Sunday, 16 April 2017

Sumbangan takaful kepada kewangan Islam

Penubuhan takaful sejak 1984 telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan kewangan Islam Malaysia. Ia bukan saja melambangkan satu kejayaan berkaitan takaful, tetapi memberi sumbangan yang amat besar kepada kepentingan ummah. 

Peluang Pekerjaan. Industri takaful telah berkembang pesat di Malaysia. Ini secara langsung membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Kini terdapat 8 syarikat pengendali takaful yang menggajikan puluhan ribu orang pekerja untuk melancarkan perjalanan syarikat.

Peluang pekerjaan di institusi takaful terbuka luas kepada semua lapisan masyarakat. Pekerjaan itu terbahagi dua iaitu sebagai pekerja tetap atau berkhidmat terus dalam organisasi syarikat, dan keduanya adalah sebagai agen atau wakalah. 

Pekerja tetap di syarikat biasanya terlibat dalam tugas pengurusan dan pentadbiran. Mereka digajikan tetap setiap bulan dan bilangannya agak terhad untuk tugas-tugas tertentu saja. Pekerja ini menjadi tonggak perjalanan operasi syarikat.

Pekerja atau kerjaya sebagai wakalah atau wakil syarikat. Peluang pekerjaan kategori ini amat terbuka luas. Dilaporkan pengendali takaful masih memerlukan puluhan ribu wakalah bagi pihak syarikat.  

Peluang kerjaya ini boleh diceburi kebanyakan orang dengan memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh syarikat pengendali dan Bank Negara Malaysia. Biasanya seseorang perlu menduduki kursus dan peperiksaan khas sebelum layak dilantik sebagai wakalah. 

Wakalah diperlukan bagi memasarkan produk-produk takaful kepada masyarakat. Tugas ini sangat diperlukan oleh pengendali takaful kerana ia lebih berkesan berbanding kaedah kaunter yang mana operasi dijalankan di pejabat. 

Syarikat pengendali takaful melantik wakalah sebagai perantara dalam memasarkan produk-produk syarikat dengan dibayar upah. Akad di antara para wakil dan pengendali takaful adalah berasaskan akad wakalah. 

Konsep ini sejajar dengan prinsip Islam sebagaimana amalan Rasulullah SAW yang pernah mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan Baginda SAW memberi upah kepada mereka. 

Memandangkan wakalah tidak menerima gaji tetap, sebaliknya menerima upah berdasarkan produktiviti masing-masing, maka pengendali takaful boleh melantik seramai mungkin wakalah. Ini membuka peluang amat luas untuk mereka yang memenuhi syarat ditetapkan untuk menjadi wakalah kepada sesuatu pengendali takaful. 

Wakalah boleh menjadikan ia satu pekerjaan tetap atau sebagai sambilan saja. Ia bergantung kepada keupayaan masing-masing. Biarpun wakalah tidak melibatkan skop tugas tetap, namun ia dikategorikan sebagai salah satu kerjaya bertaraf profesional.  

Ganjaran atau upah lumayan yang diterima wakalah meletakkan mereka golongan dihormati di mata masyarkat. Industri takaful di Malaysia telah melahirkan ratusan wakalah berstatus jutawan.

Pekerjaan sebagai wakalah di institusi takaful adalah halal dan satu tugas mulia. Melalui takaful dapat mengelak masyarakat Islam terus terjebak dalam insurans konvensional yang diputuskan oleh Badan Fatwa Sedunia sebagai haram kerana ada unsur keraguan, riba dan judi, maka sesiapa yang terlibat dengannya sama ada sebagai agen atau pemilik polisi dianggap sebagai berdosa. 

Melalui kewujudan takaful, membuka ruang kepada umat Islam mendapat perkara yang halal sama ada sebagai pekerja tetap di institusi atau wakalah yang kerjayanya amat mencabar tetapi menyediakan ruang amat luas serta lumayan.

Mewujudkan dana pelaburan dan tabungan umat IslamMenurut Bank Negara dalam Laporan Tahunan Takaful 2005, merekodkan caruman bersih takaful keluarga dan takaful am mencecah RM1.3 bilion.  

Jumlah itu sentiasa meningkat setiap tahun selaras kepercayaan masyarakat terhadap institusi takaful. Peningkatan caruman takaful berkembang sekitar 15 peratus setahun, biarpun dalam keadaan ekonomi tidak menentu seluruh dunia. 

Dana yang dikumpul itu boleh digunakan oleh syarikat untuk pelaburan dalam aktiviti yang dikawal oleh syariat. Ia membentuk satu rantian pelaburan yang halal lagi bersih. Ini memberi satu isyarat bahawa sesuatu niat yang baik akan berpanjangan berada di atas landasan kebaikan jika pengurusannya dilakukan oleh orang Islam berpegang kepada amanah.

Melalui dana yang dikumpulkan uantuk kebaikan ummah, maka saluran pelaburan aktiviti halal semakin bertambah dan pada masa yang sama pelaburan dalam sektor atau aktiviti yang meragukan akan berkurangan.  

Dengan cara itu, dalam tempoh masa akan datang, aktiviti ekonomi negara akan hanya dipacu oleh aktiviti yang dibenarkan syariat. Ini jauh berbeza padangan pada masa lalu iaitu mana-mana pelaburan yang tidak terlibat sama dengan perkara subahah sukar untuk berkembang dan mendapat keuntungan.

