Friday, 10 August 2018

Dosa fitnah tidak masuk syurga

Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal dari perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.  

Fitnah yang disebarkan melalui kemudahan teknologi moden lebih cepat, mudah dan berkesan. Penyebarnya tidak perlu menemui orang yang ingin disebarkan fitnah itu dan identitinya dapat disembunyikan.  

Fitnah adalah sifat mazmumah (keji) yang lahir akibat tidak patuh perintah Allah. Perbuatan itu mendatangkan keburukan kepada pelakunya dan orang lain. Ironisnya, pelakunya merasakan perbuatan itu sekadar menyusahkan orang lain, dan dia mendapat untungnya.

Individu yang lemah iman dan jahil mengenai hukum agama mudah terjebak dengan amalan fitnah. Mereka melakukan perbuatan itu tanpa merasakan diri telah melakukan dosa besar. Memandangkan tidak memikirkan tentang dosa, ada individu sekadar suka-suka atau mencari kepuasan menyebarkan fitnah.

Keburukan kesan fitnah amat besar. Fitnah boleh mencetus perpecahan dalam masyarakat, pergaduhan, pembunuhan dan boleh merebak hingga runtuhnya sebuah kerajaan. Dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan anutan agama, fitnah boleh menyebabkan keadaan ketegangan kaum. 

Allah menjelaskan bahaya fitnah melalui firman-Nya bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 191). 

Lanjutan itu, dosa fitnah amat berat. Dalam surah al-Baqarah ayat 217, Allah berfirman bermaksud: “Fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh.”

Sebab itu, jangan pandang mudah kesan setiap berita yang disebarkan. Banyak orang tidak sedar melakukan fitnah disebabkan amalan itu sebati dalam masyarakat. Sebahagian yang lain pula tidak menyedari bahawa itu adalah berita bersifat fitnah.

No comments:

Post a Comment