Dalam konteks mencegah perbuatan
buruk daripada berlaku, ia mesti dilakukan dengan berhati-hati. Kita mempunyai
banyak saluran yang boleh dilaporkan terus kepada agensi penguatkuasa agar
diambil tindakan pencegahan.
Tindakan menyebarkan berita melalui
laman sosial dan medium lain mesti dihentikan kerana belum pasti kesahihannya. Islam
menegah kita menyebarkan berita yang mendatangkan aib orang lain, sungguhpun ia
perkara yang benar.
Apatah lagi perkara itu tidak sahih
dan hanya agak-agak sahaja. Contohnya dalam kes laporan rasuah, 85 peratus
laporan tiada asas atau sebenarnya kejadian rasuah itu tidak berlaku.
Mungkin laporan itu dibuat atas
dasar agak-agak atau ada niat lain di sebaliknya. Jika perkara itu hanya dilapor kepada Suruhanjaya
Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak didedahkan kepada umum, kesan buruk
dapat dikawal.
Sebaliknya, jika perkara yang tidak
benar itu dihebahkan dalam laman web, ia telah menjadi satu fitnah yang amat
besar kesan buruknya kepada individu yang berkaitan.
Perangkap fitnah amat berbahaya. Banyak
individu menanggung penderitaan dan kerugian akibat bencana fitnah. Masyarakat
yang penuh dengan budaya fitnah berada di ambang kemusnahan.
Justeru, individu Muslim mesti
menjauhkan diri daripada kancah hina fitnah. Jauhkan diri dari menjadi
pencipta, penyebar dan orang mempercayai fitnah. Ketiga-tiga perbuatan itu
saling berkait yang menjadi punca mengapa budaya fitnah merebak dalam
masyarakat.
Fitnah tidak akan wujud jika tidak
ada penciptanya. Pun begitu, fitnah tidak akan tersebar jika tidak ada individu
yang menyebarnya. Dalam hal ini, pencipta dan penyebar mungkin boleh jadi orang
yang sama.
Individu yang menpercayai fitnah
juga memainkan peranan besar menyebabkan fitnah tersebar. Ini kerana mereka
bukan setakat mempercayainya, tetapi juga menyebarkan kepada orang lain. Jika
tidak ada orang mempercayai fitnah, ia tidak akan tersebar, biarpun ada yang
mencipta fitnah.
Fitnah ialah tuduhan melalui cerita,
khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan
terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan
Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.
Perbuatan fitnah dilakukan sama ada
secara perkataan jelas, perli, perumpamaan atau sindiran. Asalkan perkataan yang diucapkan difahami atau membawa erti
tertentu, ia termasuk dalam kategori fitnah.
Melakukan fitnah adalah salah satu
penyakit hati yang lahir akibat hati kotor yang tertutup daripada sinar
keimanan. Perbuatan itu dilakukan biarpun menyedari betapa buruk kesan
perbuatan itu.
Semakin banyak fitnah disebar, hati
menjadi kotor. Hati yang kotor akan mendorong melakukan perbuatan buruk lain
seperti menipu, rasuah, mengumpat dan sebagainya. Sebab itu amat penting kita
menjaga kebersihan hati.
Semakin banyak keburukan dilakukan,
hati menjadi terus menjadi keras dan tertutup daripada sinar kebenaran. Untuk
membersihkan hati dan meninggalkan perbuatan dusta, hendaklah memperbanyakkan
taubat.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang
melakukan satu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam, kiranya ia
bertaubat akan terhakis titik hitam itu dari hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu
akan terus merebak sehingga hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Hindarkan diri daripada menjadi
pencipta fitnah, menyebarnya, mempercayai dan bersubahat dengan ketiga-tiganya.
Kejayaan misi fitnah banyak disokong oleh penyebar dan ada individu yang
mempercayainya. Muslim ditegah terlibat menjayakan perbuatan mendatangkan
keburukan.
Firman Allah bermaksud:
“Bertolong-tolonglah kamu di atas perkara kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah
kamu bertolong-tolong dalam perkara kejahatan dan permusuhan.” (Surah
al-Maidah, ayat 2).
Jelas di sini, kita tidak boleh
membantu dalam perkara keburukan. Malah, menjadi tugas setiap individu mencegah
perkara mungkar daripada terus merebak. Individu membantu melakukan perbuatan
buruk turut mendapat dosa seperti individu utama yang memulakan fitnah.
Sesungguhnya, kesan buruk akibat
fitnah lebih besar daripada membunuh. Perbandingan itu perlu dipandang serius. Ini
jelas kerana membunuh sekadar dosa terhadap satu nyawa, sedangkan fitnah boleh
memberi kesan kepada banyak orang.
Oleh itu, setiap Muslim mesti
berwaspada agar tidak dijangkiti penyakit fitnah. Kesan fitnah ditanggung oleh
orang difitnah, serta melibatkan sama seisi keluarga dan merebak dalam
masyarakat.
No comments:
Post a Comment