Ajaran Islam bukan saja menegah
menyebarkan berita fitnah, bahkan berita benar sekalipun jika orang berkaitan
berita itu tidak mahu ia disebarkan. Jika menyebar berita benar dilarang,
inikan pula menyebarkan berita tidak benar. Hal ini membuktikan betapa Islam
menjaga hak dan rahsia individu daripada diketahui orang lain, biarpun ia
rahsia yang baik.
Menceritakan hal benar yang tidak
disukai orang berkaitan dengan hal itu dipanggil ghibah. Rasulullah menjelaskan
makna ghibah dan melarang dilakukan apabila ditanya seorang sahabat.
Tanya sahabat: “Wahai Rasulullah,
apa itu ghibah?” Baginda menjawab: “Menyebut sesuatu yang tidak disukai
saudaramu di belakangnya.” Kemudian sahabat bertanya lagi: “Bagaimana jika apa
disebutkan itu benar?”
Baginda
menjawab dengan sabda bermaksud: “Kalau apa disebutkan itu benar, maka itulah
ghibah, tetapi jika perkara itu tidak benar, engkau sudah melakukan buhtan
(pembohongan besar).” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).
Iman
Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia
orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak
mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan
fitnah.
Penyebarkan berita berbentuk mencaci
dan mengeji orang lain bakal menerima balasan kecelakaan besar. Firman Allah
bermaksud: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji” (Surah
al-Humazah, ayat pertama).
Jelas sekali Islam amat mengambil
berat kesan percakapan. Sesungguhnya pancaindera lidah adalah anugerah yang
perlu dijaga agar tidak menyebabkan diri melakukan dosa-dosa besar. Orang-orang
yang tidak menjaga pancainderanya daripada kejahatan, itulah tanda orang yang
kufur.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa
yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik
maupun dia diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Fitnah dan ghibah bukan hanya pada
ucapan, tetapi termasuk juga dalam bentuk tulisan, gerak badan (gerak tangan,
kaki, kepala, mata, ketawa dan sebagainya). Apapun, setiap anggota badan tetap
menjadi saksi terhadap perbuatan di dunia.
Justeru, hindarilah angkara fitnah
sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan
kami landasan fitnah kesengsaraan biagi kaum yang zalim lagi ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu
daripada angkara kaum kufur.” (Surah Yunus, ayat 85
– 86).
No comments:
Post a Comment