Sesungguhnya
dosa memaki ibu bapa adalah amat besar. Sabda Rasulullah bermaksud:
“Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seseorang lelaki mengutuk ibu
bapanya. Ramai orang merasa takjub bagaimana orang yang cukup akalnya, beriman
kepada Allah boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan
kehidupan anak-anak.”
Lantas
baginda ditanya: “Bagaimana seseorang itu mengutuk ibu bapanya?” Rasulullah menjawab dalam sabdanya bermaksud:
“Bila orang itu memaki ayah orang lain, lalu orang lain membalas maki ayahnya.
Kemudian dia memaki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Menghormati
golongan tua bukan sekadar terhadap ibu bapa dan orang yang mempunyai pertalian
persaudaraan dengan kita. Sebaliknya, wajib bagi setiap orang muda menghormati
orang tua, tanpa mengira pertalian persaudaraan, kedudukan dan kekayaan.
Sesungguhnya,
Rasulullah menjelaskan sesiapa yang tidak menghormati golongan tua sebagai
bukan orang beriman. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami,
sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil
kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
Sikap
golongan muda yang menganggap golongan tua membebankan, menyampah, dan
mengganggu adalah amat biadab. Mereka lupa suatu hari nanti mereka juga akan
menempuh alam tua. Sudah tentu mereka tidak mahu nasib yang dialami golongan
tua sekarang akan menimpa pula ke atas diri mereka.
Sesungguhnya
Allah Maha Adil memberi pembalasan. Sesiapa yang tidak menghargai golongan tua,
bakal menerima kifarah pada usia tua nanti. Biasanya golongan tua sekarang yang
diabaikan adalah terdiri daripada mereka yang ketika usia mudanya selalu
mengabai golongan tua.
Sikap
golongan muda yang tidak menghormati golongan tua berlaku di dalam masyarakat
yang mengamalkan cara hidup bersandarkan kepada kebebasan bersuara, hak
individu, sama rata dan tidak mengutamakan syariat agama.
Cara
hidup sebegini begitu meluas di negara Barat yang menjadi punca kejatuhan moral
golongan muda di sana. Sebenarnya masyarakat di Barat semakin menuju kehancuran
disebabkan masalah keruntuhan moral rakyatnya. Kemajuan sains dan teknologi
tidak mampu bertahan jika moral rakyat musnah.
Malah,
masyarakat yang moralnya musnah akan menggunakan kemajuan sains dan teknologi
untuk menghancurkan sesama manusia. Akhirnya, manusia akan musnah akibat
menggunakan hasil ciptaan manusia sendiri.
Cara
hidup demikian tidak ubah seperti hidup di alam haiwan. Haiwan tidak membezakan
antara tua dan muda. Siapa lebih kuat dialah yang akan berjaya mendapat apa
diingini. Tidak ada status dalam masyarakat haiwan untuk dihormati dan
diutamakan.
Itu
sudah tabie kejadian haiwan yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.
Sesungguhnya sesiapa yang mengikut tabie haiwan, dia adalah lebih hina daripada
haiwan.
Amalan
menghormati golongan tua bukan saja perintah agama, tetapi budaya yang
diamalkan dalam masyarakat bertamadun. Masyarakat yang menghormati golongan tua
mencapai tahap hidup lebih selesa, selamat dan berjaya.
Dalam
kebanyakan adat kaum ada yang menjadikan amalan ritual menyembah atau
menghormati golongan tua sebagai satu ‘sembahyang’ bagi memohon restu. Sesiapa
tidak menghormati golongan tua dianggap melanggar pantang larang dan bakal
menerima musibah dalam kehidupan seharian.
Begitu
besar sekali kedudukan golongan tua yang dianggap sebagai punca kesejahteraan,
keuntungan dan kejayaan hidup.
Sebagai
penganut Islam, perbuatan tidak menghormati golongan tua bukan sekadar
melanggar pantang larang, tetapi melanggar perintah Allah. Amat berat balasan
melanggar perintah Allah. Pantang larang sekadar adat, tetapi perintah Allah
melibatkan keimanan dan ketakwaan.
No comments:
Post a Comment