tangannya ketika berdoa kepada Allah meminta hujan semasa khutbah Jumaat, dan dilaporkan bahawa makmum juga turut mengangkat tangan. 

Menurut beliau, di dalam situasi lain tidak disunatkan mengangkat tangan semasa khatib menyampaikan khutbah. [Fataawa Arkaan al-Islam, ms 392].

Beberapa ulama mengatakan bahawa adalah menjadi kesalahan orang-orang yang bersolat mengangkat tangan mereka bagi mengaminkan doa imam, dan disebut oleh Ibnu Abidin sesungguhnya jika mereka melakukannya maka mereka dosa ke atas yang sahih

Begitu jugalah halnya kepada mereka yang mengangkat tangan mereka ketika imam duduk di antara dua khutbah.

Berdoa di dalam khutbah Jumaat adalah thabit dari Nabi SAW di mana ia mendoakan ke atas mukminin dan mukminat. Di dalam Fatwa no:6396, Faatwa Lajhah Daa'imah LilBuhtuth Al-Ilmiyah wa Al-Ifta' (8/233) mengatakan bahawa menyebut 'Amin' pada doa tidaklah mengapa.

Berkata Syiekh Abdul Aziz bin Baaz: "Mengangkat tangan tidak disyarakkan semasa khutbah Jumaat atau khutbah Eid, sama ada imam atau makmum jemaah tersebut. Malah apa yang disuruh adalah mendengar khutbah dengan baik dan menyebut 'amin' semasa Imam berdoa, tanpa meninggikan suara (cukup untuk diri sendiri mendengar)." (Majmu' Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi'ah Li Samaahah al-Syeikh Ibn Baaz, 12/339)

Kesimpulannya ialah mengangkat tangan untuk berdoa semasa imam duduk antara dua khutbah dan juga semasa imam membaca doa tidaklah terdapat di dalam syarak, malah ulama mengatakan ia adalah perbuatan bidah.  

Doa boleh dibaca pada masa imam sedang duduk di antara dua khutbah dengan secara perlahan tanpa mengangkat tangan dan 'Amin' boleh dibaca secara perlahan semasa imam membaca doa.

Pun begitu, jika ada yang masih ‘degil’ meneruskan amalan yang biasa itu, mengangkat tangan ketika khatib membaca khutbah, usahlah kita berbalah mengenainya. 

Begitulah juga jangan ‘dihina’ dan dipandang serong terhadap mereka. Apa yang penting, kita perlu memberi tahu yang benar.

Sesungguhnya dalam soal agama tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa mengikut apa yang benar. Jika dilakukan sesuka hati dan berdasarkan kepada apa yang kita fikirkan tanpa berdasarkan apa yangditetapkan oleh al-Quran dan hadis, maka rosaklah agama.

Marilah kita melakukan apa yang betul berdasarkan apa yang dikehendaki oleh agama.

No comments:

Post a Comment