Pemilikan dana yang bersumberkan umat Islam sendiri memberi satu lambang bahawa umat Islam di Malaysia boleh bersatu dan membentuk gabungan aktiviti berteraskan Islam dengan berjaya. Biarpun pada permulaannya tidak banyak pihak yang percaya keupayaan mengembangkan institusi takaful di Malaysia, kini ia sudah diterima tanpa ragu.

Memberi imej baik kepada institusi kewangan Islam. Kejayaan pegumpulan dana berteraskan Islam melalui institusi takaful adalah selari dengan kejayaan sistem perbankan Islam. Gabungan daripada kedua-dua dana itu telah mewujudkan satu imej kewangan Islam yang baik di Malaysia. 

Fenomena ini memberi peluang lebih banyak pakar-pakar ekonomi Islam mengamalkan dasar ekonomi Islam secara lebih menyeluruh. Umat Islam dan bukan Islam kini semakin yakin dengan label aktiviti ekonomi yang mematuhi syariah. 

Perkembangan sekarang memberi peluang untuk umat Islam di negara kita memainkan peranan lebih besar dalam mengawal aktiviti ekonomi negara. Mana-mana pihak yang ingin mendapat atau mengguna dana kewangan dari isnstitisi kewangan Islam, maka mereka perlu terlebih dahulu memastikan bahawa penggunaan wang itu hanya kepada aktiviti yang dibenarkan syariat. 

Serentak dengan perkembangan institusi takaful dan institusi kewangan Islam lain sekarang, imej keupayaan umat Islam dalam ekonomi negara semakin dihormati. Dulu, sektor kewangan negara dikawal sepenuhnya oleh bukan Islam, kini keadaannya semakin berubah. Pengawalan pengurusan dana berteraskan syariat semakin diberi perhatian. 

Imej yang baik ini secara beransur-ansur mengikis perasaan fobia dengan kaedah ekonomi Islam. Orang bukan Islam sudah boleh menerima apa saja istilah dan kaedah pengendalian ekonomi berteraskan Islam. Mereka yakin bahawa mana-mana urusan ekonomi yang bersandarkan kepada pematuhan syariat akan diuruskan dengan baik.   

Bukan satu perkara asing lagi di negara kita apabila orang bukan Islam lebih berminat untuk menggunakan produk patuh syariah. Kerana mereka yakin aktiviti patuh syariah membuka ruang lebih besar untuk mencipta keuntungan.

Imej yang baik instrumen ekonomi Islam. Kejayaan institusi takaful di Malaysia membuka mata banyak pihak bahawa Islam itu syumul yang menyediakan semua rangka kegiatan ekonomi sesuai digunakan sepanjang masa dan dalam pelbagai keperluan.

Masyarakat Barat mengaku institusi insurans dicipta dan dikembangkan oleh mereka. Namun, akhirnya mereka menerima hakikat bahawa umat Islam sebenarnya lebih awal menggunakan kaedah takaful sejak 1400 tahun lalu.  

Kini umat Islam boleh membebaskan diri daripada sistem insurans konvensional dengan adanya institusi takaful yang ternyata dapat memenuhi keperluan umat Islam dalam soal jaminan perlindungan dan pelaburan.

Saling melengkapkan dan membantu institusi kewangan Islam. Kewujudan institusi takaful membawa kepada pengembangan institusi kewaangan Islam yang lain, seperti perbankan dan kredit. Bahkan institusi kewangan bank menjadi teras kepada penubuhan institusi takaful sebagai anak syarikat.                    

Syarikat takaful pertama di Malaysia, Takaful Malaysia Berhad ditubuhkan sebagai anak syarikat kepada Bank Islam Berhad. Majoriti institusi takaful di Malaysia sekarang adalah anak syarikat kepada bank.

Situasi saling melengkapkan itu memberi kekuatan dan kemudahan untuk insstitusi kewangan Islam lebih mudah menjalin kejasama kerana antara pihak yang terlibat telah mematuhi kehendak syariah. Sesuatu yang baik itu mesti bermula dengan sumber atau hubungan yang baik. Dengan kata lain, rantaian aktiviti ekonomi Islam lebih terbuka dan melibatkan sumber serta kaedah yang mematuhi syariah.   

Kejayaan membanggakan institusi takaful di Malaysia mendapat pengiktirafan seluruh dunia. Banyak negara Islam menjadikan institusi takaful di Malaysia sebagai model takaful untuk diamalkan di negara mereka. Salah satu pengendali takaful dari Malaysia menjadi pengendali takaful pertama di dunia yang ditarafkan oleh agensi penarafan Islam antarabangsa, Islamics International Rating Agency (IIRA). 

Penarafan ini membolehkan pengguna di peringkat antarabangsa lebih yakin dan mengakui keupayaan syarikat mematuhi piawaian syariah yang ditetapkan. Kejayaan itu memudahkan proses pengembangan syarikat ke luar negara. Kini beberapa syarikat takaful dari Malaysia kini telah beropeasi di luar negara. 

Pengembangan sayap ke luar negara memberi imej baik kepada negara sebagai sebuah negara Islam proaktif dalam penglibatan perniagaan mematuhi kehendak syariah. Penyertaan di luar negara membuka peluang untuk syarikat mendapat keuntungan lebih dan membawa pulang wang untuk negara. 

No comments:

Post a Comment