Sekiranya
dipanjangkan umur, kita semua akan menempuh alam usia tua. Ketika itu kita akan
mengalami seperti mana apa yang dialami oleh golongan tua yang kita lihat
sekarang.
Golongan
tua mengalami banyak perubahan berbanding usia muda. Perubahan itu meliputi
berkaitan fizikal dan minda berubah seperti penglihatan mula kabur, pendengaran
semakin hilang, kulit menjadi berkedut, tenaga tidak lagi gagah dan paling
ketara ada yang menjadi nyanyuk.
Sebenarnya
tidak ada umur khusus meletakkan seseorang telah memasuki usia tua. Bagaimanapun,
dalam masyarakat kita biasanya usia tua merujuk kepada individu yang telah
mencapai usia 50 tahun dan ke atas. Ada juga orang mengaku sudah tua hanya
setelah pencen daripada pekerjaan yang lazim pada usia 60 tahun. Tetapi tidak
kurang juga yang tidak pernah merasakan dirinya tua!
Namun
apa yang pasti ialah golongan tua banyak berjasa kepada golongan muda. Jika
tiada golongan tua, sudah pasti tidak mungkin ada golongan muda. Manakala apa
yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil usaha pengorbanan yang telah
dilakukan golongan tua.
Contohnya
pergorbanan golongan tua yang berusaha menuntut kemerdekaan negara daripada
penjajah. Lepas itu mereka berusaha keras pula untuk membangunkan negara
sehingga mencapai apa yang kita nikmati sekarang ini.
Dalam
ajaran Islam, golongan tua mesti dihormati. Suruhan menghormati orang tua bukan sekadar kepada ibu bapa kita sahaja.
Semua orang tua perlu dihormati sepertimana kita menghormati ibu bapa.
Lebih-lebih
lagi jika orang tua itu adalah rakan kepada ibu bapa kita. Rasulullah menyuruh
agar kita meneruskan silatulrahim dengan rakan-rakan ibu bapa kita biarpun ibu
atau bapa kita telah meninggal dunia.
Maksud
menghormati dan menghargai golongan tua ialah mereka diutamakan, dikasihi dan
diberi kemudahan untuk menikmati kehidupan usia tua dengan selesa, terjamin,
selamat dan mengembirakan.
Dalam
masyarakat kita sememangnya sentiasa memberi layanan baik kepada golongan tua. Sebagai
satu gambaran penghormatan yang perlu diberikan kepada golongan tua ialah
golongan tersebut digelar sebagai warga emas. Semua orang ingin dan sayang
kepada emas, dan begitulah yang sepatutnya penghormatan yang diberikan kepada
warga emas.
Memandangkan
golongan tua berada dalam serba kekurangan dalam segi kekuatan fizikal dan
kebanyakannya mungkin juga mental, mereka memerlukan sokongan dan bantuan untuk
meneruskan hidup alam tua dengan seadanya. Sesungguhnya, dalam hal ini
perhatian dan sokongan daripada anak dan ahli keluarga amat diperlukan.
Keadaan
ketika usia telah lanjut dinyatakan dalam surah al-Hajj, ayat 5 bermaksud: “Dan
(dalam pada) itu ada di antara kamu yang dimatikan (ketika kecil atau dewasa)
dan ada pula dilanjutkan umur ke peringkat tua serta nyanyuk sehingga ia tidak
mengetahui lagi mengenai sesuatu yang sudah diketahui dahulu.”
Sebenarnya
menghormati golongan tua bukan suatu amalan yang asing bagi kita. Sebahagian
daripada ahli keluarga kita adalah termasuk golongan tua. Dalam setiap keluarga
tentu ada golongan tua seperti bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara.
Dengan
kata lain, menghormati golongan tua, tidak kira apa hubungan persaudaraan
mereka dengan kita adalah sebahagian tanggungjawab menghormati bapa, ibu,
datuk, nenek dan saudara mara sendiri.
Jika
difikirkan, menghormati golongan tua bukanlah satu bebanan yang berat untuk
ditunaikan. Mereka bukannya meminta dilebihkan dalam layanan dan penghormatan. Golongan
tua sememangnya menyedari bahawa zaman mereka sudah berlalu. Tidak ada apa lagi
yang hendak direbut melainkan menghabiskan sisa-sisa hidup dengan selesa.
Sebenarnya
rata-rata golongan tua merasa sudah memadai jika mereka dilayan secara
sederhana. Cukuplah sekadar mereka diberi keistimewaan dalam hal-hal tertentu
bagi membolehkan hidup selesa dan selamat. Apa yang penting ialah mereka tidak
disisih dan dihina disebabkan usia tua.
Ramai
merasai rungsing apabila memikirkan keadaan hidup menghadapi usia tua. Disebabkan
wujud fenomena itu banyak golongan tua mengalami kehidupan usia tua dengan
keadaan suram.
Kerungsingan
ini berasas memandangkan kes anak melayan ibu seperti orang gaji semakin
meningkat. Banyak ibu bapa dihantar oleh anak mereka ke rumah kebajikan, dan
banyak juga orang tuan yang hidup merepat di jalanan.
No comments:
Post a Comment