Friday, 10 August 2018

Bapa misali tonggak keluarga bahagia

Tugas bapa bukanlah mudah untuk dilaksanakan jika tidak melalui proses pembelajaran dan pengalaman. Sebagai ketua keluarga atau pemimpin keluarga, bapa bertanggungjawab terhadap perkembangan anak-anaknya. Dalam hal ini kadang-kadang mereka gagal.

Realiti yang dapat dilihat pada hari ini, banyak keluarga tidak berjaya mengecapi kebahagiaan. Berlaku krisis kepimpinan keluarga sehingga ahli keluarga terjebak dengan masalah sosial. Meskipun ada bapa berjaya menjadi pemimpin tinggi negara dan organisasi yang besar, tetapi gagal menjadi bapa misali. 

Hal ini membuktikan betapa seseorang bapa perlu memiliki kemahiran keibubapaan. Mereka perlu memahami tugas mereka yang sebenar. Sebenarnya, tugas bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan, pakaian dan kemewahan. Sebaliknya, ia meliputi semua keperluan untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia, selamat dan diredai Allah. 

Bapa bertanggungjawab membimbing setiap ahli keluarga agar menjadi insan bertakwa. Malah menjadi tanggungjawab bapa menjauhkan diri setiap ahli keluarganya daripada api neraka. Maknanya bukan saja bapa itu perlu berusaha menjauhkan dirinya sendiri daripada melakukan dosa, bahkan dia wajib berusaha agar terhalang perbuatan dosa itu daripada melibatkan keluarganya.

Firman Allah bermaksud: “Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.” - (Surah at-Tahrim, ayat 6). 

Seseorang yang memiliki keluarga, hakikatnya satu satu anugerah atau nikmat terbesar Allah. Jadi, nikmat kurniaan Allah itu harus dipelihara dengan baik. Oleh sebab itu kehidupan keluarga itu perlu dijalinkan perasaan cinta dan kasih sayang.

Kehidupan keluarga yang harmoni seperti yang dinyatakan di atas merupakan asas kepada segala kehidupan lain. Kejayaan seseorang bermula dengan kejayaan hidup dalam keluarga. Oleh sebab itu, tanggungjawab mencipta kejayaan hidup keluarga perlu dilakukan dengan serius oleh bapa.

Tidak dinafikan betapa bapa terpaksa berusaha keras demi mencari rezeki untuk anak dan seluruh ahli keluarga. Namun begitu, ia bukan alasan untuk mengabaikan perhatian terhadap keluarga. Biarpun bapa sentiasa sibuk dengan urusan kerja, luangkan masa berharga itu untuk bersama-sama keluarga. 

Perlu diingat, kebahagiaan keluarga merupakan segala-galanya dalam kehidupan di dunia ini. Tidak ada ertinya mencapai kejayaan dan mengumpul harta, sedangkan keluarga diabaikan. Kegagalan dalam membina keluarga ini akan merosakkan seluruh kejayaan lain. 

Perhatian bapa terhadap anak perlu dalam semua keadaan. Anak yang beroleh perhatian itu akan berasa dihargai kehidupannya. Apabila perasaan ini terjalin, akan terbentuklah keutuhan ikatan kasih sayang. Apatah lagi apabila bapa dan anak melakukan aktiviti bersama dalam persekitaran yang sama. 

Tegasnya, interaksi secara fizikal banyak membantu membentuk hubungan emosi anak dengan bapa. Anak akan merasa lebih dihargai dan disayangi oleh bapa. Hubungan itu secara langsung mewujudkan perasaan kasih anak kepada bapa.

Sebenarnya, anak akan berasa bangga terhadap bapanya yang sentiasa berada di sisinya, apatah lagi apabila dia mampu menunjukkan contoh terbaik. Perasaan hormat dan berbangga itu adalah satu pengiktirafan tertinggi anak terhadap bapa.

Sesungguhnya bapa yang baik, bukan sahaja prihatin dan kasih sayang kepada anak sendiri tetapi turut ditumpahkan kepada anak-anak orang lain. Lihatlah pada Rasulullah yang baginda sentiasa menyayangi kanak-kanak, terutama anak yatim piatu.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:  “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kacil kami.” - (Hadis riwayat Tabrani).

No comments:

Post a Comment