Saturday 11 August 2018

Imam Shafie mencintai ilmu

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf. Imam Syafie adalah berasal dari keturunan Arab Quraisy. 

Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah. Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali. Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi.

Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit. Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi. Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi. Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.

Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat. Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji.

Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga tiga orang Imam mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali). Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulama sebelum mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Imam Syafie juga melarang taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja. Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”.

Beliau juga berpesan: “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah SAW bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”

Banyak pujian atau pandangan ulama-ulama lain kepada Imam Syafie. Imam Malik bekas gurunya pernah berkata: “Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”

Imam Ahmad Bin Hambal berkata: “Wahai anakku, Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi tubuh.” Beliau juga berkata: “Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie”. “Setiap ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie”

Imam Muhammad al-Hakam berkata: “Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui, cerdik akalnya, lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya, lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie”. Beliau berkata lagi: “Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul Fiqah selain dari Imam Syafie”

Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya sendiri. Ibunya mengajar beliau mengenal huruf dan mengaji al-Quran. Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran.

Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa. Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.

Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.

Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quran, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya. Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar di situ.

Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Masab bin Zubair seorang penyair terkenal. Dalam masa 3 bulan saja, Imam syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Pernah suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Masab pula.

Imam Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya.

Selepas itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Feqah pula. Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula. Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula.

Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera. Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.

Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah. Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.

Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof. Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa tiga hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang satu tahun untuk menghafalnya.

Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan. Mereka dikurniakan tiga orang anak.

Sesungguhnya Imam Syafie amat mencintai ilmu. Pernah suatu masa Imam Malik memuji beliau dengan berkata: “Sekiranya ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya” sambil merujuk kepada Imam Syafie.

Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie pernah berkata: “Sesiapa yang mempelajari Quran, besar harga dirinya. Siapa yang mempelajari hadis, tinggi martabatnya. Siapa yang mempelajari bahasa, lembut hatinya. Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tidak bererti ilmunya”.

Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.

Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu Isyak, malam Jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah (tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.

Semasa Abu Ali al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke Baghdad. Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie.

Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan. Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu.

Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina. Tidak lama kemudian sebuah masjid didirikan di situ dengan nama Masjid Imam Syafie. Makam ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.

No comments:

Post a Comment