Sunday, 16 April 2017

Takaful ganti insurans konvensional

Islam agama syumul menyediakan garis panduan lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia. Tidak terkecuali Islam menyediakan panduan berkaitan jaminan perlindungan dan tabungan yang dikenali takaful.  

Sikap proaktif sarjana Islam mengelak umat Islam terlibat perkara haram telah membuka lembaran sehingga tertubuhnya takaful moden bagi menggantikan insurans konvensional yang diputuskan Majlis Fatwa Sedunia sebagai haram.

Biarpun umum mengatakan insurans konvensional dicipta oleh Barat, hakikatnya masyarakat Islam terlebih awal mengamalkan takaful. Tidak timbul soal orang Islam terpaksa bergatung kepada sistem ciptaan bukan Islam. 

Kejayaan takaful membutikan instrumen berasaskan Islam adalah cara terbaik dalam usaha mengatasi kemelut ekonomi yang berteraskan kepada sistem kapitalis yang melihat aktiviti ekonomi sebagai cara meningkatkan kepuasan tanpa mengambilkira kesan buruk seperti berlaku pernindasan dan ketidakadilan. 

Aktiviti takaful berteraskan kepada konsep dan amalan patuh syariah ternyata memberi demensi baru cukup positif bahawa sistem Islam memberi kebaikan kepada seluruh masyarakat. 

Berdasarkan kepada perkembangan kejayaan yang dicapai, membuktikan masyarakat Islam yang selama ini dikuasai dasar dan kaedah Barat bersedia untuk berubah mengikut apa yang ditentukan syariah. 

Selama ini, umat Islam di Malaysia bukan tidak mahu menerima ketetapan syariah, tetapi tiada ada pendedahan dan tindakan proaktif. Namun, perkara ini semakin menampakkan perubahan apabila kerajaan mengamalkan penerapan dasar-dasar Islam dalam pentadbiran dan aktiviti kehidupan rakyat, termasuk dalam soal ekonomi, maka penerimaan keseluruhan rakyat terhadap tuntutan Islam semakin baik.   

Kelahiran institusi takaful bermakna kerajaan telah melaksanakan tugas fardu kifayah. Mencari yang halal itu adalah wajib ke atas setiap umat Islam.

Berdasarkan kepada sambutan takaful, tidak mustahil pada masa hadapan insurans konvensional tinggal dalam lipatan sejarah. Masyarakat bukan Islam mementingkan keuntungan dan mereka boleh menerima apa saja instrument. Jika mereka dapati takaful lebih menguntungkan dan memenuhi apa yang diharapkan, maka orang bukan Islam bersedia menerima apa jua instrument yang ditawarkan kepada mereka.

Sebenarnya, punca kejayaan utama takaful adalah penerimaan orang Islam sendiri. Orang Islam adalah majoriti di Malaysia. Maka, tidak ada sukarnya untuk menjayakan sesuatu berteruskan Islam jika seluruh umat Islam bersatu ke arah itu. Umat Islam perlu ditingkatkan untuk menerima dan menyokong segala dasar atau perkara yang ditetapkan syariah. 

Peningkatan kesedaran umat Islam dalam memajukan ekonomi berteraskan kehendak syariah membuka ruang luas untuk umat Islam takaful dan instrument kewangan lain berkembang.  

Kita mengharapkan pada masa hadapan umat Islam akan menjadi pemain utama dalam aktiviti ekonomi di Malaysia dan juga berkembang ke seluruh dunia. 

Institusi insurans atau takaful menjadi instrument terbaik dalam mengumpul dana dan menjana kembali dalam aktiviti ekonomi sesebuah negara, selain institusi bank. Di negara maju, dana dari insurans menjadi nadi utama sumber kewangan untuk pelaburan dan perniagaan.

Maka, sudah tiba masanya, umat Islam di Malaysia menjadikan institusi takaful penjana ekonomi, bukan dilihat sebagai satu bebanan apabila terpaksa menyediakan peruntukan untuk membayar fi atau premium setiap bulan.

No comments:

Post a Comment